~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Thursday, December 2, 2010

Kampung Halamanku: Lokasi Dan Sejarah



Kampung Kok Pasir terletak di daerah Sungai Pinang dalam Jajahan Tumpat lokasinya kira-kira 7 kilometer dari Bandar Tumpat dan 15  kilometer dari ibu Negeri Kelantan iaitu Kota Bharu.  Keluasannya kira-kira 270 ekar. 

Dari Destinasi lain, ke Kg Kok Pasir boleh melalui jalan raya, jalan keretapi dan jalan sungai. Kampung sekitar Kok Pasir ialah , Kg. Kok Keli, Kg. Hutan Jambu, Kampung Belian dan Kg. Berangan.  Pada tahun 2003 penduduk Kok Pasir seramai 1788 orang dan 100 % berbangsa Melayu dan beragama Islam. 

Latar Belakang. 

Mengikut sejarah orang tua-tua di kampung ini. Kampung Kok Pasir mula diterokai sekitar tahun 1830-an oleh dua beradik dari Negeri Terengganu iaitu Haji Che Yusof dan Che Hussin. Haji Che Yusof meneroka tanah di kawasan Hutan Jambu dan Che Hussin meneroka tanah di kawasan Kampung Kok Pasir. Selepas itu ramailah orang lain yang datang mendiami kampung ini.  Mereka berdua membawa diri ke sini dipercayai merajuk kerana pertelingkahan keluarga. 

LAGENDA 

Mengikut lagenda,  sungai di kampung ini ialah tempat persinggahan (Pengkalan) perahu-perahu layar pedagang untuk menjual dagangan termasuk garam, gambir, kain dan beberapa barangan lain.  Kebanyakan mereka dari Thailand. Perahu-perahu layar mereka dikenali dengan panggilan “JONG”

Entah bagaimana pada suatu hari, sebuah JONG mereka yang sarat dengan barang dagangan karam dipukul ribut. Semuanya tenggelam termasuk barang dagangan tidak dapat diselamatkan hanya nampak tiang layar (tempat itu merupakan dasar sungai yang paling dalam dipanggil lubuk).  Berita tenggelamnya Jong itu telah tersebar  luas. Selepas peristiwa jong tenggelam itu, kampung ini dikenali dengan nama “Kampung Lubuk Jong”

Nama Lubuk Jong ini, makin lama semakin hilang dari ingatan penduduk di sini sebagaimana hilangnya tiang layar yang terbenam di sungai. Proses hakisan dan pereputan menghilangkan terus layar jong dari pandangan mata begitu juga nama kampung Lubuk Jong hilang dari sebutan orang ramai. 

Pengkalan tempat persinggahan perahu-perahu dagang terus maju dan makin lama makin maju. Bukan sahaja mereka berjual-beli, malahan ada diantara mereka singgah ke darat untuk memasak nasi bagi kegunaan harian.

Pada suatu hari berlaku satu peristiwa dimana salah seorang daripada satu keluarga  menyuruh anaknya memasak nasi. Anaknya bertanya berapa banyak nasi hendak dimasak. “Se leng ke Mak?” (satu leng sukatan lama sama dengan ½ cupak), jawab maknya “Hor” (ya) anaknya inginkan kepastian lalu diulang-ulang beberapa kali.

Peristiwa itu telah didengar oleh beberapa orang di sekitar yang kemudiannya menjadi buah mulut oleh orang ramai sebagai suatu jenaka kampung dan terus tersebar sehingga kampung ini  dikenali sebagai kampung “Selehor “ iaitu hasil gabungan antara   perkataan seleng +  hor. 

Dengan kemunculan Hj. Abdul Rahman bin Hj. Othman seorang ulama yang zahid, muktabar dan waro’ maka Kampung Selehor ini tersohor bukan sahaja di Kelantan, seluruh negeri-negeri di Malaysia,  malahan di negara Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Disebabkan terkenalnya Kampung Selehor ini, menjadikan Haji Abdul Rahman dikenali sebagai Tok Selehor. Nama Hj. Abdul Rahman lebih sinonim dengan nama Tok Selehor. Setelah meninggalnya Tok Selehor pada tahun 1935 maka kampung Selehor pun makin lama makin hilang dari ingatan hinggakan generasi ketiga kini tidak lagi mengenali kampung Selehor. 

NAMA KG. KOK PASIR 

Cetusan idea untuk menamakan kampung ini dengan nama Kampung Kok Pasir adalah berdasarkan kepada perkataan KOK bagi orang-orang di sini bermakna tanah tinggi.

Bertepatan dari segi geografi, keadaan tanah di sini beralun dari sawah kepada kok, kemudian sawah dan kembali kepada kok semula begitu seterusnya seolah-olah gelombang alunan ombak.

Disebabkan terdapat kok -kok  (tanah tinggi) dan ianya diliputi oleh tanah-tanah pasir, maka bertepatanlah lokasi ini dinamakan Kampung Kok Pasir.

Kampung Lubuk Jong, Kampung Selehor dan Kampung Kok Pasir  adalah terletak di lokasi yang sama. Kemasyurannya mengikut rentetan sejarah. Generasi kini lebih mengenali Kampung Kok Pasir  daripada kampung Selehor atau Kampung Lubuk Jong. Pun begitu orang-orang lama di Kelantan masih mengenali  kampung Selehor jika dibandingkan dengan Kampung Kok Pasir.

Nama kampung Kok Pasir diharap akan berkekalan selamanya sebagaimana kekalnya tahap perpaduan masyarakat yang jitu, hidup harmoni, toleransi, bersatu padu, rukun damai dan memikirkan cara untuk meningkatkan taraf hidup yang lebih tinggi dan berdaya saing. 

* Catatan dibuat oleh En. Abdullah Yusoff , berdasarkan kaji selidik terhadap orang-orang tua kampung Kok Pasir dan Kampung-kampung sekitar.

Gertak Selehor yang terletak di sekitar Lubuk Jong ini mengundang pelbagai Peristiwa.

 Kubur Tok Selehor . Di sinilah bersemadinya tokoh Penting Selehor/Kok Pasir.

Masjid Kok Pasir , dilihat dari arah perkuburan Islam Tok Selehor.
Warisan Sejarah Kok Pasir yang berharga.

Telaga Besar Tok Selehor .  Kini diperbaharui dan ianya terletak di Tapak yang bersejarah
iaitu bekas Pondok Tok Selehor yang kini didirikan Pondok Darul Hanan.

Suluk Tok Selehor - di dalamnya adalah tempat mengasingkan diri
dan tempat menjalankan ibadat. Suluk ini sesuai untuk dikunjungi
Pasti Tok Selehor. Tempat Bertunasnya Pendidikan Islam. (Gambar lama)
Sekolah Kebangsaan Kok Pasir

Wakaf ini didirikan oleh Tok Selehor  sebelum tahun  1920 dan masih kekal utuh hingga ke hari ini.
Sesuai untuk dikunjungi.



0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan