~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Friday, December 9, 2011

Siri Mengenali Para Sahabat R.A: Biodata Ringkas Sahabat/iah Rasulullah s.a.w. (Siri 1)


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Alhamdulillah syukur kepada Allah Ta’ala yang memberikan nikmat-Nya yang begitu bernilai dan terlalu banyak sihinggakan kadang-kadang tidak sempat untuk kita bersyukur pada-Nya tetapi Allah tersangatlah pemurah kepada hamba-hambanya. Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. para sahabat/iah Baginda, ahli keluarga Baginda, para Tabi’, Tabi’in, Tabi’ Tabi’in dan seluruh pejuang dan penerus kepada perjuangan Baginda s.a.w. yang diredhai Allah ke atas mereka. 

Kali ini saya akan membawakan kepada pembaca dalam siri mengenali sahabat/iah Baginda s.a.w. Sebagai umat Islam yang mahu memperjuangkan dan meneruskan kesinambungan perjuangan Islam, seharusnya kita mengenali para sahabat/iah Baginda yang bertungkus lumus memerah keringat demi memartabatkan Agama Allah Ta’ala di muka bumi ini. Saya membawakan biodata ringkas kepada semua, sekurang-kurangnya kita mengenali sahabat Baginda untuk memupuk rasa cinta dan kasih kepada mereka sekaligus memberi dorongan semangat kepada kita selaku penerus kepada perjuangan ini yang tidak diketahui garisan penamatnya. Bak kata pepatah “Agi Idup Agi Ngelaban”. Saya menyusun nama sahabat mengikut abjad huruf bukannya mengikut kelebihan mereka.

1- Abbad ibn Bishr
Abbad ibn Bishr (عباد بن بشر‎) (sekitar 606–632M) merupakan seorang pemuda Madinah dari golongan Ansar. Beliau masuk Islam ketika berusia lima belas tahun hasil usaha keras seorang sahabat Nabi iaitu Mus'ab ibn Umair.

Kehidupannya
Ketika berhijrahnya golongan Muhajirin ke Madinah, Abbad dipersaudarakan dengan Ammar ibn Yasir. Beliau merupakan pemuda yang gigih mencari ilmu, warak dan berani di medan pertempuran.

Saidatina Aisyah binti Abu Bakar memuji Abbad dalam kata-katanya yang bermaksud:
"Ada tiga orang dari golongan Ansar yang sifat baiknya tidak mampu dicabar oleh sesiapa pun iaitu Sa'ad ibn Muaz, Usaid ibn Khudair dan Abbad ibn Bishr"

Jasa dan perjuangannya
Abbad pernah menjaga khemah tentera Islam secara bergilir-gilir bersama saudara Hijrahnya iaitu Ammar semasa kaum Bani Najd merancang untuk membuat serangan ke atas kota Madinah. Ketika berlakunya Perang Yamamah dalam siri Peperangan Islam-Riddah, Abbad bersama empat ratus orang golongan Ansar membuat serangan mengejut ke atas kaum Murtad pimpinan Musailamah al-Kazzab sehingga mereka terdesak lalu berundur ke kota mereka. Di dalam pertempuran ini, Abbad terkorban syahid.

2- Abbas bin Abdul Muttalib
‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib (العباس بن عبد المطلب‎) (566 – 653 M) adalah bapa saudara dan sahabat Nabi Muhammad s.a.w., ‘Abbas beberapa tahun lebih tua daripada baginda s.a.w. Dia seorang saudagar kaya, beliau membantu melindungi baginda di awal penyebaran Islam di Makkah, namun memeluk Islam selepas Perang Badar pada tahun ke-2 Hijrah. Keturunannya mengasaskan Kerajaan Bani Abbasiyyah pada 750 M. Beliau berkahwin dengan Lubabah binti al-Harith dan mendapat dua orang anak, Abdullah dan Fadl.

3- Abdullah ibn Abbas
`Abd Allah ibn `Abbas (عبد الله ابن عباس‎) dilahirkan tiga tahun sebelum Hijrah. Ayahnya bernama Abbas bin Abdul Muttalib dan ibunya pula bernama Lubabah binti Harith. Ini bermakna Abdullah merupakan sepupu kepada Nabi Muhammad S.A.W. Berasal dari kota Makkah.

Kehidupannya
Berkat doa Rasulullah kepadanya, Abdullah menjadi seorang pemuda yang terpelajar dan bijak di kalangan para sahabat yang seusia dengannya. Petah berdebat dan berbicara.

Jasa dan perjuangannya
Antara jasanya yang dikenang ialah Abdullah mampu meredakan keadaan umat Islam selepas Perang Siffin di mana segelintir tentera Islam yang berpihak kepada Ali bin Abi Thalib merasa tidak puas hati akan keputusan tahkim yang dijalankan antara Amru Al-Ash dengan Abu Musa Al-Asya'ari.

Berkat kecerdasan otak beliau, Abdullah berjaya mengamankan keadaan umat Islam, walaupun untuk seketika. Beberapa orang keturunan beliau berusaha untuk membina sebuah kerajaan baru setelah Kerajaan Bani Ummaiyyah dilihat agak tersasar dari matlamatnya. Kemudian lahirlah sebuah kerajaan yang mengambil sempena namanya iaitu Daulah Bani Abbasiyyah.

4- Abdullah ibn Amru
Abdullah bin Amru (عبدالله بن امرو‎) adalah anak kepada Amr al-Aas. Beliau juga merupakan salah seorang sahabat nabi yang terkenal.

5- Abdullah ibn Hudhafah As-Sahmi
Abdullah ibn Hudhafah As-Sahmi adalah seorang Arab Badwi biasa yang hidup seperti mana orang Arab yang lain. Namun beliau menjadi terkenal di akhir hayat Nabi Muhammad S.A.W. Beliau juga sempat berjumpa dengan dua orang yang paling berkuasa dalam sejarah hidupnya iaitu Kisra Parsi Khusrau II dan Kaisar Rom Heraklius.

Jasa dan Perjuangannya
Abdullah dilantik menjadi utusan Nabi Muhammad dalam menghantar surat kepada kerajaan Parsi Sassanid di bawah pemerintahan Khusrau II. Ketika itu beliau bernasib baik kerana ketika Kisra Parsi itu mengamuk dan mengoyakkan surat baginda, dia sempat melarikan diri sebelum diapa-apakan oleh pihak Parsi Sassanid.

Ketika zaman pemerintahan Umar Al-Khattab, beliau berjuang dalam Peperangan Islam-Rom Byzantine, sehingga beliau berjaya ditawan oleh tentera Rom. Setelah diuji dan diduga oleh Kaisar Rom Heraklius, Abdullah berjaya mempertahankan aqidahnya dan sebagai syarat pembebasan semua tentera Islam, beliau mencium kepala Kaisar Rom tersebut.

6- Abdullah ibn Jahsy
Abdullah ibn Jahsy (عبيدالله بن جحش‎) merupakan sepupu baginda S.A.W dan saudara perempuannya, Zainab binti Jahsy merupakan isteri Nabi S.A.W. Beliau merupakan salah seorang yang terawal memeluk Islam.

Kehidupannya
Abdullah ibn Jahsy merupakan seorang pemuda dari suku kaum Quraisy dan beliau bersahabat rapat dengan Sa'ad ibn Abi Waqqas. Ketika tekanan dan seksaan oleh kaum Quraisy terhadap umat Islam, Abdullah berhijrah ke Habsyah dan kemudiannya beliau sekali lagi berhijrah ke Madinah.

Jasa dan perjuangannya
Abdullah dilantik mengetuai kumpulan perisik tentera Islam ketika Perang Uhud. Dalam pertempuran di bukit Uhud, beliau terkorban syahid.

7- Abdullah ibn Mas'ud
Abdullah ibn Mas'ud (عبدالله بن مسعود‎) merupakan seorang pemuda yang berasal dari kota Makkah. Beliau adalah orang yang keenam yang masuk ke dalam agama Islam dan wafat pada 633M.

Kehidupannya
Pada masa remajanya Abdullah merupakan seorang pengembala kambing. Setelah kejujurannya dikenalpasti oleh Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar, Abdullah menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai pembantu peribadi baginda.

Ketika menuntut ilmu, Abdullah amat tekun sehingga baginda bersabda dalam hadithnya yang bermaksud: "Pelajarilah Al-Quran daripada empat orang ini iaitu Abdullah ibn Mas'ud, Salim Maula Abi Huzaifah, Ubay ibn Ka'ab dan Muaz ibn Jabal".

Jasa dan perjuangannya
Memegang jawatan sebagai pentadbir awam di masa pemerintahan Sayyidina Umar Al-Khattab dan Sayyidina Uthman bin Affan. Bakat kepimpinannya setanding dengan seorang lagi sahabat Nabi yang terkemuka iaitu Muhammad ibn Maslamah.

8- Abdullah ibn Rawahah
Abdullah ibn Rawahah (عبدالله ابن رواحة‎) merupakan seorang pemuda golongan Ansar dari suku kaum Khazraj. Nama penuh beliau adalah Abdullah ibn Rawahah ibn Tha'labah.

Jasa dan perjuangannya
Beliau memeluk Islam bersama dua belas orang penduduk Madinah sebelum terjadinya peristiwa Hijrah dan atas jasanya juga, Islam lebih cepat tersebar di kawasan Madinah.

Kerana ketokohannya dalam usaha menegakkan Islam di Madinah, Rasulullah S.A.W melantik beliau sebagai panglima perang ketiga selepas Zaid ibn Harithah dan Ja'afar ibn Abi Thalib untuk menentang tentera Rom Byzantine dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Mu'tah.

Dalam pertempuran yang berlaku di daerah Mu'tah, beliau terkorban syahid selepas menggantikan Ja'afar. Tugas beliau kemudiannya diambil-alih oleh seorang yang berpengalaman luas dalam strategi teknikal dan taktikal peperangan iaitu Khalid bin al-Walid.

9- Abdullah ibn Salam
Abdullah ibn Salam (عبدالله بن سلام‎) atau nama sebenar beliau ialah Mu'ammar ibn Sulaim merupakan salah seorang sahabat Nabi. Dia bersifat pendiam dan berkata apabila perlu. Apabila beliau memasuki Islam, Nabi Muhammad S.A.W menukar namanya kepada Abdullah ibn Salam.

Kehidupannya
Sebelum memasuki Islam, Abdullah merupakan seorang pendeta agama Yahudi yang mengajar kitab Taurat di kuil bangsa Yahudi. Setelah mengkaji dan memahami isi kandungan kitab Taurat serta berjumpa dengan baginda, Abdullah memasuki Islam dan berkhidmat di samping baginda.

Rasulullah S.A.W memujinya dalam hadis yang bermaksud:
"Jikalau kamu ingin melihat orang yang berjalan di muka bumi dan juga berjalan di dalam syurga, maka Abdullah ibn Salamlah orangnya"

10- Abdullah ibn Umar
Abdullah ibn Umar (عبدالله بن عمر بن الخطاب‎) adalah anak kepada sahabat Nabi yang terkenal juga Khulafa al-Rasyidin kedua iaitu Umar Al-Khattab. Beliau bersama Zaid ibn Thabit pernah ditolak permohonannya untuk berjuang di Perang Badar.

Jasa dan sumbangannya
Beliau adalah seorang penghafaz hadith yang terkemuka selepas Abu Hurairah. Banyak hadith yang diriwayatkan daripada beliau. Beliau juga lantang mengkritik kepimpinan kerajaan Bani Ummaiyyah ketika pemerintahan Abdul Malik bin Marwan

Kematiannya
Abdullah mati akibat tikaman pisau beracun yang diarahkan oleh Hajjaj ibn Yusuf.

11- Abdullah ibn Zubair
Abdullah ibn Zubair (عبد الله بن الزبير‎) lahir pada tahun pertama Hijrah (624 – 692M). Kelahirannya bersama seorang lagi sahabat iaitu Nu'man ibn Basyir pada tahun yang sama berjaya menyangkal fitnah orang Yahudi Madinah. Beliau juga adalah anak kepada pasangan dua orang sahabat besar Nabi iaitu Zubair ibn Awwam dan Asma binti Abu Bakar.

Jasa dan sumbangan
Abdullah ibn Zubair telah banyak kali mengikut bapanya dalam ekspedisi perang terutamanya dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine. Karisma dan ketokohannya dalam kepimpinan membolehkan beliau dilantik sebagai khalifah di atas kerajaan yang dibinanya sendiri yang berpusat di Hijaz, sehinggakan kerajaan Bani Ummaiyyah ketika itu di bawah pemerintahan Yazid bin Muawiyah dan Marwan bin al-Hakam tergugat dan banyak wilayah telah jatuh ke dalam kekuasaan Abdullah ibn Zubair.

Kematiannya
Beliau terkorban ketika memimpin tenteranya dalam peperangan menentang tentera kerajaan Bani Ummaiyyah pimpinan Hajjaj ibn Yusuf di bawah pemerintahan Abdul Malik bin Marwan. Sejurus sebelum kematiannya, beliau sempat meminta nasihat dan teguran daripada ibunya iaitu Asma binti Abu Bakar dalam mengukuhkan pertahanan tenteranya di dalam Masjidil Haram, Makkah.

12- Abdur Rahman ibn Auf
Abdur Rahman ibn Auf (عبد الرحمن بن عوف‎) atau nama sebenar beliau Abu Amr, merupakan seorang sahabat Nabi. Beliau telah menggunakan nama Abdur Rahman selepas memeluk Islam, dua hari selepas Abu Bakar memeluk Islam.

Beliau berasal daripada keturunan Bani Zuhrah. Beliau lahir pada tahun 580 Masihi di Makkah iaitu sepuluh tahun selepas Tahun Gajah. Beliau memeluk Islam melalui saidina Abu Bakar r.a. Beliau wafat pada tahun 32 Hijrah bersamaan tahun 654 Masihi ketika berumur 74 tahun.

Kehidupannya
Sewaktu umat Islam berhijrah ke Madinah, beliau mengikuti ekspidisi tersebut. Setibanya Abdur Rahman di Madinah, beliau dipersaudarakan oleh baginda kepada seorang sahabat dari golongan Ansar iaitu Sa'ad ibn Ar-Rabi'ah.

Abdur Rahman juga merupakan ahli jawatankuasa Syura yang berenam. Sewaktu pemilihan khalifah ketiga selepas peristiwa pembunuhan Umar Al-Khattab, beliau merupakan salah seorang calonnya. Namun, Abdur Rahman enggan sebaliknya menetapkan pemilihan khalifah jatuh kepada Uthman bin Affan.

Jasa dan sumbangannya
Abdur Rahman terkenal sebagai seorang sahabat Rasullah s.a.w yang sanggup berkorban dan berjihad di jalan Allah s.w.t. Beliau sanggup menyumbangkan barang-barang keperluan yang dimuatkan di atas 700 ekor unta penduduk Madinah. Beliau juga menjual tanahnya dengan harga 40 ribu dinar dan membahagikan harta tersebut kapada kaumnya, isteri-isteri Nabi dan fakir miskin.

Selain itu juga Abdur Rahman memberi sumbangan dari segi kewangan dan barangan ketika Perang Tabuk iaitu sebanyak 200 tahil emas, 500 ekor kuda perang dan 1500 ekor unta tunggangan. Begitu juga kebaikannya terbukti apabila menyedekahkan 400 dinar kepada setiap bekas tentera Perang Badar yang masih hidup iaitu seramai 100 orang.

Beliau pernah dilantik oleh baginda Nabi S.A.W untuk mengimami solat Subuh dengan dihadiri oleh baginda. Beliau juga menyertai dalam beberapa perang seperti Badar, Uhud , Khandak dan Tabuk. Abdur Rahman merupakan lambang kejayaan umat Islam di dalam bidang urusniaga dan perdagangan terutama ketika bidang ekonomi ketika itu dimonopoli oleh orang Yahudi.

13- Abu Abdillah al-Arqam bin Abi al-Arqam
Abu Abdillah al-Arqam bin Abi al-Arqam (الأرقم بن أبي الأرقم‎) (673-675M) adalah seorang ahli perniagaan yang berpengaruh dari suku Makhzum dari Makkah. Dalam sejarah Islam, beliau orang ketujuh dari As-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terawal menganut Islam). Rumah beliau terletak di bukit Safa, di mana para pengikut Nabi Muhammad belajar tentang Islam. Sebelumnya rumah al-Arqam ini disebut Dar al-Arqam (rumah Al-Arqam) dan setelah dia memeluk Islam akhirnya disebut Dar al-Islam (Rumah Islam). Dari rumah inilah madrasah pertama terbentuk sebagai pusat penyebaran Islam ketika dakwah sir. Al-Arqam juga ikut hijrah bersama dengan Nabi Muhammad ke Madinah. Sehingga kini, rumah beliau tidak dapat dikesan di manakah rumahnya.

14- Abu Ayyub al-Ansari
Abu Ayyub al-Ansari r.a (587 – 668M) atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Bani An-Najjar. Beliau mendapat penghormatan kerana Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah semasa baginda berhijrah ke sana dari Mekah.

Semasa Rasulullah s.a.w memasuki Madinah, setiap orang dari kalangan orang-orang Ansar bercita-cita supaya Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah mereka. Mereka menghalang perjalanan unta Nabi s.a.w secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka kemudian Nabi bersabda kepada mereka: (Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan). Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansari r.a.

Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah s.a.w untuk menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w seolah-olah beliau membawa khazanah dunia kemudian terus masuk ke rumahnya.

Jasa dan sumbangan
Beliau terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Rom Byzantine sejak mula perjuangan hinggalah ke zaman pemerintahan Muawiyah. Beliaulah yang diisyaratkan oleh baginda dalam hadisnya yang bermaksud:

"Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan akan dikuburkan di bawah kubu kota Konstantinopel" (Hadis Riwayat Abu Dawud).

Turki Uthmaniyyah mengangkat beliau sebagai idola dalam usaha pembebasan kota Konstantinopel ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih.

15- Abu Bakar as-Siddiq
Abu Bakar as-Siddiq (أبو بكر الصديق‎) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634M. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah.

Kehidupan awal
Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622M, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W berkahwin dengan anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. Beliau seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.

Beliau mendapat gelaran as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah S.A.W. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi'raj yang telah dialami oleh Rasulullah S.A.W. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.

Menjadi khalifah pertama
Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi bin Talib membaiahkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi bin Talib hanya membaiahkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.

Peperangan Islam-Riddah
Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini menggugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.

Ekspedisi ke Utara
Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Saidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

Pengumpulan al-Quran
Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan al-Quran semasa beliau menjadi khalifah.

Kewafatan Saidina Abu Bakar
Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634M di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar menggesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru. Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.

Sumbangan Saidina Abu Bakar
Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634M), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam.

1 comments:

Unknown on March 1, 2013 at 4:37 AM said...

assalamualaikum..
boleh ana nk minte tlong dri anta..
ana ingn anta beri detail & biodata muaz bin jabal & mus'ab bin umair

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan