~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Saturday, November 27, 2010

Keistimewaan Dan Kelebihan Pelaksanaan Hukum Islam (Siri 1)



Setiap sistem perundangan sama ada ianya perundangan Islam atau ciptaan manusia, sewajarnya mempunyai kelebihan dan keistimewaan untuk dibanggakan. Justeru, apakah kelebihan dan keistimewaan yang ada pada perundangan buatan manusia itu lebih tepat daripada perundangan Islam? Jawapannya memang tidak sama sekali, bezanya lebih jauh langit dan bumi, kerana pencipta kepada manusia adalah Tuhan semesta alam, maka yang hanya layak membuat peraturan untuk manusia hanyalah Allah. Dalam tajuk ini, saya akan menerangkan perkara yang berkaitan dengan keistimewaan perundangan Islam, apa dasarnya dan sebagainya. Saya berpendapat bahawa, berdasarkan rujukan-rujukan dari kitab yang dikarang pelbagai ulama’. Kelebihan dan keistimewaan syariat Islam boleh difokuskan kepada beberapa kategori.

1-    Bersifat Rabbani (KeTuhanan)

Ketuhanan yang dimaksudkan di sini ialah hukum-hakam, peraturan dan segala dasar syariat bukanlah hasil ciptaan manusia yang bersifat dengan segala kekurangan seperti lemah, terbatas, terikat dengan pelbagai pengaruh tempat, zaman, keilmuan, warisan dan hawa nafsu. [1] Sesungguhnya, penggubal yang menggubal syariat ialah hanya Allah s.w.t yang menciptakan daripada tiada kepada adanya sesuatu yang dikenali sebagai makhluk ciptaannya.

Bilamana seseorang Mukmin terdorong untuk merialisasikan manhaj keTuhanan dalam jiwanya secara total, ia akan merasa senang terhadap keinginan, kebenaran, keikhlasan dan ketaatan.[2] Seseorang itu tergerak untuk merialisasikan dorongan ini kerana mereka mengetahui secara pasti bahawa Allah Yang Maha Suci ialah Tuhan yang menjadikannya, yang Mencipta lagi Maha Berkuasa. Allah berkuasa menguruskan hal ehwal makhluk sebagaimana yang diingini dan dikehendaki.[3] Manusia diciptakan dengan segala sifat kelemahan ini hanya mampu taat kepada apa yang telah ditentukan oleh penciptanya. Dalam firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Maksudnya:  Dan Tuhanmu menciptakan apa Yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga Yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha suci Allah dan Maha Tinggilah keadaannya dari apa Yang mereka sekutukan dengannya.[4]

Seseorang muslim menyedari bahawa Allah Yang Maha Suci Maha Mengetahui terhadap setiap perkara, pasti mengetahui terhadap hukum-hakam yang diperundangkan kepada hamba-Nya dan pasti lebih mengetahui kemaslahatan setiap hambanya. Bahkan mereka berkeyakinan bahawa Allah itu Maha Bijaksana terhadap seluruh ciptaan-Nya. Dengan sifat kebijaksanaan-Nya, Allah meletakkan semua perkara bertepatan dan bersesuaian dengan keadaan ciptaanNya untuk kemaslahatan dan menolak kerosakan. Dalam al-Quran Allah Ta’la menyebut dalam al-Quran yang bermaksud:

Maksudnya: “Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.[5]

Dalam dunia yang penuh cabaran ini, pelbagai peristiwa antarabangsa, pergolakan masyarakat dan percanggahan pemikiran yang berlaku dalam masyarakat manusia yang merupakan bukti paling besar terhadap kenyataan yang sedang kita perkatakan dan bukti konkrik bahawa manusia tidak dapat lari dari pengaruh sesuatu aliran, hawa nafsu, suasana persekitaran, warisan, kepercayaan dan sebagainya. Setinggi mana pun akal dan ilmu pengetahuan seseorang, namun keupayaannya terbatas dan tetap terbatas. Manusia tidak mampu untuk menggubal undang-undang bagi dirinya, sekalipun ia mencapai tahap kematangan dan kesempurnaan, kerana Allah Yang Maha Mengetahui sahajalah yang layak menggubal undang-undang kepada makhlukNya. 

               Berdasarkan kenyataan di atas, kita dapati seseorang Muslim yang sedar, mempunyai hujah serta memahami hakikat kebenaran, akan menggerakkan jiwanya untuk merialisasikan manhaj keTuhanan. Ini kerana lahir dari sifat kepercayaan dan keyakinan akan hakikat sebenar dan pemahaman yang sahih akan zat Allah Ta’ala. Maha suci Allah dari segala yang disifatkan ke atas-Nya oleh golongan musyrikin. Dengan tujuan keTuhanan inilah, seseorang Muslim tiada pilihan lain selain mengambil kesemua yang diturunkan oleh Allah untuk dijadikan perlembagaan hidup dan menerima syariat Islam kerana dengan penerimaan dan pelaksanaan keseluruhannya adalah untuk membuktikan keimananNya kepada Tuhan sekalian alam. Dalam firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Maksudnya:  (Katakanlah Wahai Muhammad): "Patutkah Aku (terpedaya Dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah Yang menurunkan kepada kamu Kitab Al-Quran Yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang Yang benar dan Yang salah)?" dan orang-orang Yang Kami berikan kitab, mengetahui Bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu Dengan sebenar-benarnya. oleh itu, jangan sekali-kali Engkau menjadi (salah seorang) dari golongan Yang ragu-ragu.[6]

2-      Bersifat Universal (Menyeluruh)
 
Setiap hukum-hakam, perundangan serta dasar syariat membawa rahmat kepada seluruh alam, memberikan petunjuk dan sebagai manhaj hidup kepada  manusia. Syariat alam bukan hanya diperundangkan kepada sesuatu bangsa manusia, kawasan, negara atau kepada golongan manusia tertentu sahaja. Malah perutusannya untuk semua golongan manusia tanpa melihat kepada warna kulit, bangsa, bahasa dan negara. Dalam Islam tiada sifat fanatik dan kasta dalam perundangan. Sesungguhnya semua manusia adalah sama. Seseorang tidak mempunyai apa-apa kelebihan dari orang lain melainkan sifat takwanya.[7] Dalam al-Quran Allah menyebut yang bermaksud:

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[8]

               Dalam sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. tercatat beberapa bukti yang menunjukkan Islam adalah untuk semua. Dari sanad riwayat yang sahih bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah mengutus surat kepada raja-raja dan ketua-ketua kaum pada zamannya seperti Raja Najasyi, Kisra dan Muqauqis.[9] Dalam surat tersebut, Baginda mengajak mereka memeluk agama Islam. Ajakan Baginda mengenai perkara itu, “jika anda memeluk Islam, nescaya anda akan selamat. Allah akan memberikan pahala kepada anda dua kali. Jika anda enggan, anda akan mendapat dosa Arrisyiyin (istilah agama Syria yang bermakna kebanyakan daripada peladang dan selain mereka.”[10]
               
Sekiranya dakwah Rasulullah tidak merangkumi seluruh alam, nescaya Rasulullah s.a.w tidak akan menghantar surat kepada raja-raja dan para ketua kaum untuk memeluk agama Islam. Untuk menguatkan lagi hujah yang mengatakan agama Islam adalah untuk semua, dalam al-Quran Allah menyeru kepada manusia seluruhnya supaya menyampaikan agama Islam ini di setiap zaman dan tempat agar dakwah Islam sampai ke seluruh dunia. Dalam al-Quran Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:

Maksudnya: Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).[11]

Keistimewaan Islam yang meliputi seluruh alam merupakan antara kesan celupan (sibghah) keTuhanan dalam syariat ini. Jika penggubal syariat ini seorang atau segolongan manusia, nescaya ia akan menyukarkan bangsa, kasta atau kemaslahatan golongan tersebut, tetapi yang menggubalnya ialah Tuhan kepada manusia dan mereka semua adalah para hambaNya. Tiada seorang pun atau mana-mana golongan mempunyai kelebihan mengatasi orang lain berdasarkan kepada hukum makhluk serta perkembangan.[12]



[1] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 6-7
[2] Surah al-Hujurat, 49:13
[3] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 9
[4] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 9
[5] Surah Ali ‘Imran, 3:110
[6]Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 11
[7] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 1
[8] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 2
[9] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. 
Hal. 2
[10] Surah al-Qasas, 28:68
[11] Surah al-Anfaal, 8:71
[12] Surah al-An’am 6:114

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan