~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Wednesday, December 1, 2010

Biografi Tok Selehor…


Tok Selehor adalah seorang ulama’ yang telah memasyhurkan nama sebuah kampung pedalaman di jajahan Tumpat kerana ilmu pengetahuan yang disebarkan kepada para pelajar yang membina pondok-pondok di Kampung Selehor (Kini kampung ini lebih dikenali dengan nama Kampung Kok Pasir). Murid Tok Selehor bukan sahaja dikalangan penduduk tempatan tetapi juga mereka yang datang dari Patani, Kemboja, Pelembang, Jawa, Siak dan seluruh Tanah Melayu. Beliaulah ulama semasa dengan Tok Kenali bahkan dikenali sebagai ulamak' lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan. Mereka ialah Tok Selehor (1872-1935) dari Tumpat, Tok Kenali (1868-1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (1860-1953) dari Bachok, Tok Jelapang(1861-1934 dari Pasir Mas dan Tok Kemuning(1885-1934) dari Machang.

Tok Selehor atau Tok Selehong, nama lengkapnya ialah Abdur Rahman bin Utsman bin Senik. Ulama’ yang berasal dari Kelantan ini lahir di Kampung Lubuk Jong, tahun 1289 H/1872 M, wafat malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353 H/20 Februari 1935 M. Beliau diasuh dan dibesarkan di kampung itu dengan mandian air sungai Selehor yang tenang dan masam kelat.(Sedikit berasid). Beliau adalah sahabat Tok Kenali, yang juga berasal dari Kelantan dan lebih tua sedikit daripada Tok Selehor. Tok Kenali lahir pada tahun 1287 H/1871 M, wafat pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Sahabatnya pula ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, tahun 1293 H/1876 M, wafat di Mekah al-Mukarramah, hari rabu, 6 Rabiulawal 1376 H/ 10 Oktober 1956 M), Utsman bin Haji Muhammad bin Haji Abdul Wahhab atau Tok Bacok (lahir tahun 1277 H/1860 M), wafat pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 H/27 Julai 1953 M), dan ramai lagi.

Jihad Ilmu
Pada zaman itu, di Kelantan pengajian al-Quran dipandang sesuatu perkara yang amat mustahak.  Muda-mudi yang tidak menghabiskan al-Quran 30 juzuk itu dipandang dengan suatu pandangan hina dan sukar untuk mendapat pasangan.  Bagi Tok Selehor beliau beruntung besar kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan bapanya sendiri.  Ayah Tok Selehor , Haji Uthman bin Senik mempunyai cita-cita besar supaya anaknya menjadi seorang ulama' kerana pada pandangannya anak yang soleh itu akan dapat memberi faedah yang besar kepadanya, sama ada ketika masih hidup apatah lagi setelah dia meninggal dunia. Kerana hasratnya itulah beliau telah menghantar anaknya belajar di Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malek. Selepas itu menyambung pula ke Patani, di sana beliau belajar daripada Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala Bekah.  Tetapi oleh kerana Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thai sebab dibimbangkan pengaruhnya yang besar itu menimbulkan masalah politik di Selatan Thai.  Beliau  menyambung pelajarannya pula dengan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong.  Tok Selehor belajar di Patani selama kira-kira 7 tahun. 

Demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Kampung Kok Keli (Kampung berjiranan di sebelah Utara ) yang menjadi murid Tok Selehor selama lebih lapan belas tahun. Semasa belajar di Patani beliau pernah berulang-alik balik ke Kelantan dengan berjalan kaki.  Sepanjang perjalanannya beliau tidak gentar kepada musuh-musuh dan penyamun yang berada di Bukit Tanjung dan beberapa tempat lain kerana beliau pandai bersilat dan pandai bermain keris. Tok Selehor belajar di Mekah selama 18 tahun. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani wafat, beliau masih tetap belajar kepada ayah saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), mendalami ilmu-ilmu alat Arabiyah, ilmu fikah Mazhab Syafie, dan ilmu qiraat yang berbagai-bagai. Tok Selehor mulai membuka pengajian pondok tahun 1340 H/1921 M.

Minat Dalam Sastera
Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehor menjadi cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau pandai pula membaca dengan lagu-lagunya yang merdu. Tambahan pula suara beliau sangat merdu serta dapat menarik minat umum untuk mendengar kemerduan irama suaranya ketika bersyair. Tok Selehor bukan sekadar pandai mendendangkan syair tetapi juga pandai mengarang syair. Kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu tiada sesiapa yang dapat menandinginya. Oleh kerana kebolehannya yang agak luar biasa itu, namanya menjadi masyhur dan beliau pernah diminta mengarang syair romantis. Lantaran syairnya beberapa orang isteri yang dibencikan suami kembali berdamai setelah menerima surat syair yang ditulis oleh Tok Selehor. Antara syair yang sangat berpengaruh yang masih diingati oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah di Kampung Kok Pasir, Tumpat. (Kini Selehor adalah sebahagian daripada Kampung Kok Pasir).

Tiap-tiap malam kanda bermimpi,
Adinda di tengah kanda di tepi,
Menghisap rokok meminum kopi, 
Memeluk tengkuk mencium pipi,
Sedap rasanya tiada terperi,
Harum baunya umpama kasturi,
Suka dan hilai senang di hati,
Kasih mesra sehingga mati.

Kahwin dan ke Mekah
Ketika masih belajar di Patani lagi beliau berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah, tetapi  perkahwinan  itu langsung  tidak menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.  Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu Bakar beliau pulang ke Kelantan.  Sekembalinya ke Kelantan dari Patani beliau menyambung pelajarannya di Mekah selama kira-kira lapan belas tahun.  Menurut Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Hussin (Haji Lah Hutan Pasir), bahawa Tok Selehor sempat belajar di Mekah dengan Pak Cik Daud, mertua kepada Pak Da Ail, seorang guru bangsa Melayu yang masyhur di Mekah. Disebabkan catatan-catatan dan penerangan yang ditulis oleh Tok Selehor menarik perhatian Tok Kenali maka Tok Kenali  telah memimjam kitab Musalli untuk mengajar murid-muridnya.

Ketika berada di Mekah Tok Selehor telah berkahwin dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu.  Tidak lama setelah pulang ke Kelantan mereka berpisah.  Kemudian Tok Selehor berkahwin dengan Hajjah Mek binti Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan kecantikannya pada ketika itu.  Hasil daripada perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu dan  ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad). Manakala anak perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah.  Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah binti Hj. Umar dari Penambang Kota Bharu.  Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man  dan hasil daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan Guru Haji Awang Jal. 

Membuka Pondok  
Setelah kembali dari mekah, Tok Selehor membuka pondoknya di tepi Sungai Selehor, dipercayai pada tahun 1340H.  Beberapa tahun saja selepas penubuhan, pondok Tok Selehor berkembang dengan pesat sekali dengan penyertaan daripada pelajar dari dalam dan luar negeri.  Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan saja  terdiri daripada anak tempatan, tetapi juga mereka yang datangnya dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya.  Bagi keperluan air bersih yang mencukupi, Tok Selehor  telah menggali sebuah telaga besar pada tahun 1343H.   Sehingga kini (Desember 2010) telaga itu masih wujud dengan disesuaikan oleh waris beliau yang tinggal di Selehor.  

Mengajar  
Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf.  Kitab Hikam oleh Ibn Ataillah merupakan kitab yang paling disukai diajarkan kepada  muridnya dan orang ramai. Mungkin Tok Selehor mendapati kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah serta menjauhi dari sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, ria, sum'ah dan sebagainya.  Tok Selehor menyampaikan ajarannya begitu dimesrai oleh para pendengarnya.  Pengajarannya tidak menjemukan walaupun disampaikan berulang-ulang kali. Menurut Tuan Guru Haji Hassan Ahmad: " Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih manis dan mesra yang dapat menandingi pengajaran Tok Selehor."  

Ketika membicarakan tentang dosa maka Tok Selehor menyampaikan dengan begitu berkesan sekali sehinggakan ada di kalangan pendengarnya yang menangis kerana takut dan insaf dengan ajaran-ajaran itu.  Pada setiap hari selasa Tok Selehor mengajar untuk masyarakat umum dan pada hari itu berduyun-duyunlah manusia datang ke pondok selehor dengan berjalan kaki, walaupun berpuluh-puluh batu jauhnya. Disebabkan sukakan pengajaran Tok Selehor mereka tetap datang walaupun terpaksa merempuhi hujan dan panas terik. 
Kebanyakan orang yang datang mendengar Tok Selehor mengajar ialah dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya sehingga Pondok Selehor menjadi seakan pekan kecil atau pasar minggu.  Demikian dijelaskan oleh Pak Su Ismail bin Haji Abdul Rahman, bekas imam Tua Mukim Delima, Wakaf Bharu, yang juga seorang murid Tok Selehor.  

Selain daripada mengajar di Selehor, Tok Selehor juga pernah mengajar di Wakaf Bharu, dan salah satu tempat beliau mengajar  menjadi tapak kepada Masjid Wakaf Bharu.  Di Wakaf Bharu tidak kurang juga  ramai pendengar yang datang untuk mendengar ajaran Tok Selehor. Tok Selehor juga  suka membaca kisah Isra’ dan Mi'raj.  Ketika beliau membaca kisah itu terasa benarlah kemesraan orang ramai terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan ada orang terpaksa memanjat batang kelapa untuk melihat Tok Selehor yang sedang mambaca Isra' dan Mi'raj itu.  Kebanyakan orang yang datang mendengar pengajaran Tok Selehor telah berubah dari tidak pernah sembahyang kepada sembahyang, dari berperangai jahat kepada berperangai baik dari seorang yang nakal kepada seorang yang insaf.  Sehingga kampung Selehor yang dulunya banyak amalan pemujaan hantu-hantu dan lain-lain amalan khurafat hapus sama sekali.  

Tok Selehor Dan Kitab Hikam
Salah sebuah kitab ilmu tasawuf yang diajar oleh Tok Selehor ialah Kitab al-Hikam. Sebelum membicarakan keterlibatan Tok Selehor dalam pengajaran Kitab al-Hikam karya Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari yang sangat terkenal itu, saya dulukan cerita tentang Kitab al-Hikam terlebih dulu, bahawa terdapat dua buah Kitab al- Hikam versi bahasa Melayu, yang sebuah dalam bentuk matan dan yang sebuah lagi dalam bentuk syarah. Penerbitan awal kedua-dua versi dalam bahasa Melayu itu ditashih dan diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Kitab al-Hikam yang dalam bahasa Arab pula terdapat berbagai-bagai syarah. Syeikh Ahmad al-Fathani dipercayai telah mengajar kitab tersebut kepada murid-muridnya, sama ada di rumahnya di Mekah mahu pun di Masjid al-Haram. Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar wa ar-Rayahin, istilah `hikam', beliau takrifkan sebagai jamak daripada perkataan `hikmah', yakni `perkataan yang diteguhkan'.

Ada pun istilah hikmah/hikmat mengandungi pengertian yang berbagai-bagai, di antaranya ialah: `pandai menyurat/menulis, ilmu yang dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa/menyalahi adat kebiasaan, kata-kata nasihat yang mantap, dan lain-lain lagi. Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa perkataan `hikmah', ditafsir oleh Ibnu Abbas r.a. yang terdapat dalam al-Quran ialah, ``dengan belajar halal dan haram''. Yang lain berpendapat, ``ditinjau dari segi lughah ialah ilmu serta amal''. Pendapat yang lain, ``hikmah itu diambil faedah daripadanya, iaitu yang sebenar pada diri pekerjaan dengan sekira-kira kuasa manusia''. Pendapat yang lain, “tiap-tiap kalam yang muafakat akan hak, maka iaitu hikmah”.

Sanad
jika kita jejak sanad pengajian kitab al-Hikam mulai pengarangnya, iaitu Syeikh Ibnu ‘Athai’llah al-Sakandari hingga turun sampai kepada Tok Selehor ialah, Tok Selehor merupakan orang yang ke-17. Untuk lebih jelasnya dapatlah diperhatikan sanad berikut:
1-      Tok Selehor, Kelantan belajar kepada (2)
2-      Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, belajar kepada (3)
3-      Saiyid Abi Bakri Syatha, Belajar kepada (4)
4-      Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Belajar kepada (5)
5-      Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada (6)
6-      Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, beliau telah menulis syarah kitab yang dibiarakan ini. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi belajar kepada(7)
7-      Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada (8)
8-      Syeikh ‘Id an-Namrisi, belajar kepada (9)
9-      Syeikh ‘Abdullah bin Salim al-Bashri, belajar kepada (10)
10-  Syeikh Muhammad bin ‘Ala’ al-Babli, belajar kepada (11)
11-  Syeikh Abi an-Naja Salim bin Ahmad as-Sanhuri, belajar kepada (12)
12-  Saiyid an-Naju Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada (13)
13-  Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, belajar kepada (14)
14-  Saiyid al-‘Izzu Abdur Rahim bin al-Farrat, belajar kepada (15)
15-  Syeikh at-Taju ‘abdul Wahhab bin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi, belajar kepada ayahnya (16)
16-  Syeikh at-Taqiy ‘Ali bin ‘Abdul Kafi as-Subki, belajar kepada (17)
17-  Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin ‘Abdul Karim bin Ibnu ‘Athai’llah al-Sakandari atau disingkat namanya dengan Ibnu ‘Athai’llah as-Sakandari, iaitu pengarang kitab al-Hikam yang sedang dibicarakan ini.

Ulama’ yang aktif beramal dengan Tharikat asy-Syaziliyah ini menghasilkan beberapa buah kitab, selain Kitab al-Hikam ialah Tajul ‘Arus fil Washaya wal Mawa’izh, Lathaiful Minan fi Manaqib al-Mursi wa Abi al-Hasan dan lain-lain. Syeikh Ibnu Athai’llah as-Sakandari, ulama’ besar sufi yang sangat besar pengaruhnya di seluruh dunia Islam, termasuk dunia Melayu, tersebut wafat di Jabal Muqattam (Kaherah) pada tahun 709 H/ 1309 M.

Ustaz Ismail Awang, dalam majalah Pengasuh menyebut: ``Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya.'' Oleh sebab Tok Selehor adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani, maka bererti sanad Tok Selehor dan murid-murid beliau dalam pengajian Kitab al-Hikam dan kitab-kitab lain karangan Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari dapat disambung seperti sanad yang telah disebutkan di atas.

Tasawuf
Kitab pengetahuan tasawuf selain Kitab al-Hikam secara umum juga dipelajari di seluruh dunia Melayu, tersamuk dalam pondok yang diasaskan oleh Tok Selehor. Keseluruhan karangan Imam al-Ghazali, dalam hal ini yang paling ditekankan dan dimantapkan di antaranya ialah Minhajul A’bidin dan Ihya’ Ulumid Din. Sanad yang sampai kepada Imam al-Ghazali mulai nombor 1 sampai nombor 7 (Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hafni) pada sanad kitab al-Hikam adalah sama, tetapi untuk samapai kepada Imam al-Ghazali adalah belajar kepada (8):
8-   Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Budairi, belajar kepada (9)
9-   Syeikh Mullah Ibrahim al-Kuarni, belajar kepada (10)
10- Syeikh Muhammad Syarif, belajar kepada (11)
11- Syeikh Abi Ishak at-Tanukhi, belajar kepada (12)
12- At-Taqiy Sulaiman bin Hamzah, belajar kepada (13)
13- Syeikh ‘Umar bin Karam ad-Dainuri, belajar kepada (14)
14- Syeikh al-Hafiz Abi al-Firaj ‘Abdul Khaliq bin Ahmad bin Yusuf al-Baghdadi, belajar kepada (15)
15- Al-Imam Hujjah al-Islam Abi Hamid bin Muhammad bin al-Ghazali yang disingkatkan panggilan dengan Imam al-Ghazali sahaja. Sebagaimana yang tertulis di atas jelaslah bahawa ulama’ dunia Melayu yang diriwayatkan ini adalah sanadnya bersambung sampai kepada pengarang Minhajul ‘Abidin dan Ihya’ U’lumid Din, iaitu Imam al-Ghazali yang sangat masyhur namanya itu.

Berzanji Dan Burdah
Ustaz Ismail Awang menulis, ``Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.

Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bidaah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh hanya sekelompok kecil orang. Kitab Berzanji yang disyarah dalam bahasa Arab banyak dilakukan oleh ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi pernah dilakukan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain.

Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin, yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul Nazham Nuril Anam, diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46.

Kitab Berzanji dapat dikategorikan dalam bidang sastera Arab, demikian juga Burdah Bushiri. Burdah Bushiri pernah diterjemah oleh Tok Kenali, sahabat Tok Selehor, yang diberi judul Risalatud Durril Mantsur, selesai beliau tulis pada bulan Jumadilakhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Meah, Jumadilakhir 1310 H. Selain itu juga oleh guru kedua-duanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan yang diberi judul Risalah Majma' al-Qashaid wa al-'Awaid yang selesai ditulis pada bulan Zulkaedah 1320 H/ Februari 1903 M.

Kegemarannya
Tok Selehor sebagai seorang peminat seni iaitu beliau begitu gemar kepada perkara yang cantik-cantik. Beliau sukakan kuda yang cantik, biri-biri jantan yang cantik, dan suka kepada ayam jantan laklung (berkokok dengan suara yang merdu dan panjang). Selain itu hobinya ialah suka memburu rusa dan memukat ikan. Beliau pernah keluar memukat ikan di kuala Tumpat dan sebagainya. Istimewanya ikan-ikan yang diperolehi itu dibahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan kepada anak-anak pondoknya.

Bersuluk
Pandangan Luar Suluk Tok Selehor
Tok Selehor adalah seorang yang Zahid dan Wara'. Beliau bimbang hatinya menjadi angkuh kerana terlalu dipuja dan takut menjadi ria. Oleh itu beliau mengadakan suatu lubang di atas Kubur Selehor untuk tempat sembahayang dan tempat berkhalwat. Lubang yang dikenali sebagai suluk ini masih kekal hingga ke hari ini. Hj. Che Mamat Sharif menerangkan bahawa Tok Selehor berkata kepadanya tujuan dibuat lubang di dalam tanah itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa ingat kepada mati.



 

“Inilah sebenarnya suatu langkah untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada mati ialah dengan berkhalwat di dalam lubang terutama di atas kubur dan kerana di sana akan dirasai bagaimana hidup seorang diri di dalam tanah itu dan akan lahirlah perasaan ingin membuat bekal untuk menghadapi mati supaya tidak menyesal kemudiaan.”

Kawan Baik Tok Kenali
Tok Selehor adalah kawan baik Tok kenali. Sebab itu perhubungan mereka sering terjalin dan pernah mereka mengadakan perbincangan-perbincangan dalam usaha mengembangkan Islam. Tok Kenali mengelarnya sebagai "Penyair Kita". Mengikut keterangan Tuan Guru Encik Ismail Ali (pak Su Wail) Kampung Danggar, bahawa beliau bersama-sama melawat kematian Tok kenali dan pergi ke kubur bersama-sama Tok Selehor pada tahun 1933M. Tok Selehor telah menyuruh beliau mengamalkan wirid wali tujuh dan supaya sentiasa membaca ayat Al-Kursi. Encik Ismail yang sempat belajar selama 15 tahun dengan Tok Selehor itu menjelaskan bahawa Tok Selehor seorang Zahid, wara, dan tawadhu’ tidak banyak bercakap sia-sia dan suka beribadat.

Berburu di Tempat Puaka
Pada suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi pada kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang dianggap berpuaka. Tok Selehor tidak takut sedikitpun. Semasa berburu beliau mengunakan pipit pemanggil rusa. Setelah ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika itulah rusa dapat ditembak dan disembelih. Sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa. Demikian dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Husain dan Encik Mamat bin Senik, Selehor.

Yu Besar di Pengkalannya
Makam Tok Selehor
Selepas tiga hari pulang dari memburu rusa, seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor. Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke laut . Dua hari kemudian datang kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya. Beberapa hari selepas itu Tok Selehor ditimpa sakit kepala. Walaupun diubati tidak juga sembuh. Selepas lapan hari, iaitu pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935 jam 8.30 malam dia pun meninggal dunia dalam usia 64 tahun. Wallahu A’lam…

Rujukan:

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan