~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Saturday, July 2, 2011

Azan, Iqamah, Tahnik Dan Aqiqah Menurut Kaca Mata Islam (Siri Akhir)


Mencukur Rambut & Memberi Nama:

Disunatkan mencukur kepala bayi pada hari ke tujuh daripada kelahirannya dan diberikan nama setelah disembelih haiwan aqiqah dan disedekahkan berat timbangan rambut itu dengan emas atau perak. Kerana Nabi Muhammad s.a.w telah memerintahkan Fatimah sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "timbanglah rambut al-Hussin dan sedekahkan perak seberat timbangan rambutnya " رواه الحاكم وصححه

Disunatkan kepada kita untuk mencukur rambut bayi yang tumbuh di dalam perut ibu. Antara hikmah disunatkan untuk mencukur rambut bayi pada hari ke tujuh adalah kerana untuk mengelakkan pada bayi tersebut dari terkena penyakit rabun matanya. Kebiasaan masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi, mereka hanya gunting secebis dari rambut sahaja, sebenarnya bukan ini yang dibuat oleh Rasulullah, ini adalah menjadi adab masyarakat yang perlu diperbaiki supaya amalan yang kita lakukan bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. dan ia dikira sebagai ibadah kerana mengikut sunnah.

Dalam memberi nama kepada anak-anak pula, kita disarankan suapaya menamakan anak-anak dengan nama yang elok-elok lagi bagus namanya. Kerana nama juga adalah doa kepada anak-anak. Antara nama yang dilarang dalam Islam ialah (Maimun/maimunah, Abdul Uzza, zani, muzani dan sebagainya). Dalil Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesungghnya kamu pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu". Dikeluarkan oleh Abu Daud

Takrif Aqiqah

Al-aqiqah dari sudut bahasa berasal dari perkataan al-a'qqi{ العق } iaitu potong. Asalnya ia digunakan dengan makna rambut yang berada di atas kepala bayi sewaktu dilahirkan. Dinamakan demikian kerana ia dicukur dan dipotong. الفقه المنهجى/1/ ms/487

Al-aqiqah dari segi syarak bererti haiwan yang disembelih untuk bayi sewaktu mencukur rambutnya. Sembelihan ini diberi nama demikian kerana ia disembelih dan dipotong sewaktu rambut dicukur. Disunatkan menamakan a'qiqah dengan nama nasikah (ibadat) atau zabihah (sembelihan).  الفقه المنهجى/1/ ms/487

Dalilnya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud (2842):

Rasulullah ditanyakan tentang aqiqah, sabda baginda s.a.w "Allah tidak sukakan al-'uquq (putus silaturrahim-derhaka )" seolah-olah baginda tidak sukakan sembelihan itu dinamakan sebagai aqiqah. Sabda baginda Rasulullah s.a.w. :{ من ولد له ولد , فأحب أن ينسك عنه فلينسك}"Barangsiapa yang dikurniakan anak lalu dia suka untuk melakukan ibadat kerananya maka lakukanlah ibadat itu". [4] الفقه المنهجى/1/ ms/487

Hukum Aqiqah

Di sisi Imam Syafie'i r.a, aqiqah hukumnya adalah sunat bagi siapa yang bertanggungjawab menjaga atau memeberi nafkah kepada bayi itu. الفقه الاسلامى وأدلته /4/ ms/2746

Dalil sunatnya ialah perbuatan Nabi s.a.w. melakukan aqiqah, begitu juga para sahabat r.a sebagaimana hadis Nabi Muhamad s.a.w {الغلام مرتهن بعقيقته تذبح عنه يوم السابع ويحلق رأ سه ويسمى}-حسن صحيح "Bayi itu tergadai dengan aqiqah, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepala dan diberi nama" مغنى المحتاج/6/ ms/143

Maksud ditebus oleh aqiqahnya sebagaimana dikatakan (قيل ) ialah tidaklah pembesarannya dalam keadaan baik sehinggalah ditebus (disembelih haiwan untuknya). Al-Khitobi berkata: dan yang terbaik yang dikatakan sebagaimana pandangan Imam Ahmad bin Hambal r.a dalam masalah ini, sesungguhnya bayi yang tidak ditebus (disembelih haiwan untuknya) tidak dapat memberi syafaat untuk kedua ibu bapanya pada hari pembalasan." مغنى المحتاج/6/ ms/143

Ulama’ tidak menyatakan aqiqah itu wajib kerana ia merupakan penumpahan darah tanpa sebab kesalahan, juga bukan kerana nazar, maka ia tidak wajib sebagaimana korban. Dalil yang menunjukkan ia tidak wajib sebagaimana Hadis Riwayat Abu Daud yang diyatakan sebelum ini. ).  الفقه المنهجى/1/ ms/488

Tidak dibolehkan mengaqiqah bayi dengan menggunakan hartanya (bayi), walaupun penjaga atau orang yang bertanggungjawab dalam memberi nafkah itu tidak mampu untuk melakukannya. Sekiranya penjaga tersebut mempunyai kemampuan untuk melakukannya pada hari ke tujuh, maka disunatkan baginya melakukan aqiqah tersebut. روضة الطالبين /2/ ms/499. Kerana aqiqah merupakan (تبرع) menderma dan pastinya tidak dibolehkan kepada penjaga menggunakan harta bayi tersebut. Sekiranya penjaga menggunakan juga harta bayi tersebut, maka dikehendaki membayar balik sebagaimana dinaqalkan dalam kitab (عن الاصحاب المجموع). مغنى المحتاج/6/ ms/144.

Berkata Imam al-Azro'ie: Dinyatakan kepada mereka, sunat melakukan aqiqah bagi sesiapa yang bertanggungjawab memberikan nafkah kepada bayi itu. Dengan itu dapat difahami, bahawa aqiqah sunat dilakukan oleh ibu yang melahirkan anak zina itu sendiri, dan pada masa yang sama dapat mengurangkan keaibannya.  روضة الطالبين /2/ ms/498.

Waktu Aqiqah

Bermula waktu diharuskan aqiqah apabila lahirnya bayi dari perut ibunya dan jika bayi masih di dalam perut ibunya atau belum sempurna keluarnya bayi tersebut maka ia tidak dinamakan aqiqah, bahkan hanya dinamakan sebagai daging biasa sahaja dan tidak mendapat sunat aqiqah.  الفقه المنهجى/1/ ms/488

Waktu sunat aqiqah berterusan sehingga balighnya bayi itu. Setelah baligh, bapanya tidak lagi dituntut untuk melakukannya bahkan sunat kepadanya (anak) untuk melakukannya sendiri.

Diceritakan daripada Nabi Muhammad s.a.w (أنه عق عن نفسه بعد النبوة ) bahawa baginda s.a.w telah melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri selepas kenabiannya. روضة الطالبين /2/ ms/498. Tetapi disebut di dalam kitab ( المجموع باطل ) tidak betul.

Walaupun demikian, waktu sunat yang dituntut ialah melakukan aqiqah pada hari ketujuh kelahiran bayi.

Sebagaimana hadis riwayat Abu Daud daripada Samrah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda

"Bayi itu ditebus (tergantung) oleh aqiqahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukur kepalanya".

Walaupun begitu, ( الشافعية والحنابلة ) menjelaskan: sekiranya dilakukan juga aqiqah tersebut sebelum atau selepas hari ketujuh tetap dikira. . الفقه الاسلامى وأدلته /4/ ms/2748.

Hikmat Disyariatkan

Pensyariatan aqiqah mempunyai rahsia yang mendalam dan faedah yang banyak seperti berikut:
1.  Melambangkan kegembiraan dengan nikmat Allah A’zza wajalla yang menyenangkan kelahiran dan mengurniakan anak kepada kedua ibu bapa. Maka aqiqah dilakukan sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t

2. Dapat merapatkan lagi ikatan persaudaraan di antara ahli keluarga, jiran, sahabat karib dan sesama Islam yang hadir pada majlis tersebut.

Binatang yang disembelih untuk anak lelaki dan anak perempuan  الفقه المنهجى/1/ ms/489
Sunnah telah menetapkan seekor kambing bagi aqiqah lelaki dan juga seekor kambing bagi aqiqah perempuan.

Dalilnya hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Ali r.a katanya

Rasulullah s.a.w. telah mengaqiqahkan Hassan dengan seekor kambing"

Tetapi yang lebih afdhalnya ialah dengan menyembelih dua ekor kambing untuk aqiqah lelaki dan seekor kambing untuk aqiqah perempuan.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan selainnya daripada Aisyah r.a.:
Rasulullah s.a.w memerintahkan agar mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing yang sepadan dan mengaqiqahkan anak perempuan dengan seekor kambing"

Kerana apa anak lelaki aqiqahnya dengan dua ekor kambing? Kerana amanahnya dan tanggungjawabnya yang besar akan dipikul suatu hari nanti.

Syarat Aqiqah

Aqiqah hendaklah dilakukan sebagaimana syarat korban dari segi umurnya jenisnya dan selamatnya haiwan itu daripada kecacatan yang menyebabkan kurangnya daging .

Sebagimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada al-Barra’ bin Azib r.a. daripada Nabi s.a.w. sabdanya:

"Empat perkara yang tidak boleh ada dalam korban: Cacat yang jelas kecacatannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang yang jelas tempangnya dan tulang patah yang tiada sumsumnya".

Jadi sebagaimana korban begitu juga syaratnya dengan aqiqah, Ini disebabkan kerana aqiqah adalah sembelihan yang disunatkan begitu juga dengan korban.

Perbezaan Aqiqah dan Korban

Apabila kita menyatakan bahawa syarat aqiqah sama dengan syarat korban ini tidak bererti ia menyerupainya dari semua segi. Bahkan di sana terdapat beberapa perbezaan yang kami ringkaskan seperti berikut:

1.Daging aqiqah disunatkan dimasak seperti dalam semua kenduri dan disedekahkan dalam bentuk telah dimasak. Ia tidak disedekahkan dalam keadaan mentah. Ini berbeza dengan korban. Aqiqah sunat dimasak dan dimaniskan masakan tersebut dengan harapan akhlak anak itu menjadi mulia. Yang afdhalnya disedekahkan daging dan kuahnya kepada orang miskin dengan cara menghantarnya kepada mereka. Disunatkan juga sebahagiannya dimakan sendiri dan dihadiahkan.
2. Disunatkan selagi boleh agar tulangnya tak dipatahkan. Bahkan ia perlu dipotong pada sendinya sahaja dengan harapan agar anggota atau tulang anak itu selamat dan baik.
3..Disunatkan agar dihadiahkan kaki aqiqah kepada bidan dalam keadaan mentah tanpa dimasak kerana Fatimah r.a. telah melakukannya dengan perintah Rasulullah s.a.w sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh al-Hakim.

Ucapan Tahniah bersempena Kelahiran Anak

Orang lelaki disunatkan mengucapkan tahniah kepada bapa tesebut. Begitu juga kepada perempuan mengucapkan tahniah kepada ibunya. Ucapan itu adalah ( بارك الله لك فى الموهوب لك , وشكرت الواهب , وبلغ أشده , ورزقت بره) "Semoga Allah memberkati kamu dengan anak yang dikurniakan. Semoga kamu mensyukuri Tuhan yang mengurniakannya dan juga semoga anak ini membesar serta kamu dikurniakan ketaatannya".

Disunatkan bagi bapa anak itu menjawab ( بارك الله لكم , وبارك الله عليكم , وأجزل ثوابكم) "Semoga Allah memberkati kamu juga ke atas kamu dan menambahkan pahala kepada kamu ".

Begitu jugalah yang diucapkan oleh perempuan untuk ibunya dan dia juga menjawab dengan jawapan yang sama sebagaimana yang dijawab oleh bapa kepada kaum lelaki yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Penutup:

Kemahiran menyesuaikan hidup dalam masyarakat merupakan satu tuntutan hidup lebih-lebih lagi insan yang bergelar al-Azhari. Kemahiran sebegini tidak memadai hanya dengan kita belajar tanpa ada praktikal dan pengalaman. Kelemahan dan sikap tidak cakna dalam kalangan kita hari ini menjadi buah mulut masyarakat yang inginkan golongan seperti kita menguasai pelbagai bidang ilmu. Jadi, marilah sama-sama kita menggunakan peluang sepanjang keberadaan kita di bumi mesir ini untuk mempersiapkan dan memantapkan lagi penguasaan ilmu kita.

Sebagai akhirnya, kekurangan dan kecacatan di dalam kertas kerja ini merupakan kelemahan dan ketidakmahiran saya. Sebarang kesalahan dan kecacatan saya mohon teguran daripada kalian semua. Wallahu A’alam...

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan