~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Wednesday, December 1, 2010

Keistimewaan Dan Kelebihan Pelaksanaan Hukum Islam (Akhir)



7-        Mudah, Sederhana Dan Logik

Orang yang mengkaji ajaran syariat yang suci ini akan mendapati bahawa Islam bercirikan konsep mudah, sederhana dan logik (diterima akal).

a.       Istimewa dengan konsep mudah kerana itulah dasarnya yang asasi melalui firman Allah dalam al-Quran:

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya.[1]

Maksudnya: dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah Dalam perkara ugama,[2]

Nas-nas di atas membuktikan bahawa Islam agama yang bertolah-ansur, tidak memberatkan seseorang di luar kemampuannya serta tidak membebankan mereka. Bahkan kita dapati semua beban dan tanggungjawab ini termasuk dalam batas kemampuan manusia agar mereka tidak menguzurkan diri atau mengemukakan alasan enggan melaksanakan suruhan syarak atau melakukan perbuatan yang bercanggah dengannya. [3] Antara contoh terdekat yang dikerjakan seharian dalam kehidupan ialah solat. Islam mensyariatkan sembahyang lima waktu dalam sehari semalam ke atas setiap muslim yang mukallaf. Solat boleh dikerjakan dimana-mana sahaja yang dikehendaki, mudah mengerjakannya dengan cara bertayammum ketika ketiadaan air, harus dikerjakan secara duduk atau baring ketika dalam keadaan lemah atau sakit dan boleh menjama’kan dua sembahyang dalam satu waktu serta mengqasarkan solat empat rakaat ketika bermusafir mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

b.      Istimewa dengan kesederhanaan dan logik. Islam dan segala dasarnya adalah jelas serta mudah difahami oleh semua orang.[4] Penulis akan mengemukakan beberapa contoh mengenai perkara ini:

                                i.            Islam menggesa manusia agar berfikir dan memerhatikan sehingga sampai kepada hakikat mempercayaai wujudnya Allah Yang Maha Suci. Mengakui dengan teguh serta mempercayai keesaan Allah yang tiada bandingNya yang mutlak hanya bagi Allah.
                              ii.            Memerangi segala bentuk perkara khurafat serta tenung nasib, syirik antara Tuhan dengan makhluk, menentang mereka yang menipu orang ramai dengan mengadakan kerusi pengakuan dosa, menjual sijil pengiktirafan mengampuni dosa, membantu untuk memberikan syuraga dan mengharamkan neraka.[5]
                            iii.            Niat ikhlas adalah syarat penerimaan sesuatu amalan di sisi Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi. Jika niat ikhlas ini dapat ditanam dalam jiwa seseorang Muslim, ia akan menjadi ibadah kepada Allah. Berdasarkan kepada perkara ini, para ulama’ fiqh dan usul membuat kesimpulan bahawa, ”Niat yang baik akan menukarkan sesuatu adat kebiasaan itu menjadi ibadah.”[6]

8-         Keadilan Mutlak

Perkara yang wajar diketahui bahawa tujuan serta objektif syariat Islam yang asasi ialah menegakkan keadilan yang mutlak kepada semua manusia, menjalin persaudaraan, memelihara keturunan, kehormatan, harta dan akal sebagaimana diwajibkan menjaga agama dan akhlak mereka. Matlamatnya hanya satu iaitu menyerlahkan kemaslahatan hamba dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.[7]

Matlamat syariat tidak semata-mata untuk menjaga kemaslahatan golongan tertentu tanpa menghiraukan golongan yang lain, satu bangsa tanpa bangsa yang lain dan sesuatu ummah tanpa ummah yang lain. Matlamatnya bukan juga untuk mencari kemaslahatan kebendaan dengan mengabaikan aspek akhlak serta kerohanian, atau menumpukan kepada kemaslahatan duniawi tanpa memandang kepada kemaslahatan ukhrawi sebagaimana yang terjadi pada undang-undang ciptaan manusia, atau mengukuhkan kemaslahatan ukhrawi dengan mengalihkan pandangan daripada kemaslahatan duniawi sebagaimana yang wujud dalam sesetengah agama serta anutan ekstrimis terhadap kebangkitan kerohaniannya.[8]

Semua ini memerlukan kepada ilmu, rahmat, hikmah dari Ilahi untuk mencapai keadilan mutlak kepada manusia. Ia mustahil dapat dilakukan oleh peraturan yang dicipta manusia. Manusia lazimnya hanya memandang kepada satu sudut dan melupakan aspek yang lain. Yang menitikberatkan pandangan menyeluruh kepada sesuatu perkara dan semua sudut ialah Allah Yang Maha Pencipta, Yang Maha Mengtahui, Yang Maha Berhikmah, yang luas kerahmatan, hikmah serta ilmu.[9] Allah berfirman:

Maksudnya: Tidakkah Allah Yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? sedang ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha mendalam PengetahuanNya![10]

Islam yang syumul berperanan membina serta memperimbangkan peribadi manusia, menjelma serta melaksanakan keadilan sebagaimana yang telah diungkapkan oleh para mujtahid serta ulama’ usul fiqh, “Matlamat perundangan Islam ialah lima perkara, iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.” Mereka juga mengatakan, segala dasar, hukum-hakam, perintah, larangan, tegahan dan balasan dalam syariat Islam bertujuan memelihara semua matlamat yang lima itu.[11]
           
Oleh kerana syariat Islam dilengkapi dengan semua perkara tersebut, maka wajarlah ia menjadi sebuah syariat yang berhak untuk dikekalkan, layak untuk diteruskan, mendorong manusia ke arah kemuliaan, ketinggian serta kesempurnaan, menerangi dunia dengan cahaya haq, kemajuan serta pengetahuan, memuncakkan beberapa menara petunjuk, keilmuan serta kemajuan di atas ketinggian kemanusiaan dan menguasai beberapa tanda kemegahan, keagungan serta berkekalan dalam diri manusia.[12] Allah berfirman:

Maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) Yang jelas nyata keterangannya. 16. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa Yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) Yang terang-benderang, Dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan Yang lurus.[13]

9-        Keistimewaan Syariah Dan Kelayakannya Untuk Kekal

Daripada segala yang telah disebutkan, ia merupakan keistimewaan dan keunggulan syariat Allah yang melengkapi, bersesuaian dengan masa, tempat, zaman sebagaimana telah disebutkan.

Seorang Mukmin tidak akan mampu berhadapan dengan kesempurnaan ilmu Allah Ta’ala, hikmah-Nya, Rahmat-Nya dan kebaktian-Nya terhadap makhluk-Nya  untuk menggambarkan bahawa Allah Ta’ala akan menutup pintu kenabian di hadapan mereka, memutuskan wahyu daripada mereka, kemudian mereka beribadat kepada-Nya dengan syariat yang tempang, yang sesuai untuk suatu kaum dan tidak sesuai untuk kaum-kaum yang lain, sesuai untuk satu masa (zaman) tetapi tidak sesuai untuk masa yang lain, sesuai untuk satu bandar tetapi tidak sesuai untuk bandar yang lain, sedangkan mereka semua ditaklifkan dengan hukum-hukum-Nya, mereka berkewajipan menghalalkan apa yang dihalalkan-Nya, mengharamkan apa yang diharamkan-Nya, memerintahkan dengan perintah-perintah-Nya dan menegah daripada tegahan-tegahan-Nya.[14]

Sesungguhnya orang yang berfikir tentang perkara itu adalah orang yang jahil tentang kedudukan Tuhannya. Dia bersangka buruk terhadap Tuhannya dan apa yang telah Allah tentukan dengan ketentuan-Nya.[15]




[1] Surah al-Baqarah 2:286
[2] Surah al-Hajj 22:78
[3] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 34
[4]Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication.
[5] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication.
[6] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication.
[7] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication.
[8]Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication.
[9] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication.
[10] Surah al-Mulk 67:14
[11] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 50
[12] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 50
[13] Surah al-Maaidah 5:15-16
[14] Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (1998), Pelaksanaan Syariah Islam, Selangor: Maktabah Al-Qardhawi. Hal. 9
[15]  Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (1998), Pelaksanaan Syariah Islam, Selangor: Maktabah Al-Qardhawi. Hal. 9

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan