~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Thursday, November 11, 2010

Rialisasikan Pengorbanan Ini, Bukan Sekadar Kata-Kata Manis!!!



Bilamana tibanya bulan Zulhijjah, maka berbondong-bondonglah, berkumandanglah di corong-corong masjid, madrasah dan sebagainya menceritakan perihal pengorbanan dua beranak iaitu Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s serta perihal ibadah Haji. Sebagaimana yang kita maklum, bulan ini juga dinamakan bulan pengorbanan rentetan dari kisah dua orang Nabi ini. Bukan sekadar pengorbanan mereka berdua, malah isteri kepada Nabi Ibrahim juga tidak boleh diketepikan betapa peritnya kehidupan mereka dalam menyanjung perintah Allah, tetapi mereka tidak pernah mengeluh dan hanya taat tanpa banyak soal.

Nabi Ibrahim menuruti perintah Tuhannya dalam berdakwah kepada masyarakat dan bapanya (ulamak tafsir mengatakan bapa saudaranya) tanpa takut, sehinggakan beliau dibakar dalam api yang marak oelh pemerintah pada ketika itu (Namrud). Allah s.w.t mengutuskan Malaikat Jibril untuk mengajar ayatnya kepada Nabi Ibrahim dan Allah s.w.t. nukilkan perkara ini di dalam al-Quran yang bermaksud:

“jadilah api itu sejuk dan selamat ke atas Nabi Ibrahim”

Nabi Ibrahim juga diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk meninggalkan isterinya Hajar di tanah gersang bumi Makah bersama anaknya Ismail ketika Nabi Ismail masih kecil dan Nabi Ibrahim sudah tua. Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim, “Ya Ibrahim suamiku, ke manakah kekanda akan pergi meninggalkan kami, padahal kami tidak memiliki bekal sedikitpun?”. Nabi Ibrahim terdiam kerana dia sendiri tidak mengetahui hala tujunya kecuali hanya kerana titah perintah Allah yang harus ditaatinya. Sayyidah tidak tahu apa lagi lalu akhirnya dia bertanya, “Allah kah yang memberikan perintah ini? Ya, jawab Nabi Ibrahim a.s. Seraya berkata, “pergilah wahai Suamiku, jika ini adalah perintah dariNya, pasti dia tidak akan membiarkan kita”. Inilah semangat seorang isteri yang yakin dengan Allah dan tidak takut dengan apa-apa kemungkinan kerana ianya bergantung harap hanya kepada Allah. Anda bagaimana jika dibuat sebegitu?.

Tatkala Nabi Ismail menjangkau umur yang boleh buat kerja bersama Nabi Ibrahim, Allah perintahkan pula kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelihkan anak kesayangannya. Allah s.w.t. nukilkan perkara ini dalam al-Quran dalam surah al-saffat ayat ke 102-111 yang bermaksud:

102. Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar". 103. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan Anaknya Dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami), 104. Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! 105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi Yang Engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang Yang berusaha mengerjakan kebaikan. 106. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian Yang nyata; 107. Dan Kami tebus Anaknya itu Dengan seekor binatang sembelihan Yang besar; 108. Dan Kami kekalkan baginya (nama Yang harum) Dalam kalangan orang-orang Yang datang kemudian: 109. "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". 110. Demikianlah Kami membalas orang-orang Yang berusaha mengerjakan kebaikan. 111. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami Yang beriman.

Inilah nilai pengorbanan yang tidak ternilai, mereka berdua sanggup membuat apa saja kerana Allah, mereka tidak menghiraukan apa yang terjadi hanya menurut perintah Allah. Nabi Ismail pula sebagai seorang anak yang soleh, menurut sahaja perintah Allah tanpa rasa takut dan gerun dalam hatinya. Bagaimana pula dengan diri kita? Kekadang apabila disuruh itu ini, banyak tanya, banyak alasan, banyak komen, banyak cakap dari buat dan sebagainya. Beginikah sikap sebagai seorang muslim? Beginikah sikap sebagai hamba Allah? Mulut mengatakan, akulah pejuang Islam, tetapi apabila diajak untuk usrah, dengar ceramah, dengar kuliah, buat kerja-kerja Islam, maka timbullah pelbagai alasan yang direka-reka untuk melepaskan diri.

Duhai pejuang, ingatlah dan yakinlah pada janji Allah dan bersyukurlah pada Allah. Allah berfirman dalam beberapa firmannya yang bermaksud:

147. Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? dan (ingatlah) Allah sentiasa membalas Dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang Yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha mengetahui (akan hal keadaan mereka). (Surah al-Nisa’).

7. Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim).

10-12 “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahuinya. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga ” Adn “. itulah kemenangan yang besar (Surah al-Saff).

Untuk itu juga, Allah mengubat jiwa para pejuang dengan dihidangkan kisah-kisah pengorbanan, keperitan dan kesakitan yang dibaluti kesabaran yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu yang melalui denai dan becak perjuangan ini. Dengan kisah-kisah itu, akan menjadikan pejuang tidak kesepian, atau rasa bersendirian sebaliknya akan sedar inilah realiti sebuah perjalanan perjuangan yang mesti ditempohi dalam memburu cinta Allah dan kasih rasulNya juga syurga yang dijanjikan.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-An’am, ayat 33-34 maksudnya:

“Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu mendukacitakan engkau (Wahai Muhammad), sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu keras kepada dengan ayat-ayat Allah. Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu juga pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan mendustakan dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu”.

Dalam banyak keadaan keperitan itu datang dari dalaman jiwa melebihi apa yang berlaku di luar. Maka al-Quran dan juga sunnah menghidang banyak kisah pengorbanan untuk menjadi bekalan para pejuang dalam meneruskan agenda menyampai risalah ini. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dipilih sempena Aidil Adha untuk mengingatkan umat ini tentang perjuangan dan pengorbanan. Hidup Nabi Ibrahim adalah hidup yang dipenuhi oleh perjuangan dan pengorbanan tanpa henti. Bukanlah sukar untuk meletakkan pisau menyembelih seorang anak. Tetapi yang sukar itu ialah untuk bertarung dengan perasaan, kepentingan dan derita hati dalam melakukan perkara yang demikian.

Allah Yang Maha Penyayang bukan mahu supaya Ibrahim a.s. membunuh anak, sebab itu digantikan dengan haiwan (kibasy) yang sebenar. Allah mahu Nabi Ibrahim a.s. memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya. Itulah kemuncak seorang Nabi, itulah kemuncak seorang da’e dan itulah kemuncak seorang pejuang Islam. Apabila kepentingan diri itu dibelakangkan dan kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung diletakkan di hadapannya. Semoga kita semua mengambil pengajaran dan pelajaran dari kisah Nabi Ibrahim a.s. sekeluarga untuk panduan hidup kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini seterusnya mengamalkannya, bukan sekadar bercerita di sana-sini. Sesungguhnya perjuangan ini memerlukan jiwa-jiwa yang kental hati, kuat fizikal, mantap thaqafah serta faqih, bukan lemah longlai dibuai buaian dunia yang sementara. Buat akhirnya, kata Syed Qutb Rahimahullah “kita bukanlah pemula kepada perjuangan ini, tetapi kita adalah mata rantai kepada perjuangan ini”.

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan