~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Monday, December 12, 2011

Siri Mengenali Para Sahabat R.A: Biodata Ringkas Sahabat/iah Rasulullah s.a.w. (Siri 2)


16- Abu Darda'
Abu Darda' (أبو الدرداء الأنصاري‎) pada asalnya merupakan seorang penyembah berhala yang menetap di kota Yathrib. Mempunyai seorang isteri yang dipanggil dengan gelaran Ummu Darda'. Abu Darda' merupakan seorang peniaga yang terkemuka di kota Yathrib.

Pengislamannya
Abu Darda' masuk Islam dengan usaha oleh rakan karibnya yang juga seorang sahabat Nabi S.A.W dari golongan Ansar iaitu Abdullah ibn Rawahah. Setelah masuk Islam, beliau meninggalkan perniagaannya dan menumpukan ibadah kepada Allah S.W.T. Pernah menjadi teman serumah kepada salah seorang sahabat Nabi yang terkemuka iaitu Salman Al-Farisi.

Jasa dan perjuangannya
Khulafa’ al-Rasyidin yang kedua iaitu Umar Al-Khattab ingin melantik beliau sebagai gabenor di Syria namun ditolaknya. Setelah itu, Umar sekali lagi melantik beliau sebagai guru untuk mengajar hal-hal yang berkaitan dengan Islam di Syria.

17- Abu Dzar al-Ghifari
Jundub ibn Junadah (جُندب بن جَنادة‎) atau lebih dikenali sebagai Abu Dzar al-Ghifari (ابو ذر الغافاري) adalah salah seorang sahabat nabi yang terawal. Beliau tinggal di Ghifar (antara Syam dan Madinah) bersama adiknya Jindab.

Beliau memeluk Islam di hadapan Rasulullah setelah tiba di Kota Makkah beberapa hari sebagai musafir. Beliau dengan berani menyatakan keIslamannya di hadapan Kaabah di depan penduduk Quraisy lalu dibelasah oleh orang kafir Quraisy.

18- Abu Hurairah
Abu Hurairah ialah salah seorang perawi hadith yang terkemuka. Beliau dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Nama sebenar beliau sebelum memeluk agama Islam tidaklah diketahui dengan jelas, tetapi pendapat yang mashyhur adalah Abd Syams. Nama Islamnya adalah Abd al-Rahman. Beliau berasal daripada qabilah al-Dusi di Yaman.

Kehidupan Abu Hurairah
Walaupun Abu Hurairah r.a. merupakan seorang yang papa pada mulanya, dia telah dipinang oleh salah seorang majikannya yang kaya raya untuk putrinya, Bisrah binti Gazwan. Ini menunjukkan betapa Islam telah mengubah pandangan seseorang dari membezakan kelas kepada menyanjung keimanan. Abu Hurairah r.a. dipandang mulia karena kealiman dan kesalihannya. Perilaku islami telah memuliakannya, lebih dari kemuliaan pada masa jahiliah yang memandang kebangsawanan dan kekayaan sebagai ukuran kemuliaan.

Sejak menikah, Abu Hurairah r.a. membahagi malamnya kepada tiga bahagian: untuk membaca Al-Quran, untuk tidur dan keluarga, dan untuk mengulang-ngulang hadis. Dia dan keluarganya tetap hidup sederhana walaupun setelah menjadi orang berada. Abu Hurairah r.a. suka bersedekah, menjamu tetamu, bahkan memberi sedekah rumahnya di Madinah untuk pembantu-pembantunya.

Rasulullah S.A.W. pernah mengutuskan Abu Hurairah r.a. berdakwah ke Bahrain bersama Al-Ala ibn Abdillah Al-Hadrami r.a. Dia juga pernah diutus bersama Quddamah r.a. untuk mengutip jizyah di Bahrain, sambil membawa surat ke Amir Al-Munzir ibn Sawa At-Tamimi.
Mungkin disebabkan oleh itu, Abu Hurairah r.a. diangkat menjadi gabenor Bahrain ketika Umar r.a. menjadi Amirul Mukminin. Tetapi pada 23 Hijrah, Umar r.a. memecatnya kerana Abu Hurairah r.a. dituduh menyimpan wang yang banyak sehingga 10,000 dinar. Ketika pembicaraan, Abu Hurairah r.a. berjaya membuktikan bahawa harta itu diperolehinya dari berternak kuda dan pemberian orang. Khalifah Umar r.a. menerima penjelasan itu dan memaafkannya. Lalu dia diminta menerima jabatan gabenor kembali, tapi Abu Hurairah r.a. menolak.

Penolakan itu diiringi lima alasan. "Aku takut berkata tanpa pengetahuan; aku takut memutuskan perkara bertentangan dengan hukum (agama); aku tidak mahu disebat; aku tak mau harta benda hasil pencarianku disita; dan aku takut nama baikku tercemar," katanya. Dia memilih untuk tinggal di Madinah, menjadi warga biasa yang memperlihatkan kesetiaan kepada Umar, dan para pemimpin sesudahnya.

Khalifah Umar ibn Khattab r.a. pula pernah melarang Abu Hurairah r.a. menyampaikan hadis dan hanya membolehkan menyampaikan ayat Al-Quran. Ini disebabkan tersebar khabar angin bahawa Abu Hurairah r.a. banyak memetik hadis palsu. Larangan khalifah baru dibatalkan setelah Abu Hurairah r.a. mengutarakan hadis mengenai bahaya hadis palsu.

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa berdusa terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di dalam api neraka”. [Al-Bukhariy/ 1291], [Muslim/ 3], [Ibnu Hibban/ 31], [Abu Dawud/ 3651], [At-Tirmizi/ 2659], [Ibnu Majah/ 30, 33, 36, 37], [Ad-Darimi/ 231, 232, 234, 235, 236, 238, 593], dan [Ahmad/ 585, 1078, 1416, 2670, 3791, 3804, 9086, 10350, 11011, 11531, 11700, 12291, 12353, 12687, 12777, 13549, 13558, 13568, 13843, 16071, 16471, 16978]

Asal usul gelaran Abu Hurairah
Gelaran Abu Hurairah r.a. adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah r.a. bertemu Rasullullah S.A.W. dia ditanyai apa yang ada dalam lengan bajunya. Apabila dia menunjukkan anak kucing yang ada dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah r.a. oleh Rasullullah S.A.W. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah r.a.

Era Nabi Muhammad; Pengislaman Abu Hurairah
Abu Hurairah memeluk Islam pada tahun 7 Hijrah ketika Rasulullah berada di Khaibar. Abu Hurairah r.a. memeluk Islam pada tahun 7 Hijrah ketika Rasulullah S.A.W. berangkat menuju ke Khaibar. Ketika itu ibunya masih belum menerima Islam malah menghina Nabi. Abu Hurairah r.a. lalu bertemu Rasulullah S.A.W. dan meminta Baginda berdoa agar ibunya masuk Islam. Kemudian Abu Hurairah r.a. menemui ibunya kembali, mengajaknya masuk Islam. Ternyata ibunya telah berubah, bersedia mengucapkan dua kalimat syahadat.

Apabila pulang dari Perang Khaibar, Rasulullah S.A.W. memperluaskan Masjid Nabawi ke arah barat dengan menambah ruang sebanyak tiga tiang lagi. Abu Hurairah r.a. turut terlibat dalam pengubahsuaian ini. Ketika dilihatnya Rasulullah S.A.W. turut mengangkat batu, ia meminta agar beliau menyerahkan batu itu kepadanya. Rasulullah S.A.W. menolak seraya bersabda, "Tiada kehidupan sebenarnya, melainkan kehidupan akhirat".

Abu Hurairah r.a. pernah tersilap menimbang makanan yang lazat sehinggakan dia dikenakan hukuman dipukul oleh Rasulullah S.A.W. Bagaimanapun Abu Hurairah r.a. gembira "Kerana Nabi menjanjikan akan memberi syafaat kepada orang yang pernah merasa disakitinya secara sengaja atau tidak," katanya.

Begitu cintanya kepada Rasulullah S.A.W. sehingga siapapun yang dicintai, ia ikut mencintainya. Misalnya, ia suka mencium Hasan dan Husain, karena melihat Rasulullah S.A.W. mencium kedua cucunya itu.

Abu Hurairah di Madinah
Abu Hurairah r.a. berpindah ke Madinah untuk mengadu nasib. Di sana ia bekerja menjadi buruh kasar bagi siapa yang memerlukannya. Seringkali dia mengikatkan batu ke perutnya, kerana menahan lapar yang amat sangat. Malah diceritakan bahawa dia pernah berbaring berhampiran mimbar masjid sehinggakan orang menyangka dia kurang waras. Apabila Rasullullah S.A.W. mendengarkan perkara tersebut, baginda menemui Abu Hurairah r.a. yang menjelaskan bahawa dia berbuat sedemikian kerana lapar, lalu Rasullullah S.A.W. pun segera memberinya makanan. 

Peribadi Abu Hurairah
Abu Hurairah r.a. adalah sahabat yang sangat dekat dengan Nabi S.A.W. Ia dikenali sebagai salah seorang ahli shuffah, iaitu orang-orang miskin atau sedang menuntut ilmu dan tinggal di laman masjid. Beliau begitu rapat dengan Nabi S.A.W. sehingga baginda selalu menyuruh Abu Hurairah r.a. untuk mengumpulkan ahli shuffah, jika ada makanan yang hendak dibahagikan.
Pernah pula pada suatu masa, dia duduk di pinggir jalan tempat orang biasanya berlalu lalang sambil mengikatkan batu ke perutnya. Dilihatnya Abu Bakar r.a melintas. Lalu dia minta dibacakan satu ayat Al-Quran. "Aku bertanya begitu supaya dia mengajakku ikut, memberiku pekerjaan," tutur Abu Hurairah r.a.. Tapi Abu Bakar r.a. cuma membacakan ayat, lantas berlalu.

Dilihatnya Umar ibn Khattab r.a.. "Tolong ajari aku ayat Al-Quran," kata Abu Hurairah r.a.. Ternyata dia kecewa sekali lagi kerana Umar r.a.melakukan hal yang sama.

Tak lama kemudian Rasullullah S.A.W. pula yang berlalu. Nabi tersenyum. "Beliau tahu apa isi hati saya. Beliau boleh membaca raut muka saya dengan tepat," tutur Abu Hurairah r.a..

"Ya Aba Hurairah!" panggil Nabi.

"Labbaika, ya Rasulullah!"

"Ikutlah aku!"

Beliau mengajak Abu Hurairah r.a. ke rumahnya. Di dalam rumah didapati semangkok susu.

"Dari mana datangnya susu ini?" tanya Rasulullah S.A.W. Beliau diberitahu bahwa seseorang telah memberikan susu itu.

"Ya Aba Hurairah!"

"Labbaika, Ya Rasulullah!"

"Tolong panggilkan ahli shuffah," kata Rasullullah S.A.W. Susu tadi lalu dibagikan kepada ahli shuffah, termasuk Abu Hurairah r.a. Sejak itulah, Abu Hurairah r.a. mengabdi kepada Rasullullah S.A.W.  bergabung dengan ahli shuffah di pondok masjid.

Abu Hurairah r.a. berjaya meriwayatkan banyak hadis disebabkan beliau sentiasa berdamping dengan Rasulullah selama 3 tahun, selepas memeluk Islam. Ini sebagaimana yang diriwayatkan olehnya :-

Terjemahannya :-
“sesungguhnya saudara kami daripada golongan Muhajirin sibuk dengan urusan mereka di pasar dan orang-orang Ansar pula sibuk bekerja di ladang mereka sementara aku seorang yang miskin sentiasa bersama Rasulullah S.A.W. 'Ala Mil'i Batni. Aku hadir di majlis yang mereka tidak hadir dan aku hafaz pada masa mereka lupa”. (Al-Bukhari)

Pada mulanya Abu Hurairah r.a. mempunyai ingatan yang lemah lalu beliau mengadu kepada Rasulullah. Lalu Rasulullah mendoakan agar Abu Hurairah r.a. diberkati dengan daya ingatan yang kuat dan semenjak hari itulah Abu Hurairah r.a. dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat yang membolehkan beliau meriwayatkan sejumlah hadis terbanyak di kalangan para sahabat.

Kisah Abu Hurairah r.a mengawal gudang zakat
Dikatakan pada satu ketika Abu Hurairah r.a. telah diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menjaga gudang hasil zakat. Pada suatu malam Abu Hurairah r.a. telah ternampak seseorang mengendap-ngendap hendak mencuri, lalu ditangkapnya. Orang itu pun hendak dibawanya berjumpa Rasulullah S.A.W. tetapi pencuri itu merayu minta dikasihani seraya menyatakan bahawa dia mencuri untuk menyarai keluarganya yang kelaparan.

Abu Hurairah r.a. merasa kasihan lalu melepaskan pencuri itu dengan amaran agar tidak mengulangi perbuatannya lagi.

Keesokkan harinya perkara tersebut dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. tersenyum lalu bersabda bahawa pencuri itu pasti akan kembali.

Ternyata keesokan malamnya pencuri itu datang lagi. Sekali lagi Abu Hurairah r.a. menangkap pencuri itu lalu hendak dibawanya berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. Sekali lagi, pencuri itu merayu sehinggakan Abu Hurairah r.a. merasa kasihan lalu melepaskannya sekali lagi. Keesokkan harinya, dia melaporkan hal tersebut kepada Rasulullah S.A.W. yang mengulangi sabdanya bahawa pencuri itu pasti akan kembali.

Apabila pencuri itu ditangkap sekali lagi Abu Hurairah r.a. mengancam akan membawanya berjumpa Rasulullah S.A.W. Pencuri itu merayu meminta dibebaskan sekali lagi. Apabila Abu Hurairah r.a. enggan melepaskannya, pencuri itu menyatakan dia akan mengajar sesuatu yang baik sekiranya ia dibebaskan. Pencuri itu menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu membaca ayat Kursi sebelum tidur syaitan tidak akan mengganggunya.

Abu Hurairah r.a. merasa tersentuh mendengarkan ajaran pencuri itu lalu melepaskannya pergi. Keesokkan harinya dia melapurkan peristiwa tersebut kepada Rasulullah S.A.W. yang bersabda, pencuri yang ditemuinya itu adalah pembohong besar, tetapi apa yang diajarkan kepada Abu Hurairah r.a. itu adalah perkara yang benar. Sebenarnya pencuri itu adalah syaitan yang dilaknat.

Era Usman ibn Affan
Apabila kediaman Amirul Mukminin Usman ibn Affan r.a. dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenali sebagai al-fitnatul kubra (fitnah/bencana besar), Abu Hurairah r.a. bersama 700 orang Muhajirin dan Anshar tampil mengawal rumah tersebut. Meskipun dalam keadaan siap untuk bertempur, Khalifah Ustman ibn Affan r.a. melarang pengikut setianya itu memerangi kaum pemberontak.

Era Ali ibn Abi Talib
Pada masa Amirul Mukminin Ali ibn Abi Talib r.a.  Abu Hurairah r.a. menolak tawaran menjadi gabenor Madinah. Ketika terjadi pertemuan antara Khalifah Ali dan lawannya, Muawiyah ibn Abi Sufyan, ia bersikap berkecuali dan menghindari fitnah. Setelah Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah r.a. dilantik menjadi gabenor Madinah setelah diusul oleh Marwan ibn Hakam.

Kewafatan Abu Hurairah
Di Kota Penuh Cahaya (Al-Madinatul Munawwarah) ini pula dia menghembuskan nafas terakhir pada 57 atau 58 H. (676-678 M.) dalam usia 78 tahun. Abu Hurairah r.a. meninggalkan sebanyak 5,374 hadis.

Warisan
Hadis Abu Hurairah r.a. yang disepakati Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadis, oleh Imam Bukhari sendiri sebanyak 93 hadis, dan oleh Muslim sendiri 189 hadis. Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. juga terdapat dalam kitab-kitab hadis lainnya.

Terdapat pula golongan yang mempertikaikan tentang kesahihan hadis-hadis yang di sampaikan oleh Abu Hurairah r.a. seperti dari golongan orientalis barat, Ignaz Goldizihar yang telah membuat kritikan terhadap hadis dan para perawinya termasuk Abu Hurairah. Tuduhan beliau telah mempengaruhi beberapa penulis Islam seperti Ahmad Amin dan Mahmud Abu Rayyuh untuk mengkritik kedudukan Abu Hurairah sebagai perawi hadis. Tuduhan-tuduhan ini telah disanggah oleh Mustafa al Sibai dalam al Sunnah wa Makanatuha halaman 273-283.

Selain daripada golongan ini terdapat juga kritikan kuat daripada golongan Syiah. Ini mungkin disebabkan Abu Hurairah r.a. merupakan penyokong Ustman ibn Affan r.a. dan juga pernah menjadi pegawai dinasti Umaiyyah. Penolakannya menyandang jawatan gabenor ketika ditawarkan oleh Ali r.a. dan ketiadaan hadis yang berisi pujian atau pengistimewaan kepada Ali dan keluarganya mungkin merupakan sebab-sebab lain Abu Hurairah dikritik oleh kaum Syiah. Antara menantunya adalah Said bin Al-Musayyab.

19- Abu Musa Al-Asya'ari
Abu Musa Abdullah bin Qays al-Ash'ari, lebih dikenai sebagai Abu Musa Al-Asya'ari (أبو موسى الأشعري‎). merupakan seorang sahabat Nabi yang berasal dari Yaman. Sesuai dengan perwatakan orang Yaman, sifat Abu Musa lembut, berhemah dan halus budi pekertinya. Kerana itu dia digelar As-Sya'ariyyah atau Abu Musa Al-Asya'ari.

Kehidupannya
Abu Musa sangat dihormati oleh umat Islam ketika itu. Kecerdasan akalnya dan pertimbangan ketika memutuskan hukuman dan keputusan memenuhi kehendak syarak. Orang ramai mengatakan:

"Hakim di kalangan ummah ini ada empat orang iaitu Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Thalib, Zaid ibn Thabit dan Abu Musa Al-Asya'ari."

20- Abu Said Al-Khudri
Abu Sa'id Sa`d ibn Malik ibn Sinan al-Khazraji al-Khudri (أبو سعيد الخدري‎) adalah salah seorang sahabat Nabi dari kalangan Ansar. merupakan penduduk asal dari Madinah.

Jasa dan Sumbangan
Terlalu muda untuk berperang di Perang Uhud di mana ayahnya Malik bin Sinan jatuh, beliau mengambil bahagian dalam kempen seterusnya. Walaupun beliau melakukan perjalanan ke Syria sekali untuk melawat khalifah Umayyah Mu`awiyah, Beliau dinyatakan tinggal di Madinah sepanjang hidupnya. Kemudian, beliau menyertai dalam mempertahankan bandar Madinah menentang tentera Bani Umayyah pada Perang al-Harrah di 64H/683M. Pelbagai pendapat mengatakan beliau meninggal pada tarikh 63H/682M, 64H/683M, 65H/684M, atau 74H/693M. Abu Sa`id adalah salah satu periwayat hadis yang paling sering dikutip. Setelah dikira, ia telah meriwayatkan 1170 hadith. Muslim Syiah tidak secara automatik mengabaikan narasi, tapi membandingkan apa yang ia menceritakan dengan sumber lain.

21- Adi ibn Hatim
Adi ibn Hatim ialah raja bagi suku kaum Arab Bani at-Ta'i. Pada awalnya, beliau yang beragama Kristian bersikap memusuhi Islam hampir dua puluh tahun.

Pengislamannya
Beliau masuk Islam setelah mendengar akan keterangan Nabi Muhammad berkenaan cara beliau mengambil harta rampasan perang. Beliau juga ditakdirkan oleh Allah S.W.T untuk melihat dua daripada tiga mukjizat baginda.

Perjuangannya
Terlibat dalam peperangan menentang tentera kaum yang murtad di zaman Abu Bakar. Hasil usahanya bersama Khalid bin al-Walid, Adi berjaya menarik semula mereka yang murtad untuk bertaubat dan bergabung dengan tentera Islam.

Ketika di dalam kempen Peperangan Islam-Riddah, Adi berjaya membunuh salah seorang panglima kaum murtad.

Di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid, ketika menentang tentera Parsi Sassanid, beliau dilantik untuk memimpin pasukan kecil ketika Perang Ullais.

Ketika terjadinya Perang Jamal dan Perang Siffin, beliau berperang bagi pihak Ali bin Abi Thalib.

22- Ali bin Abi Talib
Saidina Ali Abi Talib (علي بن أبي طالب‎) ialah Imam Islam pertama selepas Rasulullah SAW dan khalifah terakhir Islam daripada Khulafa’ al-Rasyidin. Beliau juga ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w. selepas mengahwini anak perempuan Rasulullah s.a.w. iaitu Fatimah.

Kehidupan awal
Saidina Ali dilahirkan di Makkah pada tahun 598M. Bapa Saidina Ali, Abu Talib ialah pembesar puak Quraisy dan juga bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu daripada Allah s.w.t., Saidina Ali merupakan kanak-kanak pertama memeluk Islam.

Saidina Ali sentiasa menyokong Nabi Muhammad s.a.w. semasa kezaliman terhadap orang Muslim berlaku. Pada tahun 622M, semasa peristiwa hijrah berlaku, Saidina Ali mengambil risiko dengan tidur di katil Rasulullah s.a.w. lantas berjaya mengelakkan satu percubaan membunuh baginda oleh musyrikin Makkah.

Saidina Ali di Madinah
Semasa berlakunya Perang Badar, Saidina Ali menumpaskan seorang jaguh Quraisy iaitu Walid ibni Utba di samping askar-askar Makkah yang lain. disamping itu para sahabat Rasulullah juga memainkan peranan yang penting di sisi Nabi sebagai pejuang agama Allah. Beliau mengahwini Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w. Ketika itu beliau berumur 25 tahun dan Siti Fatimah berumur 18 tahun. Kerana kemiskinannya Saidina Ali menjual baju besi perangnya untuk dijadikan mahar. walaupun begitu para sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman dan Saidina Abdul Rahman bin Auf berbesar hati mengeluarkan perbelanjaan majlis perkahwinan kedua pengantin itu demi memuliakan Rasulullah SAW, kekasih yang amat mereka cintai.

Sepanjang sepuluh tahun Nabi Muhammad s.a.w. mengetuai penduduk Madinah, Saidina Ali senantiasa menolong dan membantu baginda demi kemajuan umat Islam.

Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
Selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 632M, Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah pertama umat Islam. Adalah dikatakan bahawa Saidina Ali terus menerima Saidina Abu Bakar sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW sekali gus menafikan fitnah yang dilontarkan oleh kaum Syiah. Ahli Sunnah Wal jamaah percaya perlantikan Saidina Abu Bakar merupakan sesuatu yang tepat sekali mengikut syariat Allah dan Rasulullah. Malah Saiyidina Ali menjadi salah seorang tentera Islam di bawah pemerintahan Saiyidina Abu Bakar untuk memerangi kaum yang murtad dan tidak mahu membayar zakat. Golongan Syiah pula percaya memandangkan Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu kepada Rasulullah s.a.w. maka beliaulah yang seharusnya dilantik menjadi khalifah.

Menjadi khalifah ke-4
Pada tahun 656M, khalifah ketiga Islam iaitu Saidina Uthman bin Affan wafat kerana dibunuh oleh puak pemberontak di dalam rumahnya sendiri. Pemberontakan mereka atas sebab tidak puas hati dengan Saidina Uthman yang dikatakan mengamalkan nepotisme dan menggunakan harta baitul mal untuk keluarganya. Atas keputusan ahli Syura mencadangkan Saidina Ali supaya menjadi khalifah tetapi Saidina Ali menolak. Tetapi selepas didesak, beliau akhirnya menerima untuk menjadi khalifah.

Pentadbiran Saidina Ali
Perkara pertama beliau lakukan selepas dilantik menjadi khalifah ialah mencari pembunuh saidina Uthman mengikut saluran undang-undang Islam. Dengan menghapuskan pemberontakan yang hendak dibuat oleh golongan Rafidhah yang menghasut para sahabat. Isteri Rasulullah iaitu Ummul Mukminin Saidatina Aisyah, dan dua orang sahabat Nabi iaitu Talhah ibn Ubaidillah dan Zubair ibn Awwam telah terlibat sama. Pemberontakan itu berjaya ditumpaskan oleh Saidina Ali dalam Perang Jamal (juga dikenali sebagai Perang Unta). Dalam peperangan ini, Talhah dan Zubair terkorban akibat dibunuh oleh golongan Rafidhah yang mengaku sebagai pengikut Saidina Ali. Manakala Saidatina Aisyah dikembalikan ke Madinah oleh Saidina Ali. Beliau menjalankan satu misi dengan mengarahkan 100 orang wanita menyamar lelaki dan menutup muka, lalu menarik unta Ummul Mukminin Aisyah kembali ke Madinah.

Namun ada juga yang mengatakan: Keluarnya Aisyah bersama Thalhah dan Az Zubair bin Al Awwam ke Basrah dalam rangka mempersatukan kekuatan mereka bersama Ali bin Abi Thalib untuk menegakkan hukum qisas terhadap para pembunuh Utsman bin Affan. Hanya saja Ali bin Abi Thalib meminta penundaan untuk menunaikan permintaan qisas tersebut. Ini semua mereka lakukan berdasarkan ijtihad walaupun Ali bin Abi Thalib lebih mendekati kebenaran daripada mereka. (Daf'ul Kadzib 216-217).

Selepas itu, Saidina Ali melantik gabenor-gabenor baru bagi menggantikan pentadbir-pentadbir yang dilantik oleh Saidina Uthman. Saidina Ali memindahkan pusat pentadbiran Islam daripada Madinah ke Kufah, Iraq. Kota Damsyik, Syria pula ditadbir oleh Muawiyah, Gabebor Syria dan saudara Saidina Uthman. Muawiyah telah dilantik sebagai Gabenor pada masa pemerintahan Saidina Umar lagi.

Muawiyah, yang menyimpan cita-cita politik yang besar, berpendapat bahawa siasatan berkenaan dengan pembunuhan Saidina Uthman adalah merupakan keutamaan bagi negara ketika itu dan beliau ingin mengetahui siapakah pembunuh Saidina Uthman dan pembunuh tersebut mestilah dihukum qisas. Bagi Saidina Ali, beliau berpendapat keadaan dalam negara hendaklah diamankan terlebih dahulu dengan seluruh penduduk berbaiah kepadanya sebelum beliau menyiasat kes pembunuhan Saidina Uthman. Muawiyah kemudiannnya menyatakan rasa kesal dengan kelambatan Saidina Ali menyiasat kematian Saidina Uthman, lalu melancarkan serangan ke atas Saidina Ali. Akhirnya terjadilah Perang Siffin di antara Muawiyah dan Saidina Ali. Di dalam peperangan ini antara para sahabat yang terlibat adalah Amru Al-Ash, Ammar ibn Yasir, Abdullah ibn Amru Al Ash, Abdullah ibn Abbas.

Ada di antara para sahabat bersikap berkecuali di dalam hal ini. Antaranya adalah Abdullah ibn Umar, Muhammad ibn Maslamah, Sa'ad ibn Abi Waqqas, Usamah ibn Zaid.

23- Ammar ibn Yasir
Ammar ibn Yasir merupakan anak kepada pasangan Yasir seorang pengembara Arab dan Sumaiyyah. Nama ibunya terkenal kerana ibunya merupakan orang pertama yang syahid dalam Islam. Ammar merupakan salah seorang sahabat yang hidup dari zaman Nabi sehingga ke zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin yang keempat iaitu Ali bin Abi Talib.

Di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar as-siddiq
Beliau pernah berkhidmat untuk Saidina Abu Bakar as-siddiq utk memerangi gerakan riddah yang diketuai oleh Musailamah al-kazzab.

Kematiannya
Kematiannya telah dijangkakan oleh Nabi Muhammad dalam hadithnya iaitu:
"Sesungguhnya Ammar akan dibunuh oleh golongan penderhaka dan minuman terakhirmu di dunia ini adalah susu."

Ammar terkorban syahid dalam Perang Siffin iaitu beliau berperang bagi pihak Saidina Ali bin Abi Talib. Ketika itu umur beliau sekitar 88 tahun.

24- Amr al-Aas
Amr al-As dilahirkan pada 583M. Berasal dari suku kaum Bani Sahm, ibunya bernama Laila binti Harmalah. Ibunya pada waktu di antara wanita tercantik dan dikatakan pernah membuat hubungan sulit dengan Abu Jahal, Umayyah bin Khalaf, As bin Wail, dan Abu Sufyan. Apabila Amr dilahirkan maka ibunya mengumumkan bahawa Amr anak kepada As bin Wail. Namun Abu Sufyan mengatakan bahawa Amr itu anaknya, ini kerana wajah Amr mirip dengan rupanya. Kerana itulah Amr orang kuat menyokong Muawiyah bin Abu Sufyan (anak kepada Abu Sufyan). Amr juga mempunyai anak yang juga sahabat Nabi yang bernama Abdullah ibn Amru.

Kehidupannya
Sebelum memasuki Islam, Amr merupakan seorang peniaga yang selalu mengikuti rombongan perniagaannya di sekitar Syam dan Damsyik. Beliau masuk Islam bersama-sama Khalid Al-Walid setelah melihat kejayaan tentera Islam memenangi hati seluruh penduduk semenanjung Arab.

Pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin ketiga iaitu Uthman bin Affan, beliau dipecat dari jawatannya sebagai gabenor di Mesir. Ketika zaman pemerintahan Ali bin Abi Thalib, beliau menyebelahi Gabenor Syam iaitu Muawiyah bin Abu Sufyan untuk bangkit menentang pemerintahan Khulafa' ar-Rasyidin keempat itu yang membawa kepada Perang Siffin. Selepas Muawiyah berjasa menubuhkan Daulah Bani Ummaiyyah, beliau dilantik semula sebagai gabenor di Mesir.

Jasa dan perjuangannya
Beliau merupakan salah seorang daripada tulang belakang tentera Islam dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine. Kelebihannya sebagai seorang ahli politik Arab banyak menyumbang kepada kemenangan tentera Islam ketika melakukan tipu helah, terutamanya ketika berdialog dengan para panglima tentera Rom dan merisik kekuatan dan kelemahan tentera Rom.

Kemuncak kejayaannya apabila Amru dapat menyebarkan Islam di bumi Mesir dan seterusnya beliau dilantik oleh Umar Al-Khattab untuk menjadi gabenor di sana.

25- Aqil ibn Abi Thalib
Aqil ibn Abi Thalib (عقيل بن أبي طالب‎) merupakan adik beradik kepada Ja'afar ibn Abi Thalib dan Ali bin Abi Thalib. Beliau lahir pada 590M.

Aqil merupakan seorang yang cekal dan di akhir hayatnya beliau menjadi buta kerana terlibat di dalam beberapa ekspedisi peperangan. Mempunyai lima orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau meninggal dunia pada umur 96 tahun.

Beliau pernah terlibat di dalam beberapa pertempuran. Antaranya ialah Perang Mu'tah.

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan