~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Sunday, November 28, 2010

Keistimewaan Dan Kelebihan Pelaksanaan Hukum Islam (Siri 2)

1 comments

3-        Syumul (Lengkap)

Maksud Syumul ialah bahawa syariat Islam yang suci mengandungi pelbagai peraturan, hukum-hakam dan perundangan pada setiap aspek penciptaan, pembinaan dan pengislahan, dalam setiap kelompok masyarakat dan kehidupan, sama ada berkaitan dengan ’aqidah, ibadah mahu pun akhlak atau berkaitan dengan pelbagai perundangan umum seperti masalah-masalah sivil, jenayah, peribadi, peraturan mansyarakat serta perhubungan antarabangsa atau berkaitan dengan asas hukum, kaedah-kaedah ekonomi atau dasar-dasar masyarakat.[1]

Semua perkara tersebut terperinci serta mantap dalam perundangan keTuhanan yang abadi. Sifatnya memberi bukannya mengambil, menyatupadadukan bukannya memecah-belahkan, menjinakkan bukannya mencerai-beraikan, membina bukannya menghancurkan. Ciri-ciri tersebut telah diturunkan oleh Allah Ta’ala Yang Maha Bijaksana lagi Yang Maha Terpuji kepada hambanya yang bernama Muhammad s.a.w. untuk sekalian alam dan untuk keselamatan dunia dan akhirat. Antara ayat al-Quran yang membuktikan bahawa syariat Islam merangkumi setiap perundangan kehidupan ialah:


Maksudnya: Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan Dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (Wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.[2]

Seterusnya saya akan menjelaskan masalah syumul (melengkapi) ini dengan memberikan beberapa contoh terutama yang berhubung dengan masalah-masalah sivil, ekonomi, perlembagaan, jenayah dan sebagainya.

  • Dalam Masalah Harta

Dalam permasalahan ini, Allah Ta’ala menekankan pengagihan harta tidak kira dalam apa jua permasalahan hendaklah berlaku secara adil dan saksama. Antara ayat dalam al-Quran yang menyebut supaya berlaku adil dalam masalah harta ialah:
           
Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya Dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang Yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu Dengan jelas). dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.[3]

  • Dalam Masalah Perlembagaan

Allah berfirman:

Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang Yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang Dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami beri kepadanya.[4]

  • Dalam Masalah Penghakiman

Allah Ta’ala berfirman:

Maksudnya:  Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu..[5]

  • Dalam Masalah Pembalasan Jenayah

Allah berfirman dalam al-Quran:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan Yang seimbang) Dalam perkara orang-orang Yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka Dengan orang merdeka,[6]

  • Dalam Persediaan Peperangan

Al-Quran menyebut:

Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.[7]

  • Dalam Hubungan Antarabangsa

Allah berfirman:

Maksudnya:  Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

  • Dalam Masalah Perundangan

 Allah Ta'ala Berfirman:


Maksudnya: dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. [8]

4-        Seimbang Antara Meterialistik Dan Kerohanian

Antara keagungan syariat Islam ialah sifatnya yang tidak memisahkan antara metarial dengan kerohanian dan antara dunia dengan akhirat. Malah Islam dengan melihatnya dalam satu kesatuan yang saling melengkapi antara hak manusia terhadap Tuhannya, diri sendiri dan terhadap orang lain. Dengan demikian, seseorang itu dapat menjalani kehidupan seharian dengan bergantung kepada kemampuan serta keinginan berdasarkan kepada asas yang ditetapkan oleh Islam yang bersesuaian dan bertepatan dengan fitrah dan rialiti kehidupan.
Syariat Islam yang lengkap tidak mensyariatkan sesuatu tegahan secara mutlak, umpamanya menjalani kehidupan seperti paderi atau memencilkan diri dari masyarakat. Dalam waktu yang sama, Islam tidak mengizinkan manusia tenggelam dalam kehidupan meterialistik dan melupakan Tuhannya serta kehidupan akhirat. Bahkan seseorang itu hendaklah seimbang dalam setiap perkara, menunaikan hak-hak Allah, hak dirinya dan hak orang lain tanpa mengabaikan mana-mana satu kewajipan dengan hanya melakukan kewajipan yang lain.[9]

Di dalam kitab suci al-Quran, Allah menyeru hambanya supaya menuju ke arah perseimbangan antara kebendaan dan kerohanian dalam ayat-ayat yang menyentuh perasaan serta hati sebelum membicarakan tentang akal manusia. Dalam peringatan tentang kewajipan melaksanakan hak Allah untuk beribadah ketika tenggelam dalam kemelut pekerjaan duniawi dan tuntutan perniagaan, Allah berfirman:
                                                                                                                
Maksudnya:  (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang Yang kuat imannya Yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.[10]

Dalam peringatanNya tentang perlunya manunaikan hak jiwa untuk berusaha dan mencari rezeki ketika tenggelam dalam keasyikan bermunajat kepada Tuhan dan keharuman tempat beribadah, Allah S.W.T. berfirman:[11]

Maksudnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).[12]

Antara dasar yang digariskan oleh al-Quran terhadap perseimbangan ini ialah:[13]

a.       Mencari kehidupan akhirat dan di samping mengambil bahagian keduaniaan. Allah berfirman:


Maksudnya: "Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".[14]

b.      Menempelak orang yang tidak mahu menggunakan perhiasan dan perkara-perkara yang baik. Allah berfirman:

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.[15]

Demikianlah anjuran Islam supaya manusia dapat memperimbangkan antara agama dengan kebendaan, dunia dengan akhirat. Jika diamati sikap Rasulullah s.a.w. ketika melakukan perseimbangan, menyelesaikan konsep mengasingkan diri, menyembunyikan diri dan tidak ingin kepada dunia, kita berkeyakinan bahawa sikap tersebut sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan tidak bertentangan dengan keinginan nafsu. Bahkan ia sesuai dengan kaedah yang telah digariskan oleh Islam sebagai satu perjalanan semulajadi yang seimbang serta sederhana.[16]

Antara contoh dari hadis tentang pendirian ini, dapat dipetik dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Anas:

Maksudnya:
              Tiga orang lelaki telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang ibadah Baginda s.a.w.. Bila mereka diberitahu, seolah-olah mereka menganggap ibadah itu sedikit, lantas mereka berkata, di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Nabi s.a.w. Baginda telah diampunkan Allah dosa-dosa yang lalu dan akan datang. Salah seorang dari mereka berkata, “Mengenai aku, aku akan mengerjakan sembahyang malam selama-lamanya.” Lelaki kedua berkata, “Aku akan berpuasa selama-lamanya dan tidak berbuka.” Lelaki ketiga pula berkata, “aku akan mengasingkan diri dari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Kemudian Rasulullah s.a.w. datang berjumpa mereka seraya bertanya, “Kamukah yang berkata begini begini? Demi Allah! Aku adalah orang yang paling takut dan bertaqwa kepada Allah, tatapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersembahyang dan tidur serta aku berkahwin. Sesiapa sahaja yang tidak suka sunnahku, orang itu tidak masuk dalam golongan aku.”[17]

Melalui hadis Rasulullah s.a.w. tersebut merupakan bukti yang jelas dan kukuh untuk menunjukkan bahawa Islam adalah agama fitrah, seimbang, bersifat pertengahan dan sederhana. Islam meletakkan beberapa asas kukuh serta dasar yang wujud untuk membina kesempurnaan peribadi manusia agar mereka bangkit bersama-sama risalah dan tugasnya dalam menjalani kehidupan berlandaskan kaedah paling sempurna yang telah ditetapkan oleh syariat Islam yang agung ini.




[1] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 11
[2] Surah al-Nahl 16:89
[3] Surah al-Baqarah, 2:282
[4] Surah al-Syura 42:38
[5] Surah al-Nisa’ 4:58
[6] Surah al-Baqarah 2:178
[7] Surah al-Anfal 8:60
[8] Surah al-Baqarah 2:282
[9] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 23
[10] Surah al-Nur 24:37
[11] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 23-24
[12] Surah al-Jumu’ah 62:10
[13] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 24
[14] Surah al-Qasas 28:77
[15] Surah al-A’raf 7:32
[16] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 25
[17] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Anas
Read full story

Budu Dan Khasiat Yang Tidak Diketahui Ramai…

0 comments

Budu merupakan makanan traditional Kelantan yang diperbuat daripada ikan bilis atau udang bari yang dijeruk sehingga hancur.Budu atau sos bilis yang berasal dari negeri sebelah pantai timur Malaysia ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman.Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki gluthaione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser.Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan “kuno”.Budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, penyakit kencing manis, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal.

Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab [diarrhoea|cirit (diarrhoea), penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi.Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna, diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diarrhoea kronik akibat kurang zat pada tubuh.Dengan pengambilan budu sebagai makanan sampingan, ia mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diarrhoea kronik ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya. kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah.

Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan masalah kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. 2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu, vitamin larut air (vitamin B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K).Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 (thiamin), vitamin B2 (riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 (sianokobalamin).Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin - yang mana vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. vitamin B12 ini perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun.Kadar vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet (jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan.Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikro dalam jumlah yang cukup.

Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9, 39, 2, 87 dan 8.05 mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon.Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas.Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel.Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan di dalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon unsur antioksidan iaitu daidzein, glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.

Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan barah payu dara.Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan.Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak. Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein, serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium.Satu ujikaji rambang yang dijalankan, mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan.

Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi, budu turut dikenali sebagai sumber serat (dietary fiber) yang baik. Kandungan serat di dalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari umlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Research.Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada budu lebih mudah untuk dicernakan. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan yang anda fikirkan. Budu seumpama cecair pelbagai vitamin yang memenuhi segala keperluan untuk tubuh badan.
Read full story

Saturday, November 27, 2010

Keistimewaan Dan Kelebihan Pelaksanaan Hukum Islam (Siri 1)

0 comments

Setiap sistem perundangan sama ada ianya perundangan Islam atau ciptaan manusia, sewajarnya mempunyai kelebihan dan keistimewaan untuk dibanggakan. Justeru, apakah kelebihan dan keistimewaan yang ada pada perundangan buatan manusia itu lebih tepat daripada perundangan Islam? Jawapannya memang tidak sama sekali, bezanya lebih jauh langit dan bumi, kerana pencipta kepada manusia adalah Tuhan semesta alam, maka yang hanya layak membuat peraturan untuk manusia hanyalah Allah. Dalam tajuk ini, saya akan menerangkan perkara yang berkaitan dengan keistimewaan perundangan Islam, apa dasarnya dan sebagainya. Saya berpendapat bahawa, berdasarkan rujukan-rujukan dari kitab yang dikarang pelbagai ulama’. Kelebihan dan keistimewaan syariat Islam boleh difokuskan kepada beberapa kategori.

1-    Bersifat Rabbani (KeTuhanan)

Ketuhanan yang dimaksudkan di sini ialah hukum-hakam, peraturan dan segala dasar syariat bukanlah hasil ciptaan manusia yang bersifat dengan segala kekurangan seperti lemah, terbatas, terikat dengan pelbagai pengaruh tempat, zaman, keilmuan, warisan dan hawa nafsu. [1] Sesungguhnya, penggubal yang menggubal syariat ialah hanya Allah s.w.t yang menciptakan daripada tiada kepada adanya sesuatu yang dikenali sebagai makhluk ciptaannya.

Bilamana seseorang Mukmin terdorong untuk merialisasikan manhaj keTuhanan dalam jiwanya secara total, ia akan merasa senang terhadap keinginan, kebenaran, keikhlasan dan ketaatan.[2] Seseorang itu tergerak untuk merialisasikan dorongan ini kerana mereka mengetahui secara pasti bahawa Allah Yang Maha Suci ialah Tuhan yang menjadikannya, yang Mencipta lagi Maha Berkuasa. Allah berkuasa menguruskan hal ehwal makhluk sebagaimana yang diingini dan dikehendaki.[3] Manusia diciptakan dengan segala sifat kelemahan ini hanya mampu taat kepada apa yang telah ditentukan oleh penciptanya. Dalam firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Maksudnya:  Dan Tuhanmu menciptakan apa Yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga Yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha suci Allah dan Maha Tinggilah keadaannya dari apa Yang mereka sekutukan dengannya.[4]

Seseorang muslim menyedari bahawa Allah Yang Maha Suci Maha Mengetahui terhadap setiap perkara, pasti mengetahui terhadap hukum-hakam yang diperundangkan kepada hamba-Nya dan pasti lebih mengetahui kemaslahatan setiap hambanya. Bahkan mereka berkeyakinan bahawa Allah itu Maha Bijaksana terhadap seluruh ciptaan-Nya. Dengan sifat kebijaksanaan-Nya, Allah meletakkan semua perkara bertepatan dan bersesuaian dengan keadaan ciptaanNya untuk kemaslahatan dan menolak kerosakan. Dalam al-Quran Allah Ta’la menyebut dalam al-Quran yang bermaksud:

Maksudnya: “Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.[5]

Dalam dunia yang penuh cabaran ini, pelbagai peristiwa antarabangsa, pergolakan masyarakat dan percanggahan pemikiran yang berlaku dalam masyarakat manusia yang merupakan bukti paling besar terhadap kenyataan yang sedang kita perkatakan dan bukti konkrik bahawa manusia tidak dapat lari dari pengaruh sesuatu aliran, hawa nafsu, suasana persekitaran, warisan, kepercayaan dan sebagainya. Setinggi mana pun akal dan ilmu pengetahuan seseorang, namun keupayaannya terbatas dan tetap terbatas. Manusia tidak mampu untuk menggubal undang-undang bagi dirinya, sekalipun ia mencapai tahap kematangan dan kesempurnaan, kerana Allah Yang Maha Mengetahui sahajalah yang layak menggubal undang-undang kepada makhlukNya. 

               Berdasarkan kenyataan di atas, kita dapati seseorang Muslim yang sedar, mempunyai hujah serta memahami hakikat kebenaran, akan menggerakkan jiwanya untuk merialisasikan manhaj keTuhanan. Ini kerana lahir dari sifat kepercayaan dan keyakinan akan hakikat sebenar dan pemahaman yang sahih akan zat Allah Ta’ala. Maha suci Allah dari segala yang disifatkan ke atas-Nya oleh golongan musyrikin. Dengan tujuan keTuhanan inilah, seseorang Muslim tiada pilihan lain selain mengambil kesemua yang diturunkan oleh Allah untuk dijadikan perlembagaan hidup dan menerima syariat Islam kerana dengan penerimaan dan pelaksanaan keseluruhannya adalah untuk membuktikan keimananNya kepada Tuhan sekalian alam. Dalam firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Maksudnya:  (Katakanlah Wahai Muhammad): "Patutkah Aku (terpedaya Dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah Yang menurunkan kepada kamu Kitab Al-Quran Yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang Yang benar dan Yang salah)?" dan orang-orang Yang Kami berikan kitab, mengetahui Bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu Dengan sebenar-benarnya. oleh itu, jangan sekali-kali Engkau menjadi (salah seorang) dari golongan Yang ragu-ragu.[6]

2-      Bersifat Universal (Menyeluruh)
 
Setiap hukum-hakam, perundangan serta dasar syariat membawa rahmat kepada seluruh alam, memberikan petunjuk dan sebagai manhaj hidup kepada  manusia. Syariat alam bukan hanya diperundangkan kepada sesuatu bangsa manusia, kawasan, negara atau kepada golongan manusia tertentu sahaja. Malah perutusannya untuk semua golongan manusia tanpa melihat kepada warna kulit, bangsa, bahasa dan negara. Dalam Islam tiada sifat fanatik dan kasta dalam perundangan. Sesungguhnya semua manusia adalah sama. Seseorang tidak mempunyai apa-apa kelebihan dari orang lain melainkan sifat takwanya.[7] Dalam al-Quran Allah menyebut yang bermaksud:

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[8]

               Dalam sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. tercatat beberapa bukti yang menunjukkan Islam adalah untuk semua. Dari sanad riwayat yang sahih bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah mengutus surat kepada raja-raja dan ketua-ketua kaum pada zamannya seperti Raja Najasyi, Kisra dan Muqauqis.[9] Dalam surat tersebut, Baginda mengajak mereka memeluk agama Islam. Ajakan Baginda mengenai perkara itu, “jika anda memeluk Islam, nescaya anda akan selamat. Allah akan memberikan pahala kepada anda dua kali. Jika anda enggan, anda akan mendapat dosa Arrisyiyin (istilah agama Syria yang bermakna kebanyakan daripada peladang dan selain mereka.”[10]
               
Sekiranya dakwah Rasulullah tidak merangkumi seluruh alam, nescaya Rasulullah s.a.w tidak akan menghantar surat kepada raja-raja dan para ketua kaum untuk memeluk agama Islam. Untuk menguatkan lagi hujah yang mengatakan agama Islam adalah untuk semua, dalam al-Quran Allah menyeru kepada manusia seluruhnya supaya menyampaikan agama Islam ini di setiap zaman dan tempat agar dakwah Islam sampai ke seluruh dunia. Dalam al-Quran Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:

Maksudnya: Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).[11]

Keistimewaan Islam yang meliputi seluruh alam merupakan antara kesan celupan (sibghah) keTuhanan dalam syariat ini. Jika penggubal syariat ini seorang atau segolongan manusia, nescaya ia akan menyukarkan bangsa, kasta atau kemaslahatan golongan tersebut, tetapi yang menggubalnya ialah Tuhan kepada manusia dan mereka semua adalah para hambaNya. Tiada seorang pun atau mana-mana golongan mempunyai kelebihan mengatasi orang lain berdasarkan kepada hukum makhluk serta perkembangan.[12]



[1] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 6-7
[2] Surah al-Hujurat, 49:13
[3] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 9
[4] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 9
[5] Surah Ali ‘Imran, 3:110
[6]Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 11
[7] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 1
[8] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 2
[9] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. 
Hal. 2
[10] Surah al-Qasas, 28:68
[11] Surah al-Anfaal, 8:71
[12] Surah al-An’am 6:114
Read full story
 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan