~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Sunday, December 26, 2010

Syeikh Abdus Samad Al-Falembani: Ulama’ Ulung Rantau Melayu

0 comments

ALAM Melayu mempunyai ramai ulama’ yang menyebarkan agama Islam sejak berabad-abad lamanya. Ulama-ulama silam ini menulis pelbagai kitab yang menjadi rujukan masyarakat hingga ke hari ini. Antara ulama silam yang menyumbangkan jasa kepada perkembangan Islam di Alam Melayu ialah Syeikh Abdus Samad Al-Falembani. Syeikh Abdus Samad Al-Falembani mempunyai kaitan dengan sejarah kerajaan negeri Kedah pada zaman Sultan Muhammad Jiwa Zain Al-Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710 - 1778) dan zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II atau Marhum Melaka, Sultan Kedah ke-22 (1804 - 1845).

Ketika Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-17 (1698 - 1706) bersemayam di Kota Bukit Pinang, putera sulung baginda, Tunku Muhammad Jiwa meminta keizinan baginda untuk melanjutkan pelajaran agama di luar negeri. Tunku Muhammad Jiwa secara sulit meninggalkan Kedah belayar ke Palembang dan di sana beliau berguru dengan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani, ulama dan pendakwah yang berasal dari Yaman. Selepas tamat pengajiannya, beliau dibawa belayar ke Tanah Jawa dan seterusnya ke India. Setelah hampir enam tahun di perantauan, pada 1 Jamadil Akhir 1122 H (28 Julai 1710 M), Tunku Muhammad Jiwa meninggalkan India belayar ke Kedah dengan membawa gurunya, Syeikh Abdul Jalil.

Kepulangan Tunku Muhammad Jiwa amat dinanti-nantikan oleh para pembesar dan rakyat kerana takhta Kerajaan Kedah telah lama kosong kerana kemangkatan ayahandanya, Sultan Abdullah Muazzam Syah yang disusuli adindanya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah I. Pada 26 Syaaban 1122 H (20 Oktober 1710 M), Tunku Muhammad Jiwa secara rasminya ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke-19 di Istana Kota Bukit Pinang dan baginda memerintah sehingga tahun 1798 M. Sultan Muhammad Jiwa telah melantik Syeikh Abdul Jalil sebagai Mufti Kerajaan Kedah dan beliau berkhidmat sehingga tahun 1782 M. Di Kedah, Syeikh Abdul Jalil berkahwin dengan Wan Zainab, anak seorang pembesar Kedah bergelar Datuk Maharaja Putera Dewa dan mempunyai dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir (yang kemudiannya menjadi Mufti Kerajaan Kedah) dan Wan Abdullah (yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa).

Ketika Syeikh Abdul Jalil pulang ke Palembang menziarahi bekas anak-anak muridnya, beliau berkahwin pula dengan Radin Ranti dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Abdus Samad, yang lebih dikenali sebagai Syeikh Abdus Samad Al-Falembani. Walau bagaimanapun, pelbagai versi menyebut tentang nama bapa Syeikh Abdus Samad Al-Falembani iaitu Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani, Faqih Husein al-Falimbani, Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dan Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah misalnya menyebut bahawa Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Dalam Bulughul Maram, karya Syeikh Muhammad Yasin Padang, beliau menyebut Syeikh Abdus Samad Al- Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani   dan Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani.

Tahun kelahiran Syeikh Abdus Samad Al-Falembani juga tidak dapat dipastikan dengan tepat. Kita tinggalkan tentang perbezaan pendapat berhubung nama ayah dan ketidakpastian tahun kelahiran Syeikh Abdus Samad Al-Falembani dan susuri pendidikan tokoh ulama ini. Menurut Wan Muhammad Shaghir Abdullah, apabila Syeikh Abdul Jalil pulang semula ke Kedah, beliau membawa bersama anaknya, Abdus Samad. Anak-anaknya diajar ilmu-ilmu dasar keIslaman sebelum menghantar mereka memasuki salah sebuah pondok yang terkenal di Pattani ketika itu. Walau bagaimanapun, tidak dapat dikenal pasti siapakah guru-guru mereka dan pondok manakah yang mereka masuki, sama ada Bendang Gucil, Kerisik, Kuala Bekah atau Semala. Selepas mendapat pendidikan di Pattani, Syeikh Abdul Jalil   menghantar anak-anak beliau ke Tanah Suci Makkah untuk mendalami pengajian mereka.

Abdus Samad terus menetap di sana, manakala saudaranya, Syeikh Wan Abdul Qadir yang pulang lebih awal ke negeri Kedah telah dilantik sebagai mufti pada zaman Sultan Abdullah Mukarram Syah, Sultan Kedah ke-20 (1778 - 1797) dan Sultan Tajuddin Halim Syah II, Sultan Kedah ke-22 (1804 - 1845). Sementara itu, adinda Syeikh Wan Abdul Qadir, Wan Abdullah pula dilantik sebagai salah seorang pembesar negeri Kedah. Selama 30 tahun Syeikh Abdus Samad menetap di Makkah, antara rakan sepengajiannya ialah Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, penyusun kitab Sabilul Muhtadin dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang terlibat dalam penulisan kitab-kitab Jawi atau Melayu. Selain Makkah, Syeikh Abdus Samad juga menetap di Madinah selama 5 tahun. Selain Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, kawan-kawan lain Syeikh Abdus Samad ialah Syeikh Abdul Wahab Pangkajena (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, dan Syeikh Muhammad Ali Aceh  . Tentang gurunya pula, Syeikh Abdus Samad, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani   pernah belajar kepada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh, penyusun kitab Bidayatul Hidayah mengenai tauhid dalam bahasa Melayu.

Antara kitab karangan Syeikh Abdus Samad yang masih digunakan sampai sekarang Menurut Syeikh Yasin Padang pula, Syeikh Abdus Samad menerima hampir semua ilmunya daripada al-Mu`ammar `Aqib bin Hasanuddin bin Ja`afar al-Falimbani (Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin bin Ja`afar bin Muhammad bin Badruddin al-Falimbani). Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani, Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al- Falimbani adalah murid Syeikh Abdus Samad. Dalam hal ini, Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah berpendapat bahawa sumber daripada Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani lebih dapat dipegang kerana pertama, zaman Syeikh Muhammad Azhari   masih terlalu dekat dengan zaman Syeikh Abdus Samad; kedua, salasilah yang dibicarakan adalah melibatkan Syeikh Muhammad Azhari sendiri selaku cucu murid dalam Tarekat Samaniyyah yang diamalkan oleh Syeikh Abdus Samad; dan ketiga, sama-sama berasal dari Palembang dan sewaktu Syeikh Muhammad Azhari belajar di Mekah seakan-akan dalam lingkungan satu kekeluargaan dengan kewarisan Syeikh Abdus Samad.

Dinyatakan juga bahawa Syeikh Abdus Samad dan Syeikh Muhammad `Aqib pernah berguru dengan Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikhul Islam dan Imam Haramain pada zaman itu dan Syeikh `Athaullah, dari Mesir. Syeikh Abdus Samad  juga pengikut sufi yang telah menerima Tarekat Samaniyyah daripada gurunya Syeikh Muhammad bin Abdul Karim As-Saman al-Madani (Syeikh Saman). Tarekat ini diterima ketika beliau menetap di Madinah. Sebenarnya Syeikh Abdus Samad menuntut ilmu dengan ramai ulama seperti dalam karyanya Zahratul Murid, beliau menyebut beliau berguru dengan Syeikh Ahmad bin Abdul Munkim ad-Damanhuri. Syeikh Abdus Samad juga berguru dengan Syeikh Abdul Ghani al-Hilali, As-Sufi Saiyid Ahmad bin Muhammad Syarif Maqbul al-Ahdal (beliau belajar kitab Hadis Arbain dan Riyadhus Salihin), Asy-Syihab Ahmad bin Abdul Fattah al-Malawi (belajar kitab Umdatul Ahkam), dan Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha bin Muhammad az-Zabidi (Zubaidi).

Dengan Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha bin Muhammad az-Zabidi, Syeikh Abdus Samad dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari belajar kitab At-Taukid fi Haqqillah karya Syeikh al-Islam Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman. Dengan ramai guru yang beliau menuntut ilmu, tidak hairanlah Syeikh Abdus Samad berjaya menjadi ulama ulung yang kitab-kitab karangannya sehingga kini masih dirujuk. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid adalah karya pertama Syeikh Abdus Samad. Kitab ini ditulis pada 1178 H/1764 M. Kitab ini merupakan catatan beliau ketika belajar ilmu tauhid dengan Syeikh Ahmad bin Abdul Munkim ad-Damanhuri di Makkah. Selain itu, Syeikh Abdus Samad juga menulis kitab Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil Muttaqin. Kitab ini selesai ditulis di Makkah pada hari Selasa, 5 Muharam 1192 H. Sebahagian besar kitab ini adalah terjemahan daripada Bidayatul Hidayah, karangan Imam Ghazali.

Kitab ini ditashihkan dan disebar secara meluas oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani dan ia juga adalah kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali ditashih dan dicetak di Mesir. Syeikh Abdus Samad juga menghasilkan kitab Siyarus Salikin ila Ibadati Rabbil Alamin atau judul lain ialah Siyarus Salikin fi Thariqah as-Sadat as-Sufiyah. Kandungan kitab tersebut sebahagian besarnya merupakan terjemahan Ihya’ Ulumid Din, karangan Imam Ghazali. Kitab Siyarus Salikin ini dianggap sebuah kitab Melayu/Jawi yang bernilai tinggi, bersifat ilmiah tasawuf yang cukup mantap. Kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Samad ini terdiri daripada empat jilid. Jilid pertama ditulis pada 1193 H/1779 M dan siap pada awal tahun 1194 H/1780 M di Mekah. Jilid kedua pula mulai ditulis pada 1194 H/1780 M dan selesai pada hari Sabtu, 19 Ramadan 1195. H/1781 di Taif. Pada tahun 1195 H/1781 M, jilid ketiga ditulis dan berjaya diselesaikan pada 19 Safar 1197 H/1783 M di Makkah.

Walau bagaimanapun, untuk jilid keempat, Syeikh Abdus Samad tidak menyebut tahun ia mulai menulisnya, tetapi beliau selesai menulisnya pada 20 Ramadan 1203 H/1788 di Taif. Kitab ini kini telah ditahqiqkan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu serta diterbitkan dalam tulisan Rumi dan Jawi. Kitab-kitab lain karya Syeikh Abdus Samad ialah al-`Urwatul Wutsqa Wa Silsilatu Waliyil Atqa (terjemahan karya Syeikh Muhammad Saman yang ditulis dalam bahasa Arab), Ratib Syeikh Abdus Samad al-Falimbani, Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mukminina fi Fadhailil Jihadi wa Karamatil Mujtahidina fi Sabilillah, Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah (1179 H/1765 M), Ar-Risalatu fi Kaifi yati Ratib Lailatil Jumkah, Mulhiqun fi Bayanil Fawaidin Nafikah fi Jihadi fi Sabilillah, Zadul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil 'Alamin, 'Ilmut Tasawuf, Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah 'Alaihis Shalatu wa Salam, Kitab Mikraj, dan Puisi Kemenangan Kedah.

Kitab-kitab karangan Syeikh Abdus Samad ini boleh dimanfaatkan oleh umat Islam hari ini terutama sekali kitab seperti Siyarus Salikin yang telah ditahqiqkan oleh pihak-pihak yang peka dengan ilmu yang terkandung di dalamnya. Yang menarik sekali tentang riwayat hidup Syeikh Abdus Samad ialah beliau dipercayai melibatkan diri dalam peperangan Kedah/Pattani melawan Siam yang membawa beliau mati syahid kerana mempertahankan tanah air. Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat berhubung tarikh wafat Syeikh Abdus Samad sama ada beliau wafat pada 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M. Sesungguhnya, Alam Melayu amat bertuah kerana mempunyai seorang ulama ulung seperti Syeikh Abdus Samad yang memperjuangkan agama Islam sama ada dalam bidang penulisan ataupun berjihad menentang golongan bukan Islam yang menjajah negeri.
Read full story

Wednesday, December 22, 2010

Bahaya Apabila Islam Dijadikan Slogan, Sekularisme Menjadi Perjuangan…

0 comments
بسم الله الرحمن الحيم

Firman Allah dalam  ayat 49-50  surah al-Maidah:

Maksudnya: Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu. Jika mereka berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mengkehendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?.
           
Kita sentiasa berdepan dengan dua keadaan yang berlawanan dan bertentangan untuk diperhati dan difikirkan secara mendalam mengikut neraca wahyu untuk membezakannya dan seterusnya mengambilnya untuk diguna pakai atau dijadikan sempadan. Ada yang hak dan ada yang batil, ada yang benar dan ada yang palsu, ada yang asli dan yang cetak rompak. Sebagaimana masyarakat dihebohkan dengan ulama’ benar dan ulama’ palsu begitulah juga kita di hantui dengan isu negara Islam benar dan cetak rompak.

Malaysia hari ini menyaksikan pergolakan politik yang agak ketara sehinggakan menjadi isu utama dalam akhbar-akhbar tempatan, ada yang mengatakan parti itu salah, parti kami betul dan sebagainya demi menegakkan perjungan masing-masing. Masyarakat hari ini mereka menjadi kepeningan dan tidak tahu mana satu parti pendapat yang perlu mereka taati. Mereka masih keliru, adakah negara ini diiktiraf negara Islam atau selainnya.

Di sini suka dibawa beberapa ciri yang perlu ada kepada sebuah negara Islam untuk pengetahuan kita bersama. Ciri pertama: Syariat Islam mestilah menjadi aqidah negara dan dari aqidah itulah ditegakkan perlembagaan, perundangan dan segala sistem hidup. Firman Allah dalam ayat 65 surah az-Zumar :

Maksudnya: Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi sebelum kamu. Jika kamu syirik nescaya akan terhapuslah amalan dan tentulah kamu termasuk golongan mereka yang rugi”
           
Setelah diteliti tentang aqidah negara ini maka memang jelas tentang dasar sekulerismenya, sebagai contohnya masih terpisah antara mahkamah sivil dan syariah, terpisahnya politik atau pentadbiran negara dengan Islam. Ditambah lagi dengan tekanan terhadap dakwah Islam begitu kuat berbanding agama lain terutama Kristian sehingga banyak masjid dan surau lebih suka dimatikan daripada dihidupkan dengan majlis ilmu malah bertambah malang ada surau yang diroboh. Ilmu Islam bukan sahaja tidak dibenarkan untuk disampaikan secara menyeluruh malah pusat pengajian Islam diperangi habis-habisan kerana terlalu bimbang lebih ramai ulama’ dilahirkan, sekolah-sekolah agama dianaktirikan.

Lebih banyak perundangan yang dipinda hanya mengikut nafsu bukannya berdasarkan wahyu. Antara yang dilaksanakan adalah penyeragaman doa di sekolah kebangsaan di mana menurut Mufti Perak boleh membawa kepada syirik seterusnya murtad terutama jika di sekolah itu ada pelajar atau guru yang pelbagai agama di mana jika kalimah Allah dalam doa hanya disebut Tuhan Kami sahaja kerana biasanya kalimah Tuhan Kami dikembalikan kepada tuhan mengikut kepercayaan agama masing-masing bukannya Allah. Jika negara ini adalah negara Islam maka perkara ini mesti dirujuk kepada ulama’ terlebih dahulu kerana ia melibatkan aqidah.

Baru-baru ini juga kita digemparkan oleh media, perdana menteri mengeluarkan kenyataan bahawa “usaha untuk meninggikan syiar Islam dan membangunkan ummah tidak boleh berdasarkan kepada slogan ‘Membangun Bersama Islam’ semata-mata, kerana tidak akan membawa kepada pembangunan ummah hari ini” ketika merasmikan Masjid Sayyidina Ali di Melaka. Beginikah pemimpin yang sedang dibanggakan oleh rakyat Malaysia?

Ciri kedua: Syariat Islam mestilah diletakkan di tempat yang paling tinggi. Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Hujurat :

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
           
Setelah dikaji kita dapati bagaimana agama Islam sebagai agama rasmi negara dalam perlembagaan bukan bermakna Islam mampu dilaksanakan dalam semua keadaan sebaliknya jika perundangan Islam bertentangan dengan perlembagaan negara yang berasaskan Lord Reid maka ia sendirinya terbatal dan boleh diambil tindakan tegas jika dilaksanakan sebagaimana kegagalan enakmen syariah Kelantan untuk dilaksanakan walau pun telah lama diluluskan akibat bertentangan dengan perlembagaan negara. Sebaliknya undang-undang yang jelas bertentangan dengan Islam selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan negara boleh dilaksanakan seperti lesen judi atas alasan untuk memenuhi kehendak bukan Islam terutama bangsa Cina sedangkan di negara China, Taiwan malah Singapura yang majoriti rakyatnya  berbangsa Cina di mana masyarakat dan kerajaannya sentiasa berusaha dalam mengurangkan tempat judi yang merosakkan masyarakat.

Pemimpin turut memberi ruang yang begitu luas dalam membiakkan kelab malam yang melahirkan ribuan pelacur di mana mejoritinya daripadanya bangsa Melayu yang biasanya beragama Islam. Malah hiburan yang merosakkan akhlak muda mudi semakin hari semakin teruk sehingga masalah sosial bukan semakin menurun malah bertambah naik. Undang-undang rogol  terbaru yang dianggap lebih tegas bagaikan tiada yang takut kerana saban hari perkara terkutuk ini terus berlaku malah lebih kejam. Mengapakah hukuman Islam yang jelas dalam masalah ini tidak mahu dilaksanakan walau pun sudah terbukti kegagalan perundangan manusia.

Ciri ketiga: Perlaksanaan Islam yang menyeluruh meliputi aqidah, syariah, akhlak, sistem, kebendaaan, kemanusiaan dan sebagainya. Penerimaan Islam secara menyeluruh sebagai dasar dan hukum negara adalah wajib walau pun ia menerima pelaksanaannya secara berperingkat. Tetapi apa yang kita lihat bagaimana dari asas lagi kebanyakan pemimpin menolak sistem Islam yang menyeluruh apatah lagi untuk melaksanakannya. Jika ada sedikit dilaksanakan bukan atas rasa tanggungjawab yang mesti ditunaikan sebaliknya atas rasa terdesak dengan desakan rakyat yang boleh menggugat kedudukan mereka.
           
Kita melihat pelaksanaan kepada perundangan dalam negara hanya mengikut nafsu di mana jika ada keuntungan dunia maka diambil bukannya mengikut neraca wahyu. Inilah yang menyebabkan pembukaan kilang arak yang begitu banyak dalam negara yang bukan sahaja melebihi permintaan orang bukan Islam malah boleh dieksport ke luar negara. Begitu juga dengan sistem riba yang banyak menindas terus diamalkan sedangkan sistem ekonomi Islam bukan sahaja berlaku adil dan menguntungkan orang Islam malah turut merangkumi orang bukan Islam telah ada untuk dilaksanakan secara menyeluruh tetapi tidak pula dilaksanakan.
           
Oleh itu sedarlah kita betapa bahayanya slogan Islam tapi hakikatnya Sekularisme Menjadi Pegangan kerana ia boleh mengelirukan umat Islam dan bukan Islam sehingga rakyat berpuas hati dengan apa yang ada dan tidak lagi berjuang untuk menegakkan ajaran Islam yang menyeluruh. Ia juga menyebabkan masalah kemurtadan akan semakin bertambah yang menyebabkan umat Islam tidak sedar bahawa jumlah umat Islam semakin sedikit. Malah aqidah umat Islam semakin rosak apabila mengiktiraf negara Islam cetak rompak sebagai negara Islam contoh sedangkan ia bertentangan dengan apa yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w dan khulafa’ ar-Rasyidin dan khalifah selepas mereka. Oleh itu jangan hanyut dengan nikmat yang melimpah ruah kerana ia adalah ujian yang kadang-kadang untuk menghancurkan umat yang lalai dan melawan Allah.

Ingatlah Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am :
Maksudnya:Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka lalu Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami siksa mereka dengan tiba-tiba. Maka ketika itu mereka terdiam putus asa”

Ingatlah!!! Musuh hari ini bukan dalam peperangan qital untuk menghapuskan Islam, tetapi mereka memerangi dalm bentuk menanam fikrah. Musuh hari ini adalah sekularisma “mengasingkan agama dengan politik” dan perlu dihapuskan dengan segera. Jika yang memerintah negara Islam sekalipun, tetapi pembawaannya berlandaskan sekular, maka wajib kita perangi supaya tidak wujud lagi fahaman tersebut.

Berjuanglah sehingga Islam yang memerintah, bukan Islam diperintah. Yahudi dari dulu memang tidak berpuas hati dengan Islam dan mereka merancang pelbagai perancangan untuk menghancurkan umat Islam dan hari ini, mereka sudah berjaya menelanjangkan umat Islam. tetapi kebanyakan umat Islam masih tidak sedar bahawasanya mereka sedang bertelanjang. Sebagai akhirnya saya bawakan beberapa perancangan yahudi yang telah terlaksana yang ditanam dalam fikiran umat Islam ialah:

1-        Menghapuskan Islam dari jatidiri umat Islam.
2-        Melemahkan kesatuan/jamaah umat Islam.
3-        Menanamkan dalam diri umat Islam dengan rasa mudah mengalah sebelum berjuang.
4-        Membeli tanah dari umat Islam.
5-        Membentuk kumpulan perosak yang bertopengkan Islam.

Read full story

Friday, December 17, 2010

Adab-Adab Membaca Al-Quraan…

0 comments

Al-Qura'an sebagai Kitab Suci, Wahyu Ilahi yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. yang membawa Rahmat ke seluruh alam ini melalui Malaikat Jibril pada malam 27 Ramadhan, mempunyai adab-adab tersendiri bagi orang-orang yang membacanya. Adab-adab itu sudah diatur dengan sangat baik, untuk penghormatan dan keagungan Al-Quran, tiap-tiap orang harus berpedoman kepadanya dan mengerjakannya.

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin telah memperinci dengan sejelas-jelasnya bagaimana hendaknya adab-adab membaca Al-Qur'an menjadi adab yang mengenal batin, dan adab yang mengenal lahir.

Adab yang mengenal batin itu, diperinci lagi menjadi arti memahami asal kalimah, cara hati membesarkan kalimat Allah s.w.t, menghadirkan hati dikala membaca sampai ke tingkat memperluas, memperhalus perasaan dan membersihkan jiwa. Dengan demikian, kandungan Al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah, dapat bersemi dalam jiwa dan meresap ke dalam hati sanubarinya. Kesemuanya ini adalah adab yang berhubungan dengan batin, iaitu dengan hati dan jiwa.

Sebagai contoh, Imam Al-Gazhali menjelaskan, bagaimana cara hati membesarkan kalimah Allah s.w.t, iaitu bagi pembaca Al-Qur'an ketika ia memulainya, maka terlebih dahulu ia harus menghadirkan dalam hatinya, betapa kebesaran Allah s.w.t. yang mempunyai kalimah-kalimah itu. Dia harus yakin dalam hatinya, bahawa yang dibacanya itu bukanlah kalam manusia, tetapi adalah kalam Allah ‘Azza wa Jalla. Membesarkan kalam Allah s.w.t. itu, bukan saja dalam membacanya, tetapi juga dalam menjaga tulisan-tulisan Al-Quran itu sendiri.

Sebagaimana yang diriwayatkan, 'Ikrimah bin Abi Jahl, sangat gusar hatinya bila melihat lembaran-lembaran yang bertuliskan Al-Quran berselerak seolah-olah tersia-sia, lalu ia memungutnya selembar demi selembar, sambil berkata: "Ini adalah kalam Tuhanku!!! Ini adalah kalam Tuhanku, membesarkan kalam Allah s.w.t. berarti membesarkan Allah s.w.t."

Adapun mengenai adab lahir dalam membaca Al-Quran, selain didapati di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, juga banyak terdapat di dalam kitab-kitab lainnya. Misalnya dalam kitab Al-Itqan oleh Al-Imam Jalaludin As-Suyuthu, tantang adab membaca Al-Quran itu diperincinya sampai menjadi beberapa bagian.

Antara adab-adab membaca Al-Quran:

1. Disunatkan membaca Al-Quran sesudah berwudhu, dalam keadaan bersih, sebab yang dibaca adalah wahyu Allah s.w.t.

2. Mengambil Al-Quran hendaknya dengan tangan kanan, sebaiknya memegangnya dengan kedua belah tangan.

3. Disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, di surau, di musolla dan di tempat-tempat lain yang dianggap bersih. Tapi yang paling utama ialah di masjid.

4. Disunatkan membaca Al-Quran menghadap ke Qiblat, membacanya dengan khusyu' dan tenang.

5. Ketika membaca Al-Quran, mulut hendaknya bersih, tidak berisi makanan, sebaiknya sebelum membaca Al-Quran mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu.

6. Sebelum membaca Al-Quran disunatkan membaca ta'awwudz, yang berbunyi. Sesudah itu barulah dibaca Basmalah. Maksudnya, diminta lebih dahulu perlindungan dari Allah s.w.t, supaya terjauh pengaruh tipu daya syaitan, sehingga hati dan fikiran tetap tenang di waktu membaca Al-Quran, dijauhi dari gangguan. Biasa juga orang yang sebelum atau sesudah membaca ta'awwudz itu, berdoa dengan maksud memohon kepada Alah supaya hatinya menjadi terang. Doa itu berbunyi sebagai berikut.

"Ya Allah bukakanlah kiranya kepada kami hikmat-Mu, dan taburkanlah kepada kami rahmat dan khazanah-Mu, ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

7. Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, yaitu dengan bacaan yang pelan-pelan dan tenang, sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam surah (73) Al-Muzammil ayat 4:

"....Dan bacalah Al Quran itu dengan tartil".

Sayyidina Ali k.w.j dalam menafsirkan ayat ini dia mengatakan “tartil” dalam ayat tersebut ialah membaca dengan bertajwid”. Membaca dengan tartil itu lebih banyak memberi bekas dan mempengaruhi jiwa, serta lebih mendatangkan ketenangan batin dan rasa hormat kepada Al-Quran.

Telah berkata Ibnu Abbas r.a.:" Aku lebih suka membaca surah Al-Baqarah dan Ali Imran dengan tartil, daripada ku baca seluruh Al-Quran dengan cara terburu-buru dan cepat-cepat."

8. Bagi orang yang sudah mengerti arti dan maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pemikiran tentang ayat-ayat yang dibacanya itu dan maksudnya. Cara pembacaan seperti inilah yang dikehendaki, iaitu lidahnya bergerak membaca, hatinya turut memperhatikan dan memikirkan arti dan maksud yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibacanya. Dengan demikian, ia akan sampai kepada hakikat yang sebenarnya, iaitu membaca Al-Quran serta mendalami isi yang terkandung di dalamnya. Hal itu akan mendorongnya untuk mengamalkan isi Al-Quran itu. Firman Allah dalam surah (4) An-Nisaa ayat 82 berbunyi sebagai berikut:

Maksudnya: "Apakah mereka tidak memperhatikan (isi) Al Quran?..."

Bila membaca Al-Quran yang selalu disertai perhatian dan pemikiran arti dan maksudnya, maka dapat ditentukan ketentuan-ketentuan terhadap ayat-ayat yang dibacanya.

Umpamanya: Bila bacaan sampai kepada ayat tasbih, maka dibacanya tasbih dan tahmid, bila sampai pada ayat Doa dan Istighfar, lalu berdoa dan minta ampun, bila sampai pada ayat azab, lalau meminta perlindungan kepada Allah, bila sampai kepada ayat rahmat, lalu meminta dan memohon rahmat dan begitulah seterusnya. Caranya, boleh diucapkan dengan lisan atau cukup dalam hati saja.

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, dari Ibnu Abbas yang maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila membaca: "awal surah al-A’la beliau lalu membaca subhanarobbiyal a'la . Diriwayatkan pula oleh Abu Daud, dan Wa-il bin Hijr yang maksudnya: "Aku dengan Rasulullah s.a.w. membaca surah Al-Fatihah, maka Rasulullah s.a.w. sesudah membaca ayat akhir surah al-Fatihah lalu membaca aamin . Demikian juga disunatkan sujud, bila membaca ayat-ayat sajadah, dan sujud itu dinamakan sujud tilawah.

Ayat-ayat sajadah itu terdapat pada 15 tempat iaitu:
1-        surah Al-A'raaf ayat 206
2-        surah Ar-ra'd ayat 15
3-        surah An-Nahl ayat 50
4-        surah Bani Israil/al-Isra’ ayat 109
5-        surah Maryam ayat 58
6-        surah Al-Hajj ayat 18 dan ayat 77
7-        surah Al-Furqaan ayat 60
8-        surah Annaml ayat 26
9-        surah As-Sajdah ayat 15
10-    surah As-Shaad ayat 24
11-    surah Haamim/Fissilat ayat 38
12-    surah An-Najm ayat 62
13-    surah Al-Insyiqaq ayat 21
14-    surah Al-'Alaq ayat 19

Selain itu, ayat Sajadah dalam surah Shaad disunatkan melakukan sujud Syukur. Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Nabi Dawud Sujud kerana taubat dan kami sujud kerana syukur" - (HR. al-Nasa`ii).

9. Dalam membaca Al-Quran itu, hendaknya benar-benar diresapkan arti dan maksudnya, lebih-lebih apabila sampai pada ayat-ayat yang menggambarkan nasib orang-orang yang berdosa, dan bagaimana hebatnya siksaan yang disediakan bagi mereka. Sehubungan itu, menurut riwayat, para sahabat banyak yang mencucurkan air matanya di kala membaca dan mendengar ayat-ayat suci Al-Quran yang menggambarkan betapa nasib yang akan diderita oleh orang-orang yang berdosa.

Pada suatu ketika, seorang sahabat melihat sayyidina Ali k.w.j membaca al-Quran, apabila sampai di satu ayat, lalu Sayyidina Ali pengsan, sahabat tersebut pelik dan risau ingatkan Sayyidina Ali meninggal, lalu dia laporkan kepada Isteri Sayyidina Ali keadaan Sayyidina Ali, lalu Isterinya berkata “memanglah, Sayyidina Ali apabila membaca al-Quran, menangis dan pengsan adalah perkara biasa”.

10. Disunatkan membaca Al-Quran dengan suara yang bagus lagi merdu, sebab suara yang bagus dan merdu itu menambah keindahan uslubnya Al-Quran. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Kamu hiasilah Al-Quran itu dengan suaramu yang merdu" Sila rujuk kitab Adab Halamat Al-Quran.

Diriwayatkan, bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. menunggu-nunggu istrinya, Siti 'Aisyah r.a. yang kebetulan agak terlambat datangnya. Setelah ia datang, Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Bagaimanakah keadaanmu?" Aisyah menjawab: "Aku terlambat datang, karana mendengarkan bacaan Al-Quran seseorang yang sangat bagus lagi merdu suaranya. Belum pernah aku mendengarkan suara sebagus itu. "Maka Rasulullah s.a.w. terus berdiri dan pergi mendengarkan bacaan Al-Quran yang dikatakan Sayyidatina ‘Aisyah itu. Rasulullah s.a.w. kembali dan mengatakan kepada Aisyah: "Orang itu adalah Salim, budak sahaya Abi Huzaifah. Puji-pujian bagi Allah s.w.t.  yang telah menjadikan orang yang suaranya merdu seperti Salim itu sebagai ummatku."

Oleh sebab itu, melagukan Al-Quran dengan suara yang bagus, adalah disunatkan, asalkan tidak melanggar ketentuan-ketentuan dan tata cara membaca sebagaimana yang telah ditetapkan dalam ilmu qiraat dan tajwid, seperti menjaga madnya, harakatnya (barisnya) idghamnya dan lain-lainnya.

Di dalam kitab zawaidur raudhah, diterangkan bahawa melagukan Al-Quran dengan cara bermain-main serta melanggar ketentuan-ketentuan seperti tersebut di atas itu, haramlah hukumnya, orang yang membacanya dianggap fasiq, juga orang yang mendengarkannya turut berdosa.

11. Seboleh-bolehnya membaca Al-Quran janganlah diputuskan hanya karana hendak berbicara dengan orang lain. Hendaknya pembacaan diteruskan sampai ke batas yang telah ditentukan, barulah disudahi. Juga dilarang tertawa-tawa, bermain-main dan lain-lain yang semacam itu, ketika sedang membaca Al-Quran. Sebab pekerjaan yang seperti itu tidak layak dilakukan sewaktu membaca Kitab Suci dan berarti tidak menghormati kesuciannya.

Itulah antara adab-adab yang terpenting yang harus dijaga dan diperhatikan, sehingga dengan demikian kesucian Al-Quran dapat terpelihara menurut arti yang sebenarnya. Selain itu, kita sebagai umat Islam, selepas memahami dan menghayati benar-benar kehendak al-Quran, maka perlu pula kepada pengamalan dalam kehidupan, bukan sekadar faham dan membaca sampai pengsan kerana takutkan azab Allah lalu tidak mengamalkannya dalam kehidupan. Hak-hak kita kepada al-Quran perlu kita perjuangkan demi memastikan Islam dan al-Quran diletakkan di tempat yang sepatutnya, bukan hanya dibaca dalam majlis-majlis dan dibuat pertandingan. Dengan mengamalkannya, mudah-mudahan akan mendapat berkat dan keredhaan Allah, insya Allah.  Sekian, wassalam…
Read full story

Monday, December 13, 2010

Ciri-Ciri Golongan Munafik Sejati...

0 comments

1. Dusta:
Hadith Rasulullah yang diriwayatkan Imam Ahmad Musnad dengan sanad Jayyid: "Celaka baginya, celaka baginya, celaka baginya. Iaitu seseorang yang berdusta agar orang-orang tertawa. "Di dalam kitab Shahihain (Shahih Bukhari dan Muslim), Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tanda orang munafik ada 3, salah satunya adalah jika berbicara dia dusta."

2. Khianat:
Sabda Rasulullah s.a.w.: "Dan apabila berjanji, dia berkhianat." Barangsiapa memberikan janji kepada seseorang, atau kepada isterinya, anaknya, sahabatnya, atau kepada seseorang dengan mudah kemudian dia mengkhianati janji tersebut tanpa ada sebab uzur syar'i maka telah hinggap pada dirinya salah satu tanda kemunafikan.

3. Fujur Dalam Pertikaian:
Sabda Rasulullah SAW: "Dan apabila bertengkar (bertikai), dia melampau"

4. Ingkar Janji:
Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tanda orang munafik ada 3: jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika dipercaya (diberi amanat) dia berkhianat." (HR. Bukhari Muslim).

5. Malas Beribadah:
Firman Allah SWT: "...Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas..." (An-Nisa': 142). Jika orang munafik pergi ke masjid/surau, dia menyeret kakinya seakan-akan terbelenggu rantai. Oleh kerana itu, ketika sampai di dalam masjid/surau dia memilih duduk di sof yang paling akhir. Dia tidak mengetahui apa yang dibaca imam dalam solat, apalagi untuk menyemak dan menghayatinya.

6. Riya':
Di hadapan manusia dia solat dengan khusyuk tetapi ketika seorang diri, dia mempercepatkan solatnya. apabila bersama orang lain dalam suatu majlis, dia nampak zuhud dan berakhlak baik, demikian juga pembicaraannya. Namun, jika dia seorang diri, dia akan melanggar perkara yang diharamkan Allah s.w.t.

7. Sedikit Dalam Berzikir:
Firman Allah s.w.t.: "...Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat) di hadapan manusia dan tidaklah mereka menyebut Allah s.w.t. kecuali sedikit sekali.  (An-Nisa': 142)

8. Mempercepat Solat:
Mereka (orang-orang munafik) adalah orang yang mempercepatkan solat tanpa ada rasa khusyuk sedikit pun. Tidak ada ketenangan dalam mengerjakannya, dan hanya sedikit mengingat Allah s.w.t. di dalamnya. Fikiran dan hatinya tidak menyatu. Dia tidak menghadirkan keagungan, kehebatan, dan kebesaran Allah s.w.t. dalam solatnya. Hadith Nabi s.a.w.: "Itulah solat orang munafik... lalu mempercepat empat rakaat (solatnya)".


9. Mencela Orang-Orang Yang Taat Dan Soleh:
Mereka memperlekehkan orang-orang yang taat dengan ungkapan yang mengandung cemuhan dan celaan. Oleh kerananya, dalam setiap majlis pertemuan sering kali kita temui orang munafik yang hanya membincangkan sepak terajang orang-orang soleh dan orang-orang yang konsisten terhadap Al-Quran dan As-Sunnah. Baginya seakan-akan tidak ada yang lebih penting dan menarik selain memperolok-olok orang-orang yang taat kepada Allah s.w.t.

10. Memperolok-Olok Al-Quran, As-Sunnah Dan Rasulullah s.a.w:
Termasuk dalam kategori Istihzaa' (berolok-olok) adalah memperolok-olok perkara yang disunnah Rasulullah s.a.w. dan amalan-amalan lainnya. Orang yang suka memperolok-olok dengan sengaja hal-hal seperti itu, jatuh kufur ke atasnya.  Firman Allah s.w.t.: "...Katakanlah: 'Apakah dengan Allah s.w.t, Ayat-AyatNya, dan RasulNya kamu selalu berolok-olok?' Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman..." (At-Taubah: 65-66)

11. Bersumpah Palsu:
Firman Allah SWT: "Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai..." (Al-Munafiqun: 2, Al-Mujadilah: 16) Jika seseorang menanyakan kepada orang munafik tentang sesuatu, dia langsung bersumpah. Apa yang diucapkan orang munafik semata-mata untuk menutupi kedustaannya. Dia selalu mengumpat dan memfitnah orang lain. Maka jika seseorang itu menegurnya, dia segera mengelak dengan sumpahnya: "Demi Allah, sebenarnya kamu adalah orang yang paling aku sukai. Demi Allah, sesungguhnya kamu adalah sahabatku.

12. Enggan Berinfak:
Orang-orang munafik memang selalu menghindari perkara yang menuntut pengorbanan, baik berupa harta mahupun jiwa. Apabila menjumpai mereka berinfak, bersedekah, dan mendermakan hartanya, mereka lakukan kerana riya' dan sum'ah. Mereka enggan bersedekah, kerana pada hakikatnya, mereka tidak menghendaki pengorbanan harta, apatah lagi jiwanya.

13. Tidak Menghiraukan Nasib Kaum Muslimin:
Mereka selalu menciptakan kelemahan-kelemahan dalam barisan muslimin. Inilah yang disebut At-Takhdzil, iaitu sikap meremehkan, menakut-nakutkan, dan membiarkan kaum muslimin. Orang munafik berpendapat bahawa orang-orang kafir lebih kuat daripada kaum muslimin.

14. Suka Menyebarkan Khabar Dusta:
Orang munafik senang memperbesar peristiwa/kejadian. Jika ada orang yang tergelincir lisannya secara tidak sengaja, maka datanglah si munafik dan memperbesarkannya dalam majlis-majlis pertemuan. "Apa kalian tidak mendengar apa yang telah dikatakan si fulan itu?" Lalu, dia pun menirukan kesalahan tersebut. Padahal, dia sendiri mengetahui bahawa orang itu mempunyai banyak kebaikan dan keutamaan, akan tetapi si munafik itu tidak akan mahu mengungkapkannya kepada masyarakat.

15. Mengingkari Takdir:
Orang munafik selalu membantah dan tidak redha dengan takdir Allah s.w.t. Oleh kerananya, apabila ditimpa musibah, dia mengatakan: "Bagaimana ini!! Seandainya saya berbuat begini, nescaya akan menjadi begini." Dia pun selalu mengeluh kepada sesama manusia. Sungguh, dia telah mengkufuri dan mengingkari Qadha’ dan Takdir.

16. Mencaci Maki Kehormatan Orang-Orang Soleh:
Apabila orang munafik membelakangi orang-orang soleh, dia akan mencaci maki, menjelek-jelekkan, mengumpat, dan menjatuhkan kehormatan mereka di majlis-majlis pertemuan. Firman Allah s.w.t: "...mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan..."  (Al-Ahzab: 19)

17. Sering Meninggalkan Solat Berjamaah:
Apabila seseorang itu segar, kuat, mempunyai waktu luang, dan tidak memiliki uzur syar'i, namun tidak mahu mendatangi masjid/surau ketika mendengar panggilan azan, maka saksikanlah dia sebagai tanda orang munafik.

18. Membuat Kerosakan Di Muka Bumi Dengan Dalih Mengadakan Perbaikan:
Firman Allah SWT: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: 'Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan kebaikan.' Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar." (Al-Baqarah: 11-12)

19. Tidak Ada Kesesuaian Antara Zahir Dengan Batin:
Secara Zahir mereka membenarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasul Allah, tetapi di dalam hati mereka, Allah telah mendustakan kesaksian mereka. Sesungguhnya, kesaksian yang nampak benar secara Zahir itulah yang menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka. Penampilan zahirnya bagus dan mempersona, tetapi di dalam batinnya terselubung niat busuk dan menghancurkan Islam. Di luar dia menampakkan kekhusyukan, sedangkan di dalam hatinya main-main.

20. Takut Terhadap Kejadian Apa Pun:
Orang-orang munafik selalu diliputi rasa takut. Jiwanya selalu bergoncang, keinginannya hanya selalu mendambakan kehidupan yang tenang dan damai tanpa disibukkan oleh persoalan-persoalan hidup apa pun. Dia selalu berharap: "Tinggalkan dan biarkanlah kami dengan keadaan kami ini, semoga Allah memberikan nikmat ini kepada kami. Kami tidak ingin keadaan kami berubah." Padahal, keadaannya tidaklah lebih baik.

21. Beruzur Dengan Dalih Dusta:
Firman Allah s.w.t: "Di antara mereka ada orang yang berkata: 'Berilah saya izin (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah.' Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir." (At-Taubah: 49)

22. Menyuruh Kemungkaran Dan Mencegah Kemakrufan:
Mereka (orang munafik) menginginkan agar perbuatan keji tersiar di kalangan orang-orang beriman. Mereka menggembar-gemburkan tentang kemerdekaan wanita, persamaan hak, penanggalan hijab/jilbab. Mereka juga berusaha memasyarakatkan nyanyian dan konsert, mereka mendustakan kebenaran, padahal kebenaran itu adalah sudah nyata.

23. Bakhil:
Orang-orang munafik sangat bakhil dalam masalah-masalah kebajikan. Mereka menggenggam tangan mereka dan tidak mahu bersedekah atau menginfakkan sebahagian harta mereka untuk kebaikan, padahal mereka orang yang mampu.

24. Lupa Kepada Allah s.w.t:
Segala sesuatu selalu mereka ingat, kecuali Allah s.w.t. Oleh sebab itu, mereka sentiasa ingat kepada keluarganya, anak-anaknya, nyanyian-nyanyian, berbagai keinginan, dan segala sesuatu yang berhubungan dengan duniawi. Dalam fikiran dan batin mereka tidak pernah terlintas untuk mengingat (zikir) Allah s.w.t, kecuali sebagai tipuan semata-mata.

25. Mendustakan Janji Allah s.w.t. Dan RasulNya:
Firman Allah SWT: "Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata: 'Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami selain tipu daya." (Al-Ahzab: 12)

26. Lebih Memperhatikan Zahir, Mengabaikan Batin:
Orang munafik lebih mementingkan zahir dengan mengabaikan yang batin, tidak menegakkan solat, tidak merasa diawasi Allah s.w.t., dan tidak mengenal zikir... Pada zahirnya, pakaian mereka demikian bagus menarik, tetapi batin mereka kosong, rosak dan lain-lain.

27. Sombong Dalam Berbicara:
Orang-orang munafik selalu sombong dan angkuh dalam berbicara. Mereka banyak cakap dan suka memfasih-fasihkan ucapan. Setiap kali berbicara, mereka akan selalu mengawalinya dengan bila ungkapan menakjubkan yang meyakinkan agar nampak seperti orang hebat, mulia, berwawasan, mengerti, berakal dan berpendidikan. Padahal, pada hakikatnya dia tidak memiliki kemampuan apa pun. Sama sekali tidak memiliki ilmu bahkan lagi terserlah kemunafikannnya.

28. Tidak Memahami Ad-Din:
Di antara "keistimewaan" orang-orang munafik adalah: mereka sama sekali tidak memahami masalah-masalah agama. Dia tahu bagaimana mengenderai kereta dan mengerti perihal mesinnya. Dia juga mengetahui hal-hal remeh-temeh dan pengetahuan-pengetahuan yang tidak pernah memberi manfaat kepadanya meski juga tidak mendatangkan mudharat baginya. Akan tetapi, apabila menghadapi untuk berdialog (bertanya tentang persoalan--persoalan Ad-Din (Islam), dia sama sekali tidak boleh menjawab.

29. Bersembunyi Dari Manusia Dan Menentang Allah Dengan Dosa:
Orang munafik menganggap ringan perkara-perkara terhadap Allah s.w.t., menentang-Nya dengan melakukan berbagai kemungkaran dan kemaksiatan secara sembunyi-sembunyi. Akan tetapi, ketika dia berada di tengah-tengah manusia dia menunjukkan sebaliknya: berpura-pura taat. Firman Allah SWT: "Mereka bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari Allah, padahal Allah beserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai..."  (An-Nisa': 108)

30. Senang Dengan Musibah Yang Menimpa Orang-Orang Beriman Dan Dengki Terhadap Kebahagian Mereka:
Orang munafik apabila mendengar berita bahawa seorang ulama yang soleh tertimpa suatu musibah, dia pun menyebarluaskan berita duka itu kepada masyarakat sambil menampakkan kesedihannya dan berkata: "Hanya Allahlah tempat memohon pertolongan. Kami telah mendengar bahawa si fulan telah tertimpa musibah begini dan begitu... semoga Allah memberi kesabaran kepada kami dan beliau." Padahal, di dalam hatinya dia merasa senang dan bangga akan musibah itu.

Kesipulan:
Sesungguhnya umat akhir zaman ini teramat lemah imannya sepertimana yang diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w. ibarat kulit bawang. Dunia hari ini juga kita perlu berhati-hati dengan dakyah yang dibawa oleh beberapa golongan yang memang ingin menyesatkan umat Islam, tetapi mereka menampakkan Islam sebagai wadah perjuangan mereka, hakikatnya kosong. Berdasarkan ciri-ciri golongan munafik ini perlu kita muhasabah dalam diri kita, adakah antara ciri-ciri ini kita termasuk atau tidak, sekiranya kita termasuk dalam ciri-ciri ini, maka segeralah bertaubat kepada Allah s.w.t. kerana, Allah s.w.t. dan RasulNya teramatlah murka kepada golongan munafik ini dan Allah s.w.t. menjanjikan azab siksa neraka yang paling dahsyat. Wallahu A’lam…

Read full story
 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan