~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Tuesday, April 24, 2012

Bicara Cinta Buat Si Anak Muda

0 comments
Cinta itu fitrah kejadian,
Tanpa cinta, tiada bahagia,
Cinta mesti ikut Islam punya acuan,
Barulah hidup tenang & tidak sengsara...

Bila cinta berputik di atas landasan Agama,
Ia tidak sesekali melakukan dosa yang dimurka,
Bila cinta berputik di atas dasar nafsu semata,
Ia akan lakukan apa saja melewati batasan Agama...

Dinikahi wanita itu kerana empat perkara,
Kecantikannya, hartanya, keturunannya & Agamanya,
Pilihlah Agamanya, kamu akan selamat dunia & akhirat,
Inilah janji Nabi Muhammad kepada kita selaku ummat...

Berlumba-lumbalah semua berbuat kebajikan,
Agar hidup kita semua diredhai dan dikasihi Tuhan,
Hidup di dunia penuh dengan ujian dan mehnah,
Bersabarlah dan yakinlah semua dengan janji Allah...

Usah berdalih lagi dengan "cinta itu lumrah",
Jika tak mampu tunaikan hak-hak Allah,
Perbaikilah diri walaupun dalam keadaan terpaksa,
Kerana soal hidup dan mati Allah sahaja yang berkuasa...

Kahwin awal itu tidaklah salah,
Lahirkan anak sebelum kahwin itu yang salah,
Semua perkara kita mesti ikut sunnah,
Kelak akan bahagia higga ke jannah...

Jangan kerana cinta terabai banyak perkara,
Jangan kerana cinta lupakan tugas pejuang Agama,
Pastikan bercinta menguatkan diri & perjuangan kita,
Pastikan bercinta juga dapat meneguhkan ummat & Agama...
Read full story

Nasihat Buat Penuntut Ilmu

0 comments
Ilmu akan lebih matang bila diserta dengan bicara,
Bicara tanpa ilmu kosong dan kurang pula maknanya,
Ikhlas pula amat penting diserta pada keduanya,
Barulah kehidupan kita mendapat Redha Dari-Nya...

Bicara mestilah datang selepas punyai ilmu,
Jika tidak sesatlah jelata bersama dirimu,
Tinggallah setiap apa yang ragu berdasar ilmu,
Laksanakan sebaiknya apa yang dibenci nafsumu...

Ilmu mestilah menuntut, bukan dituntut,
Bersama masyayikh yang telah menuntut,
Ilmu yang berkat semestinya dilaksanakan tuannya,
Itulah lumrah penuntut dalam mengharungi hidupnya...

Lakasanakanlah amal kebajikan tanpa rasa susah,
Semoga hidup mendapat barakah dari Allah,
Ambillah dunia sekadar keperluan sahaja,
Nikmat Terbesar bilamana bertemu Allah yang Esa...

Nasihat buat diri yang penuh hina dina ini dan untuk semua. Siru A'ala Barakatillah, Semoga najah dalam exam nanti buat sahabat-sahabat di Mesir dan yang mengenali diri ini...
Read full story

Membudayakan Tegur Menegur Antara Kita

0 comments
"Saya takkan tegur kesilapan kamu sekiranya kamu berstatus (binatang). Saya takkan tegur lagi kesilapan kamu sekiranya kamu jauh dari pengetahuan saya dan saya juga berdoa kepada Allah Ta'ala agar dakwah saya takkan terhenti sehinggalah saya dijemput oleh Pemilik saya dan kamu dan tulisan-tulisan saya dan sewaktu dengannya terhapus atau dihapuskan".

"Saya juga mengharapkan dari kalian agar menegur sekiranya saya melakukan kesalahan dan kesilapan yang saya lakukan bertentangan dengan manhaj Islam yang sebenar. Jadilah sahabat yang baik, dan dapat menjadikan ilmunya bermanfaat untuk diri dan orang lain".

Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang mukmin".

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia ialah mereka yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan seburuk-buruk manusia ialah mereka yang tidak dapat memberi manfaat kepada orang lain".

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sampaikanlah dari Aku walau sepotong ayat".

"Merasakan diri sempurna merupakan satu panahan dari syaitan la'natullah dan jarum dari musuh-musuh Allah dan termasuk dari sifat mazmumah yang perlu dibendung dengan segera. Rendahkan diri untuk menerima teguran, kuatkan diri untuk memberi teguran, jangan lembik dan takut pada dunia. Bila orang tegur jangan melenting, bila kita menegur biarlah berhikmah. Sama-sama kita doakan agar kita semua ditetapkan iman dan mati dalam memperjuangkan Islam".

P/S: Walaupun tulisan ini agak kasar dan ringkas, tapi ambillah peringatan untuk kebaikan bersama kerana saya sayangkan kamu dan Islam. Salam muhasabah, salam imtihan, salam perjuangan. Sekian, wassalam....
Read full story

Monday, April 16, 2012

Surat Terbuka Kepada Pejuang Melayu

0 comments
Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.

Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya, kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri, tetapi sifat fitrah juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa, suku kaum, berkeluarga yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji setiap rakaat sembahyang.

Allah berfirman (maksudnya): Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat: 13)

Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa, samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia menegaskan, "Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.

Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.

Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:


لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
سنن أبي داود - (ج 13 / ص 325) 

Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas perjuangan asobiyyah). 

Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.

Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.

Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.

Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua Umar bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan: 

“Kita adalah kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa yang hina“. 

Kenyataan ini berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad: 38) 

Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup. Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa asing yang menindas mereka dengan hina.


Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah, sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana laut. Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam, menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab, sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.

Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti. Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin UMNO. Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO, bahkan jatuh terhumban bersamanya.

PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia. Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.

Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.

Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
Read full story

Tuesday, April 3, 2012

Mohon Peruntukan Tambahan Belanjawan Bulanan - Keluarga

0 comments
Semenjak dua menjak ini belanjawan sara hidup di sini agak lari sedikit dari bajet yang telah dibuat. Boleh dikatakan tiap-tiap bulan mesti lari dari belanjawan asal yang ditetapkan. Malam tadi saya bersembang dengan sahabat “akhi, ana rasa macam nak minta peruntukan tambahan je dari keluarga”. Alhamdulillah, lepas subuh tadi saya call kak long, di akhir perbualan saya ajukan permohonan untuk menambah peruntukan belanjawan bulanan, Alhamdulillah dah lulus tapi tak banyak la. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak pada kak long, hanya Allah s.w.t. sahaja yang dapat membalas jasamu itu. Insya Allah lepas ni akan diajukan pula pada uzu (abang saya) untuk menambah sedikit sebanyak sekadar termampu. :-)
(Ahli Keluargaku, Tapi Masa Ni Abah, Kak Long Tak Masuk)

Permohonan ini dibuat kerana akhir-akhir ini, penggunaan harian melebihi dari biasa. Guna untuk urusan pengajian, persatuan, sewa rumah, peralatan dapur, peribadi dan sebagainya. Alhamdulillah, syukur sebanyak-banyaknya dipanjatkan kepada Allah s.w.t. kerana mengurniakan ma & abah serta adik beradik yang memahami dan sudi mendengar celoteh & membantu adiknya yang nakal ini. Bila bersama-sama dengan gerakan Islam, banyak benda kita kena korbankan termasuklah wang ringgit. Tapi pengorbanan itu jika tidak diniatkan kerana Allah Ta'ala, maka sia-sia sahaja walau sebesar bukit uhud sekalipun kita sumbangkan kepada gerakan Islam. Allah Ta'ala sudah menjanjikan pada hambanya yang menginfakkan diri Dan harta bendanya pada jalan Allah dengan ganjaran Syurga yang abadi. Yakinlah pada janji Allah, sesungguhnya Allah Ta'ala tidak sesekali memungkiri janji.

Semenjak kedatangan ke bumi Mesir ini bermula tahun 2010 hingga pertengahan 2011, saya hanya menggunakan belanjawan dari poket sendiri kerana tidak mahu menyusahkan adik beradik, ma dan abah. Alhamdulillah berkat hasil menolong masyarakat, jadi imam tarawih dan sebagainya, cukup untuk saya gunakan sepanjang keberadaan di bumi Mesir. Kekadang minta juga peruntukan dari adik beradik untuk tambah sedikit sebanyak sekadar termampu untuk menampung perbelanjaan di sini dan pada tahun ini juga sama sepertimana tahun yang lalu. Tiket penerbangan, pakaian dan beberapa persiapan lain saya gunakan wang sendiri dan sebahagian mendapat sponsor dari adik beradik dan sedikit dari ma & abah. Saya tahu, keluarga saya bukanlah dari keluarga yang senang sangat. Ma & abah bukanlah orang yang makan gaji perbulan. Pun begitu, saya bersyukur sebanyak-banyaknya kerana saya dilahirkan dalam keluarga yang bahagia dan dapat hidup sempurna serta mendapat layanan dan didikan yang terbaik dari ma & abah serta keluarga di sekeliling.

Jika nak dibandikngkan saya dengan abang-abang dan kakak, maka boleh dikatakan, bermula dari sayalah keluarga lebih senang dari biasa. Cara didikan abah ketika mengajar “mengaji” pun berbeza dari abang-abang serta kakak. Dulu abah sangat garang dan anak-anaknya sangat takut jika tidak mahu baca al-Quran dan tidak memberi perhatian ketika mengaji. Tapi bermula dengan saya, garang abah semakin kendur tapi masih ada sedikit sebanyak garangnya. Alhamdulillah, dengan ketegasan yang abah laksanakan pada kami sekeluarga, semua adik beradik saya dapat membaca al-Quran dengan baik.

Corak kehidupan saya juga berbeza dari adik beradik yang lain, bermula dari umur saya jugalah kesenangan keluarga dari sudut kewangan semakin bertambah kerana abang-abang sudah dapat pekerjaan sendiri dan ini tidak lain dan tidak bukan adalah rezeki dari Allah Ta’ala. Tapi saya mungkin lebih sedikit dari adik beradik yang lain “bajet” kerana saya sempat berada dalam dua zaman (susah & senang). Bertuah juga jadi anak pertengahan ye, dapat merasai kedua-dua situasi dan corak kehidupan yang berbeza.

Di tengah-tengah perbualan antara saya dan kak long, kak long ada sebut “keistimewaan awak dah lebih dari orang lain, dulu abang yang belajar kat mesir dapat balik 3 tahun 1 kali, awak ni 2 kali dalam 1 tahun balik Malaysia, lepas tu tahun ini nak balik sekali lagi”. Tapi tahun ini saya tidak pasti lagi adakah nak balik atau tidak, bergantung pada keadaan, kalau Allah izin saya balik sekali lagi, kalau tidak mungkin terus berada di sini dan balik bila tamat pengajian nanti. Cuma akhir-akhir ini terfikir juga dan berhajat untuk ke Kota Suci Makkah untuk menunaikan umrah. Jika diizinkan, insya Allah akan ke sana, Cuma tidak tahu bila akan dapat ke sana. Hati ini sungguh rindu, seolah-olah dipanggil untuk ke sana. Semoga Allah permudahkan segalanya, Insya Allah.

Walaupun tambang penerbangan saya gunakan duit sendiri, saya tetap minta izin terlebih dahulu dari ma & abah untuk pulang dan sebagainya. Sebagai seorang anak, menjadi tanggungjawab kepada kita, sebelum melakukan sesuatu atau membuat sesuatu keputusan, semestinya berbincang terlebih dahulu dengan ibu bapa atau keluarga. Jangan sesekali abaikan mereka, kerana merekalah yang membesarkan dan mendidik kita sejak kecil lagi. Merekalah permata hati kita buat selama-lamanya. Sebagai anak lelaki, walau kita dah berrumah tangga dan sebagainya, jangan sesekali mengabaikan ibu bapa kita kerana tugasan itu tidak akan terputus sampai bila-bila, berbeza pula dengan golongan muslimah, bilamana ia sudah berumah tangga, maka tanggungjawabnya yang selama ini kepada ibubapa, maka akan beralih kepada suaminya pula.

Jadilah anak soleh/ah yang dapat membahagiakannya sebelum mereka menutup mata buat selama-lamanya. Mereka tidak ingin harta yang banyak melimpah-limpah, mereka inginkan kasih sayang dan ingin melihat anaknya menjadi anak yang soleh/ah yang dapat memberi manfaat padanya bila di lanjut usia dan bila kembali menghadap Tuhannya. Berdoalah pada keduanya dan balaslah jasanya sedaya upaya yang mungkin.

“Rumahku, Syurgaku”
Read full story
 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan