~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Sunday, October 31, 2010

Imam Syafie Rahimahullah: Biodata Dan Wasiat

0 comments
Nama beliau ialah Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn 'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Mutolib ibn Abdu Manaf. Beliau digelar "As-Syafie" sempena nama datuknya, Syafie. Imam Al-Syafie dilahirkan pada tahun 150 Hijrah bersamaan dengan 767 Masihi di Ghazzah, Palestin. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah. Beliau membesar di dalam keluarga yang fakir di Palestin.


Imam Syafie mempunyai nasab keturunan dengan Nabi Muhammad S.A.W melalui datuk baginda iaitu Abdu Manaf dan melalui nasab ibu kepada Imam Syafie, Fatimah bintu Abdullah ibn Hasan ibn Hussin ibn Ali ibn Abi Talib dan hubungan nasab ini tiada keraguan pada jumhur ulamak. Ketika berumur 2 tahun ibunya telah membawa ke Kota Makah untuk berjumpa dengan saudara mara beliau dari keturunan yang dihormati. Ketika Imam Syafie berumur 7 tahun, beliau telah pun menghafaz Al-Quran dan selepas itu beliau menghafaz pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Imam Syafie juga menguasai ilmu bahasa Arab fushah dan selepas itu beliau menghafaz pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Imam Syafie juga menguasai ilmu bahasa arab fushah.


Semasa Imam Syafie di usia muda, Imam Syafie menuntut ilmu dari ramai fuqaha' di Makah sehinggakan beliau diminta untuk memberi pandagan dalam menyelesaikan masalah agama. Kerana kecerdasannya itu pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah pada ketika itu. Pada usia yang terlalu muda ia telahpun mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah S.A.W, yang dihimpun oleh Imam Malik.


Imam Syafie kerap berhijrah ke luar negara untuk mengutip mutiara ilmu dari ramai ulamak yang tersohor pada masa itu. Beliau pergi ke Madinah Al-Munawwarah untuk berjumpa dengan Imam Malik (Imam Mazhab Maliki) dan tinggal bersamanya sehingga ke penghujung hayat Imam Malik. Imam Malik meninggal dunia pada tahun 179 H. Setelah itu Imam Syafie menyibukkan diri dengan ilmu agama dan beliau bertugas di Yaman. Ketika beliau di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Oleh kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.


Imam Syafie masuk ke Baghdad sebanyak 3 kali. Kali pertama pada tahun 183 H ataupun sebelum Khilafah Harun Ar Rashid. kali kedua pada tahun 195 H dan tinggal di Baghdad selama 2 tahun. Kali ketiga pada tahun 198 H dan Imam Syafie pun menjadi masyhur dikalangan umat islam pada ketika itu. Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu Khalifah Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, kerana golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Justru, di mana sahaja kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.


Satu kali datang surat khalifah dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya. Jika urusan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap kerana di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa beliau termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah. Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.


Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan seorang demi seorang masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa soalan, mereka dibunuh dengan dipenggal leher tahanan tersebut. Agar darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berselerak ia dialas dengan kulit binatang. Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, memohon dari Allah SWT. Beliau dipanggil ke hadapan khalifah. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap khalifah. Semua para pembesar memerhatikan beliau.


“Assalamualaika, ya Amir al-Mukminin wabarakatuh.” Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.” Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?” Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:


“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.” Setelah membaca ayat itu, Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang Tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam Tuanku tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”


“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu. Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6:


“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.


Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Wasiat:

Setelah itu beliau telah berhijrah ke Mesir, Imam Syafie keluar masuk Mesir terlalu kerap sehinggakan tidak ketahui berapa kali. Sebelum Imam Syafie pulang ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: “Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara"


PERTAMA: HAK KEPADA DIRI iaitu: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT iaitu: mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.  


KETIGA: HAK KEPADA KUBUR iaitu: membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.  


KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.  


KELIMA: HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) iaitu: menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.  


KEENAM: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT) iaitu: membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.  


KETUJUH: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) iaitu: menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.  


KELAPAN: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) iaitu: redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.  


KESEMBILAN: HAK KEPADA NABI S.A.W iaitu: berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.  


KESEPULUH: HAK KEPADA ALLAH SWT iaitu: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


Mimpi:
1) Pada suatu ketika, Imam al-Syafie bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. mimpinya ialah "Rasulullah Bagi kepada Imam al-Syafie penimbang/dacing/neraca". lalu ulama' menafsirkan bahawa, mazhab yang diasas oleh Imam al-Syafie adalah mazhab yang paling Tawassut/pertengahan.Jiga  dilihat kembali sejarah Imam al-Syafie, Ia adalah seorang ulama' Mujtahid yang sangat banyak tempat mencari Ilmu, bukan setempat sahaja (Iraq, Madinah, Makkah, Mesir dll).

2) Pada suatu hari, seorang Ulama' bermimpi bertemu dengan Rasulullah. Rasulullah s.a.w berkata kepada ulama' tersebut "Mazhab yang diasaskan oleh Imam al-Syafie adalah Mazhab yg paling dekat dengan Sunnahku".

Kewafatannya:
Sehingga pada tahun 199 H Imam Syafie masuk semula ke Mesir dan meninggal dunia di Mesir pada malam Jumaat yang penuh barakah. Beliau dikebumikan selepas Asar pada hari Jumaat bertarikh 29 Rejab 204 H bersamaan 19 Januari 820 M. Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi. Semoga kita semua mengambil pengajaran dan sebagai contoh teladan dalam menuntut Ilmu Allah dan meneruskan perjuangan Agama Allah Ta'ala yang teragung ini...

Read full story

Thursday, October 28, 2010

Hijrah Dalam Membina Generasi Rabbani...

0 comments

Sebagaimana yang kita semua ketahui bahawasanya, para pengkaji dan pemikir Islam menyatakan bahawa, hijrah Rasulullah s.a.w. bersama para muslimin Makkah ke Madinah merupakan titik tolak terbentuknya negara Islam yang diimpi-impikan kerana sekian lama mereka ditindas di Kota Makkah. Rasulullah s.a.w. membina dan mendidik para sahabat serta sahabiahnya daripada menyembah sesama makhluk kepada menyembah Allah Ta’ala. Daripada generasi yang menentang Islam, kepada generasi yang mempertahankan Islam, sebagai contoh “Sayyidina Umar al-Khattab”, bukannya generasi virus “perosak” kepada Islam. Rasulullah s.a.w. juga pada awalnya membina generasinya melalui majlis ilmu dan usrah untuk melahirkan golongan yang sanggup berkorban dan berjuang di jalan Allah. Dalam al-Quran Allah Ta’ala menyatakan kepada kita:

Maksudnya: Tidaklah patut bagi seseorang manusia Yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang menyembahku Dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - Dengan ilmu dan amal Yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (Surah Aali-I’mran Ayat 79).

Kebejatan sosial dunia moden hari ini memerlukan generasi penerus dalam menjayakan misi Islam yang suatu ketila dahulu dapat menawan dua pertiga dunia. Generasi ini adalah generasi yang sahih iamnnya salim akalnya, bagus akhlaknya, berani menegakkan kebenaran, tidak takut dengan celaan dan ancaman dan sebagainya. Generasi ini adalah generasi yang diimpi-impikan dalam dunia hari ini dan ternanti-nanti kehadirannya.

Siapakah Generasi Rabbani?
Kalimah Rabbani (الرباني) bersandar kepada kalimah Rabb (الرب) yang bermaksud Tuhan. Rabbani dapat dimaknakan dalam bahasa Melayu dengan “Ketuhanan”. Generasi Rabbani dari segi maknanya bermaksud generasi Ketuhanan.

Secara lebih nyata, generasi Rabbani ialah generasi yang menyandarkan diri mereka kepada Tuhan di mana mereka hidup untuk melaksanakan matlamat yang ditetapkan Allah, mencari kerdhaanNya semata-mata, mereka menjalani kehidupan di atas manhaj Allah (yakni Islam) dan mereka bermati-matian memperjuangkan manhaj tersebut dengan mengorbankan apa sahaja yang ada pada mereka sama ada harta, tenaga dan jiwa raga mereka.

Generasi rabbani adalah generasi muslim sejati. Mereka bukan sekadar beramal dengan Islam tetapi juga bekerja untuk menegakkan Islam (yakni menjadi Amilin Islam). Mereka tidak hanya menjadi penyokong kepada Harakah Islam, tetapi juga adalah pendokong dan tunggaknya. Contoh unggul bagi generasi Rabbani ini ialah para sahabat yang dididik dan ditarbiyah oleh Rasulullah s.a.w.

Antara Ciri-Ciri Mereka Sebagaimana Yang Dibentangkan Di Dalam al-Quran:
Golongan Rabbani (ketuhanan) di dalam al-Quran diungkapkan Allah s.w.t tentang mereka dengan memakai beberapa istilah antaranya:

1-          al-Mukminun:
Maksudnya: 1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, 2. Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya; 3. Dan mereka Yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan Yang sia-sia; 4. Dan mereka Yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); 5. Dan mereka Yang menjaga kehormatannya, - 6. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka Sesungguhnya mereka tidak tercela: - 7. Kemudian, sesiapa Yang mengingini selain dari Yang demikian, maka merekalah orang-orang Yang melampaui batas; 8. Dan mereka Yang menjaga amanah dan janjinya; 9. Dan mereka Yang tetap memelihara sembahyangnya; 10. Mereka itulah orang-orang Yang berhak mewarisi - 11. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Mu’minun Ayat 1-11).

2-           al-Muttaqun:
Maksudnya: 1. Alif, Laam, Miim. 2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa; 3. Iaitu orang-orang Yang beriman kepada perkara-perkara Yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada mereka. 4. Dan juga orang-orang Yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). 5. Mereka itulah Yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang Yang berjaya. (Surah al-Baqarah Ayat 1-5)

3-           al-Muflihun:
Maksudnya: 200. Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Surah aali-I’mran Ayat 200)

4-           Hizbullah:
Maksudnya: 54. Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya. 55. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang Yang beriman, Yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). 56. Dan sesiapa Yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana Sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah Yang tetap menang. (Surah al-Maaidah Ayat 54-56).

5-           Ansarallah:
Maksudnya: 14. Wahai orang-orang Yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang Yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang Yang menang. (Surah as-Soff Ayat 14).

6-           ‘Ibadur Rahman:
Maksudnya: 63. Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka Yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang-orang Yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab Dengan perkataan Yang Selamat dari perkara Yang tidak diingini; 64. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang tekun mengerjakan Ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari Dengan sujud dan berdiri, 65. Dan juga mereka Yang berdoa Dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka jahannam dari kami, Sesungguhnya azab seksaNya itu adalah mengertikan 66. Sesungguhnya neraka jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal Yang amat buruk"; 67. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. 68. Dan juga mereka Yang tidak menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali Dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; 69. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di Dalam azab itu Dengan menerima kehinaan, - 70. Kecuali orang Yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal Yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka Dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 71. Dan sesiapa Yang bertaubat serta beramal soleh, maka Sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya Dengan sebenar-benar taubat; 72. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara Yang dilarang, dan apabila mereka bertembung Dengan sesuatu Yang sia-sia, mereka melaluinya Dengan cara membersihkan diri daripadanya. 73. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang apabila diberi peringatan Dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang Yang pekak dan buta. 74. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa. 75. Mereka itu semuanya akan dibalas Dengan mendapat tempat Yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan Selamat di dalamnya, 76. Mereka kekal di Dalam syurga itu; amatlah eloknya syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal. (Surah al-Furqan Ayat 63-76).

7-            Orang-orang yang bersama Nabi Muhammad s.a.w:
Maksudnya: 29. Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di Dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi Kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan Yang mengkagumkan orang-orang Yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana Dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar. (Surah al-Fath Ayat 29)

Antara Ciri-Ciri Lain:
1. Beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lainnya.
2. Mendirikan Solat dan menjaganya.
3. Membayar zakat dan bersedekah.
4. Yakin dan beramal dengan al-Quran.
5. Menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan sia-sia.
6. Menjaga kehormatan dirinya (dari zina dan sebagainya).
7. Menjaga amanah dan janjinya.
8. Berjalan di muka bumi dengan sopan santun (tidak angkuh dan bongkak).
9. Tekun mengerjakan ibadah di malam hari.
10. Berdoa kepada Allah agar dijauhkan azabnya.
11. Bersederhana dalam membelanja harta (tidak boros dan tidak bakhil).
12. Tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
13. Tidak membunuh tanpa hak.
14. Tidak menghadiri tempat-tempat maksiat.
15. Memberi perhatian kepada peringatan Allah.
16. Berdoa kepada Allah agar dikurniakan pasangan dan anak yang baik dan menjadi ikutan kepada orang bertakwa.
17. Dicintai Allah dan menyintai Allah.
18. Bersifat lemah-lembut (kasih sayang) kepada orang beriman.
19. Bersikap tegas kepada musuh Islam.
20. Berjihad di jalan Allah tanpa takut celaan sesiapapun.
21. Memberi wala’ (patuh) sepenuhnya kepada Allah, Rasul dan kepimpinan orang beriman.
22. Sabar dalam berhadapan dengan segala kesukaran dalam mentaati Allah.
23. Al-Musabarah (meningkatkan ketahanan dalam menghadapi musuh).
24. Ar-Ribath (Sentiasa berjaga-jaga dan bersiap-sedia menghadapi musuh).

Generasi Rabbani juga tidak berasa selesa dengan kesenangan, malah mereka ini berusaha keras sepanjang masa untuk mengekalkan kesenangan itu adalah milik mereka “Islam” sepernuhnya, kerana mereka tahu dan yakin sepenuhnya bahawasanya dunia ini adalah milik Allah Ta’ala dan tugas merekalah untuk memakmurkannya. Mereka juga menyedari bahawa dunia ini hanya permainan yang tiada kesudahan, mereka yakin bahawa kehidupan akhirat adalah kehidupan yang sebenar. Mereka juga menyedari bahawasanya, bukan sahaja mereka perlu menjaga diri sendiri dan mengabaikan orang lain, akan tetapi mereka menyedari bahawasanya, menjaga, mendidik, mengasuh dan sebagainya adalah tugas mereka. Allah Ta’ala berfirman:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan. (Surah al-Tahrim Ayat 6)

Ayuhlah pemuda/di, kita sama-sama mantapkan diri dengan pelbagai ilmu Allah Ta’ala sementara masa masih ada ini. Ayuhlah kita sama-sama berubah, kita sama-sama mengubah dan sama-sama bermujahadah melawan nafsu, melawan kepimpinan jahiliah moden, melawan tentera bergajah zaman moden melawan segala yang mengajak ke arah thaghut dan kemunduran. Untuk teguh dan terus berada di jalan yang selamat, maka sayugialah kita berada dalam satu kelompok yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Bersama-sama kesatuan dan gerakan Islam demi menjayakan misi dan visi daulah Islamiah. Nabi s.a.w. pernah berpesan kepada kita yang maksudnya “hendaklah kamu bersama-sama jamaah Islam”. Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda maksudnya “bilamana kamu berjumpa dengan jamaah Islam, maka peganglah gigitlah ia dengan gerahang”. Ketahuilah, kita tidak mampu bergerak berseorangan, kita memerlukan bantuan orang lain, dalam pada itu juga  ingatlah juga kita kepada pesanan Syed Qutb yang bermaksud “kita adalah generasi penerus, bukannya pemula kepada perjuangan ini”. Wallahua’lam… sekian, wassalam…

Read full story
 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan