~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Friday, November 26, 2010

Abah Tetap Di Hatiku…



Tanggal 25 November 1953 M  bersamaan 18 Rabiu’l Awwal 1373 H lahirlah seorang insan yang diberi nama Hussian Bin Yusof ke dunia ini dengan selamat. Hingga kini ia menjadi orang yang pertama selepas Ibuku menjadi pendidik kepada diri ini dan menjadi idola buat keluargaku. Dia dilahirkan Dalam keluarga yang susah dan merupakan anak sulung kepada arwah Yusof. Walaupun ada dikatakan dia bukanlah anak sulung, namun sehingga kini dia dipanggil oleh anak-anak saudaranya sebagai Ayah Long kerana dikatakan abangnya yang sulung meninggal dunia sejak kecil lagi. Siapakah dia? Iaitu abahku yang tercinta.

Abah pernah menceritakan kisah hidupnya sewaktu dahulu dan kini saya menulisnya setakatmana apa yang saya ingati, kerana semasa abah menceritakan perkara ini saya masih di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah. Abah membesar dalam keadaan keluarga yang susah. Apabila umurnya meningkat dan masuk ke sekolah rendah, dia berkawan dengan pelbagai masyarakat pada ketika itu dan selalu berulang dari kampung Laut dan Palekbang, Tumpat. Dia sangat ramai rakan, sehingga kini, bila saya dan adik beradik yang lain pergi berkunjung ke kampung Laut, bila orang tanya anak siapa, maka kena jawab “anak abe kok” tambah lagi “anak saudara cek mek @ pok su awe”, insya Allah, orang lama-lama akan kenal. Kalau bagitahu nama Hussian, orang tidak kenal.

Masa dulu-dulu sungai Kelantan tu tempat mandi-manda abah, berenang dari tebing kampung laut “pengkalan motor boat” sekarang hingga ke tebing dekat kota bharu adalah perkara biasa bersama sahabat-sahabatnya. Nak kata di sini abah masa muda-muda dulu berani dan pandai berenang. Abah belajar hingga ke darjah enam @ lima sahaja dan selepas itu abah berhenti sekolah kerana bekerja. Abah kata, “dulu abah pernah hisap rokok, tapi bila sampai ke darjah lima, abah berhenti, antara sebabnya abah kata, membazir dan ada ustaz mengatakan hisap rokok adalah haram”. Maka bermula di situlah, abah bertekat, tak mahu lagi hisap rokok. Abah membesar dalam keluarga yang susah, sebab itulah, abah mengambil keputusan untuk berhenti sekolah untuk menyara adik-adiknya bersekolah. Sehingga sekarang, adik-beradik abah amat sayang kepada abah walaupun adik beradik mak lain. Adik beradiknya yang lain sangat raspect kepada abah kerana jasa abah dan pengorbanan abah kepada mereka.

Abah kata, masa dia dalam umur belasan tahun, dia pernah ditimpa tong padi yang besar di atas belakang dan mengalami kecederaan. Masa muda-muda dulu, abah menceritakan bahawa, abah seorang yang tidak takut dengan ejekan, hasutan orang, mungkin turun-temurun dari arwah dato’ yang tidak takut pada ancaman orang “ore debey” kata ore klate. Nak dijadikan cerita, ada satu jalan di palekbang yang menghala ke pasir pekan (jalan kecil berhampiran rumah ayah ustaz Nazan dahulu) dan di jalan itu terdapat jambatan kereta api. Di jalan itu, orang kata banyak hantu jembalang yang mengusik (ngosek) dan tidak ramai orang lalu lalang di situ bilamana menjelang waktu malam. Tetapi abah kata, “abah  tak pernah takut bila lalu jalan tu walaupun ramai orang takut” tambah abah lagi “abah pada waktu itu bekerja di kota bharu dan berulang alik dari palekbang ke kota bharu”. Bayangkan jalan dahulu abah kata, jalan tu sempit je, basikal dan berjalan kaki saja boleh lalu kerana hutannya tebal. Abah masa muda-muda dulu, terkenal dalam kampung salah seorang yang “debey” berani dan tidak takut pada orang namun hantu jembalang sekalipun.

Abah menceritakan juga, abah banyak tempat abah kerja, antaranya kilang kayu, buroh dan pelbagai lagi. Selepas beberapa tahun bekerja di Kelantan, abah berhijrah pula ke Kuala Lumpur dan tinggal beberapa tahun di sana dan berhijrah pula ke Pahang. Sewaktu di Pahang Abah dan Ma sudahpun berkahwin, seingatnya saya begitulah dan di Pahanglah Kak Long dilahirkan dan Abe Cik juga sempat tinggal di sana kalau tak silap. Selepas sekian lama tinggal di Pahang, abah berpindah semula ke tanah tumpah darah dan bekerja di Kelantan sehinggalah sekarang. Pelbagai lagilah peristiwa manis dan pahit abah dalam hidupnya. Lebih kurang bermula dengan umur sayalah abah bekerja di kilang bata milik Tok Saudara saya Hj. Syamsuddin di kilang bata wakaf king (baruh) sehingga sekarang. Peristiwa-peristiwa sebelum itu saya kurang ingatlah. Ketika itulah saya dibesarkan dan kekadang saya di bawa bersama ke kilang kerana waktu itu saya masih kecil. Lumpur, selut, pasir tu perkara biasa bagi saya kerana sayapun dibesarkan dalam keadaan itu.

Pada waktu muda, abah dikenali juga seorang yang panas baran (pongoh). Abah amat mengambil berat soal pendidikan terutama al-Quran kerana saya sekeluarga tinggal di kawasan anak-beranak semuanya. Seingat saya, sewaktu belajar mengaji dengan abah, bila baca tidak kena, atau tertukar huruf yang sama, maka abah akan pukul dengan tasbih atau apa saja di tangannya. Tapi saya sempat dengan waktu pongoh abah hanya sekejap sahaja, dan selepas itu abah tidak lagi pongoh seperti dulu, mungkin kesan nasihat dari ma. Walaupun abah seorang yang pongoh, tetapi abah adalah seorang ayah yang penyayang. Seingat saya, pada waktu kecil dahulu, abah selalu menggendong saya pergi jalan-jalan ke rumah saudara mara di kampung laut, di palekbang, di kedai lalat dan pelbagai lagi. Abah tidak suka pada perpecahan, pergaduhan  kerana abah sedar bahawasanya perkara itu adalah perkara yang berdosa.

Abah juga seorang yang pantang dicabar terutama soal keselamatan keluarga, dia akan mempertahankan keluarga dari apa saja ancaman selagimana tidak bersalah. Pernah dahulu, beberapa ketika di bangku sekolah menengah, saya nak pukul orang yang mengkhianati adik saya, dan saya bagitahu pada ma dan abah tentang perkara ini, tetapi ma sangat tidak setuju dan abah tak kata apa-apa, Cuma perinsip abah, selagimana kita betul, maka kena pertahankan. Maka perkara itu mengalir juga dalam darah daging saya bahkan adik beradik yang lain, tetapi ada tempatnya. Abah adalah seorang yang tenang dan seorang yang wasatiah (pertengahan) dalam berbuat sesuatu atau keputusan.

Sebelum saya datang ke mesir, saya hanya sempat bersama abah beberapa hari sahaja kerana bertugas sebagai imam tarawih di satu masjid Puncak Jalil. Bila dekat dengan hari raya barulah dapat bersama dan waktu yang paling lama bersama abah dan keluarga di rumah ketika waktu selepas saya kemalangan dan tidak dapat berjalan selama tiga minggu kerana disyaki patah, tetapi kuasa Allah Ta’ala, saya tidak mengalami patah dan hanya terseliuh. Bila mengenang kembali, waktu kemalangan dulu, abah dan ma lah yang membawa saya ke hospital, tolak kerusi roda dan sebagainya. Mereka tidak mahu melihat saya menderita kesakitan, “mak ayah mana yang tak sayangkan anak kan”. Selepas itu saya konvo di DQ, pada perancangannya abah tidak hadir, tapi akhirnya abah buat keputusan nak hadir juga majlis konvokesyen saya.

Sekarang saya berada di mesir dan keluarga di Malaysia. bilamana beberapa hari di mesir, saya talefon, tanya khabar kelurga di rumah dan sebagainya, ma kata “jang, abang menangis kerana teringatkan jang” tambah ma “suatu hari tu, abah beli jagung dan letak atas meja, waktu tu ma sedang memasak, selepas itu ma tengok abah terisak-isak menangis, bila ma tanya kenapa menangis? Abah kata, teringat ko jang” itulah kisah permulaan. Kini sudah dua bulan lebih saya di mesir, bila talifon tanya khabar keluarga, ma pun ada cerita, “jang, abah kekadang menangis walaupun atas motorsikal dan beberapa kali”.

Inilah beberapa perkara berkaitan kehidupan abah yang sempat saya ingat, sebenarnya banyak lagi, tetapi cukuplah sekadar ini. Abah, jang tulis ni sebenarnya sempena hari kelahiran abah ke 57. Jang nak ucapkan selamat hari lahir dan mendoakan semoga, dipanjangkan umur oleh Allah, tetap dalam Islam, umur dirahmati Allah, diampunkan dosa-dosa yang lalu dan belum dan selamat dunia dan akhirat. Jang minta maaf sebab tidak sempat nak talifon sebab ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Jang minta maaf banyak-banyak sekiranya sebelum ini, sekiranya jang pernah mengguriskan hati abah dan buat perkara yang abah tidak suka. Terima kasih abah kerana mendidik diri ini sehingga menjadi insan yang mengenal diri dan mengenal Islam, mengenal baik dan buruk dan pelbagai lagi. Terima kasih abah,  jang akan tetap ingat jasa abah selamanya… sekian…

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan