~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Wednesday, December 14, 2011

Siri Mengenali Para Sahabat R.A: Biodata Ringkas Sahabat/iah Rasulullah s.a.w. (Siri 3)


21- Asma’ binti Abu Bakar
Asma binti Abu Bakar merupakan anak kepada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq. Adiknya Aishah binti Abu Bakar merupakan isteri kepada Nabi Muhammad S.A.W. Beliau berkahwin sebanyak dua kali dan suaminya yang terakhir adalah Zubair ibn Awwam yang mana hasil dari perkahwinan ini lahirlah seorang anaknya yang terkenal iaitu Abdullah ibn Zubair.

Jasa dan sumbangannya
Ketika Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di gua untuk melarikan diri daripada ancamana kaum Quraisy, beliaulah yang membekalkan makanan dan minuman kepada Nabi dan ayahnya. Kerana jasanya itu dia digelar Zatun Naqatain yang bermaksud "Yang Empunya Dua Tali Pinggang".

Bersama anaknya dan Hajjaj
Ketika anaknya, Abdullah bin Zubair meminta pendapat daripada beliau tentang keadaan anaknya yang sudah dikepung oleh tentera Bani Ummaiyyah, Asma’ memberi semangat kepada anaknya untuk terus berjuang. Asma' berkata kepada anaknya:

"Hiduplah secara mulia, berjihadlah kamu kepada Allah dan matilah secara terhormat".

Lalu Abdullah ibn Zubair melancarkan serangan terakhir sehingga dia mati dibunuh oleh gabenor Bani Ummaiyyah iaitu Hajjaj ibn Yusuf. Beliau merasa bangga dengan kematian anaknya. Hajjaj mengarahkan mayat anaknya itu digantung dan disalib di atas tiang sebagai tanda penghinaan kepada Abdullah bin Zubair. Lalu Asma’ mengatakan:

"Bukankah sampai masanya pahlawan yang berdiri megah ini turun dari kudanya?"

Mendengar kata itu daripada Asma’, maka Hajjaj merasa malu kerana dengan menaikkan mayat Abdullah ibn Zubair itu bermakna menaikkan martabat Abdullah itu sendiri dan orang ramai yang lalu lalang pasti akan mengutuk akan kekejaman Hajjaj. Lantas Hajjaj menurunkan mayat Abdullah dan menyerahkannya kepada ibunya Asma’ binti Abu Bakar.

22- At-Tufail ibn Amr ad-Dawsi
At-Tufail ibn Amr Ad-Dawsi atau Tufail bin Amar adalah salah seorang sahabat Nabi. Tufail bin Amar adalah seorang bangsawan Arab terkemuka serta merupakan ketua Kabilah Arab Daus. Beliau mempunyai sifat yang mulia dan suka menolong dan melindungi masyarakat yang berada dalam kesusahan dan ketakutan. Beliau juga mempunyai tahap pemikiran yang luas, bijak, cerdas dan berperasaan halus. Juga merupakan penyair yang mampu membuat untaian terhadap syairnya agar lebih indah dan tajam.

Tufail memeluk Islam
Minatnya terhadap bidang kesenian membuatkan beliau sering kali tidak mahu melepaskan peluang dalam menyertai "Pesta Kesenian" di Pasar Ukaz. Pasar Ukaz merupakan suatu pasar kesenian yang terletak tidak jauh dari Kota Suci Makkah.

Namun demikian, Tufail merasakan yang beliau perlu bertemu dengan seorang lelaki di Kota Suci Makkah al-Mukarramah yang sebelum ini dikhabar merupakan lelaki yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri (luar biasa dan handal dalam pelbagai bidang) seperti yang selama ini didengari olehnya di negerinya yang bernama Tihamah (negeri yang terletak di dataran rendah sepanjang persisiran Laut Merah yang menjulur ke Makkah). Lelaki itu bernama Muhammad bin Abdullah (Nabi Muhammad S.A.W.) seorang lelaki yang menggelar dirinya "Utusan Allah".

Demi memastikan bahawa lelaki itu benar-benar wujud, Tufail bertanyakan khabar tersebut dengan beberapa pembesar Quraisy yang dalam perjalanan ke kota suci Makkah. Para pembesar Quraisy tidak memberikan apa-apa jawapan terhadap pernyatan Tufail tadi mungkin mereka ingin menjaga kepentingan keturunan mereka dan pangkat kemuliaan mereka di depan bangsawan kabilah Arab yang lain. Namun Tufail tidak berputus asa, hasratnya yang membara ingin bertemu dengan Muhammad bin Abdullah terus dipendam sehingga beliau sampai di Kota Suci Makkah.

Sesampai sudah Tufail di Makkah, Tufail dilayani dengan penuh meriah oleh para pembesar Quraisy. Mereka membuat suatu majlis keraian sebagai tanda menyambut kedatangan Saudara pembesar dari puak Kabilah Arab yang lain. Dalam majlis tersebut Tufail bertanyakan tentang perihal kewujudan Muhammad bin Abdullah di bandar itu kepada salah seorang pemuka Quraisy. Beliau tidak tahu yang Muhammad itu memang merupakan Nabi, Rasul dan Utusan Allah. Dia juga tidak mengetahui bahawa Muhammad itu merupakan keturunan kepada pemerintah Kota Suci Makkah yang sangat dibenci dan dimusuhi oleh kaum Quraisy yang menyembah berhala akibat dari sikap Muhammad yang mengagungkan Allah yang Esa dan tidak mahu berganjak dari dakwahnya itu.

Demi tidak mahu melukakan hati Tufail, pemuka Quraisy itu menjawab pertanyaannya: "Wahai Tufail sahabat kami, pemimpin kaum Daus yang bijak bestari, Engkau datang ke mari dalam keadaan selamat. Tiada satu halangan pun yang menimpamu. Kami pun menghormatimu dengan sepenuhnya. Muhammad yang kau maksudkan itu memang ada di kota Makkah ini. Dia seorang yang suka menimbulkan perselisihan diantara kami sehingga terjadilah perpecahan dan permusuhan antara satu sama lain".

Para pembesar Arab quraisy yang lain terdiam sejenak, masing-masing seperti mahu mengumpulkan kekuataan dan mempertahankan keyakinan mereka. Bagi mereka pertanyaan Tufail itu telah dapat dijangkakan awal lagi disebabkan;
1-      Tufail merupakan seorang bangsawan yang sangat berpengaruh dalam hal ehwal sosial. Dan orang yang baik-baik dan tidak mementingkan pangkat semata-mata.

2-      Tufail merupakan seorang yang amat meminati kepada kesenian, jadi tidak hairanlah jika dia sentiasa mahukan kelainan dan mencari ilmu berkaitan agama, kesenian, dan lain-lain dari orang yang dianggapnya terlalu luar biasa seperti Muhammad Rasullullah.


Kebanyakan pembesar Arab yang melawat kota-kota besar mereka akan sentiasa berbuat baik dengan cara mengenali orang-orang yang  terpengaruh dalam masyarakat dan keturunan mereka. Hal ini menjadi lambang persaudaraan Arab yang kukuh pada sejak berkurun lamanya.

Namun, pemuka Quraisy tidak putus-putus menghasut Tufail dengan memburuk-burukkan Nabi Muhammad seperti mendakwa bahawa Muhammad itu membawa ajaran palsu dan hanya memainkan sihir semata-mata. Walau bagaimanapun, lonjakan hati nurani Tufail yang ingin bertemu dengan Muhammad dapat memutuskan hasutan dan tuduhan palsu pemuka/pembesar Quraisy itu. Akhirnya Tufail menjawab dengan tegas: "Demi Tuhan!, Kedatangan saya ke mari memang sengaja hendak bertemu dengannya (Muhammad) dan hendak mendengar ucapannya. Jika tuan-tuan sekalian tidak memperkenankan saya mendengar ucapannya, menatap raut wajahnya pun sudah cukup bagi saya. Saya tidak akan berbicara dengannya. Kedua-dua belah telinga saya ini akan saya sumbati dengan kapas (dalam-dalam) agar saya tidak dapat mendengar ucapan-ucapannya". Kata-kata Tufail itu membuatkan pemuka Quraisy tidak berdaya menghalangi keinginan bangsawan itu untuk bertemu Nabi Muhammad SAW.

Keesokan harinya, Tufail telah menuju ke Masjid (diriwayatkan kawasan sekitar Masjidil Haram) untuk menemui Nabi Muhammad SAW. Seperti yang telah dijanjikan Tufail telah menyumbatkan putik-putik kapas ke dalam telinganya sehingga beliau tidak boleh mendengar apa-apa suara yang telah terhasil dari luar. Seketika, beliau telah menanyakan orang sekeliling bagaimanakah rupa Muhammad itu lalu orang yang lalu lalang di situ memberitahu gerangan Muhammad serta tempat baginda berada. Akhirnya Tufail menemui Muhammad, di mana ketika itu Muhammad sedang solat di sisi Kaabah. Lalu Tufail pun menghampiri Muhammad, beliau benar-benar ingin melihat paras rupanya dan keistimewaan yang ada pada Muhammad itu.

Lantas dengan izin Allah, Tufail yang sedang menghampiri Muhammad pada waktu yang tidak membenarkan beliau boleh mendengar tiba-tiba boleh mendengar dengan jelas alunan bacaan Al-Quran yang dibacakan oleh Muhammad. Dia berusaha untuk terus menutup telinganya rapat-rapat namun tidak berjaya. Suara Muhammad yang membacakan Al-Quran amat jelas walaupun pada zahirnya bacaan Muhammad itu perlahan dan tidak pula ditinggikan. Beliau akhirnya terpesona dengan bacaan itu.

Tufail bertanya sendirian: "Mengapa begitu indahnya perkataan-perkataan yang diucapkannya itu? Saya tidak akan takut pada barang yang baik daripada barang yang buruk. Apa yang menghalangi saya jika saya mendengar apa-apa yang dibaca oleh orang itu? Barang yang baik sudah tentu saya terima dan barang yang buruk akan saya buang. Siapakah yang menghalang saya jika saya memperkenalkan diri kepada orang itu? Saya ingin belajar kepadanya sesuatu yang saya belum ketahui. Alangkah baiknya jika saya dapat mempelajari rangkaian kata-kata seperti yang sedang diucapkan".

Selepas Nabi Muhammad menunaikan sembahyang, Nabi terus pulang ke rumahnya, dalam pada itu Tufail turut mengikuti Nabi pulang ke rumah secara senyap-senyap. Sesampainya Nabi Muhammad ke rumah, Tufail meminta izin dari Nabi untuk masuk ke rumah Baginda. Beliau memberi salam dan memperkenalkan dirinya kepada Muhammad. Nabi meminta Tufail untuk duduk. Lalu Tufail menjelaskan kedatangannya dan cabaran yang hendak diterima sewaktu bertemu ingin bertemu Muhammad. Namun beliau menyerahkan semua itu kepada keizinan Allah. Tufail meminta untuk Muhammad membacakan beberapa ayat-ayat Al-Quran kepadanya. Nabi pun setuju dan membacakan Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas, lalu selepas Nabi selesai membacanya, lalu Tufail berkata kepada Nabi: "Demi Allah!Saya belum pernah mendengar bacaan yang lebih bagus daripada ini. Saya belum pernah mendengar urusan yang lebih lurus daripada bacaan ini".

Ketika pada waktu itu juga beliau mengucapkan kalimah syahadah dan berkata kepada Muhammad: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya ini seorang yang ditaati oleh kaumku. Saya akan kembali kepada mereka untuk mengajak mereka memasuki Islam. Doakanlah semoga Allah memberikan suatu tanda (bukti kebenaran) yang akan membantu bagiku dakwah kepada mereka". Lalu Nabi Muhammad SAW tidak menghampakan permohonan Tufail yang ikhlas itu dengan berdoa: "Ya Allah! Jadikanlah baginya suatu tanda(bukti kebenaran)".

Akhirnya Tufail telah memeluk Islam, menerima cahaya keimanan dan hidayah serta ketaqwaan. Nabi telah mendidik Tufail akan cara hidup baharunya apabila beliau mengamalkan Islam. Hatinya telah puas dan lega. Keimanan barunya itu tidak mudah untuk dicanang dan digoncang oleh sesiapapun. Kerana itu beliau tidak menghairankan ejekan dan tohmahan kerana dia memeluk dan mempelajari Islam secara mendalam serta mengamalkannya.

Pemuka Quraisy tidak boleh berbuat apa-apa kerana beliau adalah pembesar Kabilah Arab Daus yang paling disegani dan apabila sesuatu kecelakan yang menimpa atas Tufail sudah pastinya masyarakat Daus di Tihamah akan menuntut bela atas apa-apa kecelakaan terhadap Tufail.

Selepas Islam
Beliau mengetuai satu kontinjen orang-orangnya menentang Musailamah al-Kazzab dan gugur syahid dalam Perang Yamamah.

23- Bilal bin Rabah
Bilal bin Rabah r.a dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 Sebelum Hijrah (ada pendapat yang mengatakan beliau dilahirkan di Habsyah atau kini disebut negara Ethopia). Bilal r.a dibesarkan di Kota Mekah sebagai seorang hamba anak-anak yatim Bani Abdul Dar yang berada di bawah jagaan Umaiyyah bin Khalaf. Setelah Rasulullah s.a.w dibangkitkan menjadi Nabi dengan membawa risalah Islam, Bilal adalah terdiri dari kalangan orang-orang yang paling awal memeluk Islam.

Pengislamannya
Ketika beliau memeluk Islam, hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam di atas permukaan bumi ini iaitu:
1-      Khadijah binti Khuwailid
2-      Abu Bakar As-Siddiq
3-      Ali bin Abi Talib
4-      Ammar ibn Yasir 
5-      Sumaiyyah
6-      Suhaib Ar-Rumi
7-      Miqdad Al-Aswad.

Beliau menerima Islam melalui sahabatnya yang bernama al Fadl dan dilihat beliau begitu bersungguh-sungguh untuk mendalami ajaran agama Islam sehingga sanggup berulang-alik ke rumah Arqam bin Abi Al-Arqam secara rahsia supaya kegiatannya menerima Islam sebagai sebahagian daripada hidupnya tidak diketahui oleh tuannya.

Namun akhirnya Umaiyah mengetahuinya dan memujuk Bilal agar meninggalkan Islam dan kembali ke ajaran asalnya, tetapi Bilal berkeras untuk mempertahankan Islam sebagai agama dunia dan akhiratnya. Umaiyah pernah berkata,

“Aku berkuasa ke atas tubuh dan jasadmu.”

Tetapi Bilal lantas menjawab,

“Fikiranku, imanku dan kepercayaanku bukan milikmu.”

Setelah gagal memujuk Bilal, Umaiyah nekad untuk bertindak kejam ke atas Bilal dengan mengikat batu besar di tubuh Bilal yang tidak berpakaian, mengheret ke tengah padang pasir yang panas membakar dan memukul tanpa belas kasihan.

Jasa dan Perjuangannya
Beliau meninggal dunia pada tahun 23 Hijrah di negeri Syam dan dikebumikan di Damsyik. Sepanjang hayatnya beliau diakui sebagai seorang yang patuh dan rajin terhadap tanggungjawabnya, ikhlas, amanah, berani, tabah, dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran. Beliau juga pernah menyertai barisan tentera Islam dalam beberapa peperangan dan dilantik sebagai juru azan oleh Rasulullah s.a.w. dan kerana itulah namanya kini diabadikan kepada setiap juru azan atau bilal.


24- Hajjaj ibn Yusuf
Al-Hajjaj ibn Yusuf (الحجاج بن يوسف) (lahir pada Jun 661M di Taif dan meninggal dunia pada 714M di Iraq) paling terkenal sebagai seorang panglima perang Kerajaan Islam Umaiyyah. Beliau merupakan pemuda Arab yang berasal dari suku kaum Thaqafi. Oleh kerana jasanya dalam pentadbiran kerajaan yang besar, Khalifah Abdul Malik b. Marwan telah melantik beliau menjadi Gabenor Hijaz, Iraq, Yamamah dan Yaman.

Kehidupannya
Pada peringkat awalya Hajjaj merupakan seorang ketua pengawal keselamatan dalam negara yang bertugas di bawah seliaan Abu Zur'ah. Namun, disiplin yang diterapkan oleh Hajjaj terhadap orang bawahannya berjaya menarik perhatian khalifah Bani Umaiyyah ketika itu iaitu Abdul Malik bin Marwan.

Setelah dilantik oleh khalifah sebagai Panglima Besar tentera kerajaan Bani Umaiyyah, Hajjaj ditugaskan untuk menghapuskan kerajaan Hijaz pimpinan Abdullah ibn Zubair. Tugas pertama beliau adalah untuk menewaskan tentera Abdullah yang diketuai oleh saudara Abdullah sendiri iaitu Mus'ab ibn Zubair.

Setelah tentera Mus'ab tewas, beliau meneruskan strateginya untuk menamatkan riwayat kerajaan Abdullah ibn Zubair yang ketika itu berpusat di Makkah. Apabila berjaya menewaskan kerajaan Hijaz, Hajjaj meneruskan usaha menyebarkan agama Islam dengan melancarkan beberapa ekspedisi ketenteraan. Hajjaj ibn Yusuf berkhidmat di bawah dua orang khalifah iaitu Abdul Malik bin Marwan dan Al-Walid bin Abdul Malik. Selepas berjaya menewaskan pemberontakan yang diketuai oleh ulama’ terkenal iaitu Said ibn Jubair, Hajjaj meninggal dunia akibat penyakit kecacingan.

Jasa dan perjuangannya
Walaupun pentadbirannya yang keras dan berdisiplin dikritik oleh banyak pihak, namun antara jasa-jasanya yang dikenang umat Islam adalah :-
1-      Mendaulatkan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan.
2- Menambah baris dan tanda-tanda di dalam bacaan Al-Quran untuk memudahkan pembacaan umat Islam.
3-    Menyelamatkan umat Islam yang diserang oleh kerajaan Hindu di India dengan menghantar Muhammad ibn Qasim sehingga berjaya mengukuhkan kuasa Islam di sana.
4- Mengukuhan pertahanan Islam di Turkestan dengan menghantar tentera pimpinan Qutaibah ibn Muslim sehingga menembusi sempadan negara China.
5- Meluaskan empayar Islam di Eropah dengan menghantar tentera Islam pimpinan Musa ibn Nusair dan Tariq ibn Ziyad ke Sepanyol.

25- Hakim ibn Hazm
Hakim ibn Hazm (حكيم بن حزم) ialah salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w.. Beliau tercatat sebagai salah seorang daripada 2 individu yang lahir di dalam Kaabah selain Saidina Ali bin Abi Talib (menurut pandangan masyarakat Sunni dan segelintir masyarakat Syiah). Beliau merupakan perawi utama hadis penting mengenai undang-undang kontrak di negara Muslim.

Biografi; Salasilah
Ayahnya bernama Hizam atau Hazm, adalah putera kepada Khuwaylid. Oleh kerananya, Hakim tak lain merupakan anak saudara Khadijah, isteri Rasulullah, sebab Khadijah adalah puteri Khuwaylid. Kelahiran Hakim bermula ketika berlangsungnya sebuah acara festival di Makkah. Si ibu tua yang sedang sarat mengandung, bersama beberapa wanita, lantas masuk ke dalam Kaabah untuk berdoa, sebagaimana kebiasaan saat festival. Akan tetapi, secara tiba-tiba, perut si ibu mendadak sakit dan merasa hendak melahirkan bayinya. Dia tidak kuat lagi untuk bergerak dan terpaksa dibaringkan di dalam Kaabah. Sesudah dipersiapkan persalinannya, tak lama kemudian seorang bayi telah lahir ke dunia kemudian diberi nama Hakim.

Kaya dari kecil
Hakim dibesarkan di keluarga berada. Beliau pun benar-benar menikmati statusnya sebagai anak dari keluarga disegani di Makkah. Meskipun demikian, orang tua Hakim tidak serta merta memanjakannya, bahkan dia diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Rifadah, yakni membantu siapa saja yang memerlukankan pertolongan, terutama pada musim Haji. Hakim pun benar-benar melaksanakan amanah itu dengan penuh keikhlasan bahkan beliau selalu membantu para jamaah haji menggunakan wangnya sendiri.

Hakim pun bersahabat erat dengan Muhammad buat sekian lama sebelum Muhammad diangkat menjadi Rasul lagi. Walaupun usianya lima tahun lebih tua dari Rasulullah, namun hal tersebut tidak menghalang hubungan diantara keduanya. Mereka kerap berbincang serta menikmati kebersamaan sebagai sahabat. Hubungan setia kawan bersama Rasulullah dan Hakim menjadi kian erat lebih-lebih lagi apabila baginda Rasul menikahi ibu saudaranya, Khadijah binti Khuwaylid.

Meskipun Hakim sudah lama bersahabat dengan Rasul, tetapi Hakim tidak memeluk agama Islam hingga peristiwa penaklukan Makkah. Itu bererti lebih daripada 20 tahun setelah Islam didakwahkan secara terang-terangan oleh Nabi Muhammad. Justeru, Hakim sendiri merasa menyesal dengan apa yang sudah dilakukannya sebelum memeluk agama Islam. Ketika pertama kali mengucap dua kalimah syahadat, dia benar-benar amat bersalah serta menyesali setiap detik dalam hidupnya sebagai seorang musyrik dan menolak kebenaran dari Allah dan Rasul-Nya.

Sehari setelah dia masuk Islam, salah seorang dari anaknya melihat Hakim menangis. Maka bertanyalah si anak, "Mengapa ayah menangis?" Hakim menjawab sambil tersedu, "Banyak hal yang membuatku menangis, anakku. Yang terutama adalah begitu lamanya waktu bagi aku untuk memeluk Islam. Padahal, dengan menerima ajaran Islam banyak kesempatan dapat diraih untuk melaksanakan kebaikan, namun itulah yang nyatanya telah aku lewatkan. Hidupku tersia-sia ketika terjadi perang Badar dan perang Uhud.

Setelah Uhud, aku berkata pada diri sendiri, bahawa aku tidak akan lagi membantu kaum kafir Quraisy melawan Muhammad, dan aku tidak ingin meninggalkan Makkah. Saat aku merasa ingin menerima Islam, aku segera berpaling dan melihat orang-orang di sekelilingku yang kebanyakan kaum kafir Quraisy, untuk kemudian bergabung kembali dengan mereka. Oh andai aku tidak berlaku seperti itu. Tidak ada yang dapat menghancurkan kita selain ketaatan buta kita terhadap nenak moyang. Jadi, kenapa aku tidak menangis, anakku?"

Nabi Muhammad memang terkejut manakala seorang yang rendah hati dan berpengetahuan seperti Hakim, tidak memeluk Islam. Untuk waktu lama, Rasul sangat berharap bahawa Hakim serta orang-orang yang sepertinya, dapat terbuka mata hati serta menerima kebenaran Islam. Malam sebelum penaklukan Makkah, Rasulullah berkata kepada para sahabat, "Ada empat orang di Makkah yang aku ingin agar mereka bersedia memeluk agama Islam." Sahabat lantas bertanya, "Siapa saja mereka itu Ya Rasul?" "Mereka antara lain Attab bin Usayd, Jubayr bin Mutim, Hakim bin Hazm dan Suhayl bin Amr," jawab Rasul. "Dengan redha Allah, mereka akan menjadi Muslim."

Ketika pasukan Islam masuk ke kota Makkah dan membebaskan kota itu dari pengaruh jahiliyah, ia lantas berseru, "Siapa sahaja yang bersedia mengakui tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, maka dia akan selamat. Siapa sahaja yang berlindung di Kaabah serta meletakkan senjatanya, dia juga akan selamat. Siapa sahaja yang masuk dan berlindung di rumah Abu Sufyan, dia selamat. Dan siapa sahaja yang masuk dan berlindung di rumah Hakim ibn Hazm, dia selamat."

Tidak berapa lama kemudian, Hakim pun bersegera memeluk Islam dengan sepenuh hati. Dia lantas bertekad untuk menebus segala dosa yang pernah dia perbuat semasa hari-hari jahiliyahnya serta apapun yang pernah dia lakukan untuk menentang Rasulullah. Dia ingin menebusnya demi kemuliaan Islam.

Rajin menderma
Pada masa itu, Hakim merupakan pemilik sebuah bangunan bersejarah di Makkah bernama Dar an-Nadwah. Di tempat itu, biasanya para pemuka Quraisy berkumpul dan berdiskusi tentang banyak hal. Mereka pun banyak membuat rencana jahat terhadap Nabi Muhammad di sana. Hakim memutuskan untuk menjual bangunan itu, demi menghapuskan kenangan masa silamnya yang sudah berlalu. Dijualnya bangunan tersebut dengan harga 100 ribu dirham. Seorang dari keturunannya pun bertanya, "Anda telah menjual bangunan berharga itu kepada orang Quraisy, pakcik?"

Dengan sabar Hakim menjawab, "Kebanggaan dan kejayaan semua kini telah hilang dan berganti nilai taqwa. Aku hanya menjual sebuah bangunan namun hidangan harapan dapat menggantinya nanti di syurga. Dan aku berjanji akan mendermakan seluruh hasil dari penjualan ini di jalan Allah."

Bukan hanya itu saja. Saat melaksanakan ibadah Haji, dia menyembelih sekitar 100 ekor unta serta membahagi-bahagikan dagingnya kepada kaum fakir miskin di Makkah. Demikian pula ketika di padang Arafah, bersamanya ada seramai 100 orang hamba, dan setelah memberikan masing-masing segenggam perak, para hamba itu pun dibebaskannya.

Hakim memang amat dermawan dan di saat yang sama dia selalu ingin mendapatkan lebih. Setelah peristiwa perang Hunain, beliau meminta sejumlah pampasan perang kepada Rasul. Dia kemudian meminta lebih dan Rasul kembali memberikannya. Hakim ketika itu masih belum lama memeluk Islam akan tetapi Rasul amat pemurah kepada mereka yang baru memeluk Islam agar mereka bersedia menerima Islam sepenuhnya. Hakim pun mendapat harta rampasan perang dalam jumlah yang cukup banyak.

Maka Rasul pun berkata kepada Hakim, "Wahai Hakim! Segala harta benda ini amatlah menarik. Sesiapa sahaja yang memilikinya dan merasa puas dengannya akan diberkati sebaliknya siapa yang merasa tidak puas, tidak akan diberkati. Dia akan seperti orang makan namun tidak pernah merasa kenyang. Tangan di atas lebih baik dari tangan yang di bawah."

Penyataan baginda Rasul ini sangat menyentuh hatinya. Dia merasa amat tersentuh dan lantas berkata kepada Rasul,"Ya utusan Allah, aku tidak akan meminta kepada siapa pun selain kamu untuk apa pun." Sejarah mencatat, Hakim benar-benar menepati ucapannya. Sahabat Rasul ini tidak pernah meminta apapun juga kepada orang lain hingga dia meninggal dunia.

26- Halimahtus Sa'adiah
Halimahtus Sa'adiah atau nama sebenarnya Halimah binti Abi Dhuayb ialah ibu susu yang juga merangkap ibu angkat bagi Nabi Muhammad SAW. Halimah dan juga suaminya berasal dari kabilah atau puak Arab Sa'd b. Bakr, yang merupakan sebahagian dari Hawazin (kabilah atau puak terbesar yang menguasai wilayah Arab utara pada ketika itu). Halimah juga turut dikenali sebagai Halimah binti Abdullah. Makam Halimah terletak di Jannatul Baqi’, Madinah, Arab Saudi.

27- Hamzah bin Abdul Muttalib
Hamzah bin Abdul Muttalib (حمزه بن عبدالمطلب) [568M-625M] kira-kira lahir pada waktu hampir sama dengan Nabi Muhammad. Beliau merupakan anak kepada pasangan Abdul Muttalib dan Haulah binti Wuhaib berketurunan Bani Zuhrah. Hamzah juga merupakan ayah saudara kepada Nabi Muhammad, dan juga merupakan adik-beradik susuan dengan Nabi Muhammad, ini kerana Hamzah dan Nabi Muhammad pernah disusukan oleh Thuwaibah hamba perempuan Abu Lahab sewaktu mereka berdua masih bayi.

Menurut riwayat, pernikahan Abdul Muttalib bersama Haulah dan Abdullah bin Abdul Muttalib bersama Aminah binti Wahab terjadi sama waktunya. Diriwayatkan juga ibu Nabi, Aminah binti Wahab, adalah sepupu kepada Haulah binti Wuhaib. Hamzah mempunyai tubuh yang tegap dan suka memakai bulu burung di topi kepalanya. Hamzah akhirnya telah memeluk Islam

Kehidupannya
Hamzah merupakan seorang ahli sukan, pakar memanah dan pakar menunggang kuda. Kerana karismanya, beliau begitu dihormati di kota Makkah termasuk salah seorang kawan rapatnya yang juga saudaranya Abu Jahal. Dia juga dikenali sebagai "Singa Allah" (أسد الله) kerana keberaniannya.

Selain Hamzah ialah pakcik saudara/bapa saudara kepada junjungan mulia Nabi Muhammad, Saidina Hamzah ini juga merupakan adik beradik sesusu dengan baginda Nabi. Hal ini seperti dikhabarkan dalam Hadis Sahih riwayat Imam Muslim:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِى صلعم
تَقُولُ قِيْلَ لِرَسُولُ اللهِ صلعم
أَيْنَ أَنْتَ يَا رَسُولُ اللهِ عَنِ ابْنَةِ حَمْزَةَ
أَوْ قِيْلَ أَلا تَخْطُبُ بِنْتَ حَمْزَةَ بْنِ عَبْدِالْمُطَّلِبِ
قَالَ اِنَّ حَمْزَةَ أَخِى مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya:
Dari Ummu Salamah isteri Nabi : "Ditanyakan orang kepada Rasulullah : "Adakah engkau ingin ya Rasulullah mengahwini puteri Hamzah? atau ditanyakan: "Mengapakah engkau tidak hendak meminang puteri Hamzah bin Abdul Muttalib? Nabi  menjawab : "Sesungguhnya Hamzah saudara sesusu dengan aku"

Jasa dan perjuangannya
Hamzah terlibat dalam dua peperangan iaitu Perang Badar dan Perang Uhud. Ketika peperangan di Badar, Hamzah berjaya membunuh dua orang bangsawan Quraisy iaitu Utbah dan Shaibah. Pada waktu peperangan di Uhud, Hamzah terkorban syahid akibat rejaman lembing yang dilemparkan oleh Wahsyi, seorang hamba berkulit hitam.

Penghulu para syuhada
"Penghulu para syuhada ialah Hamzah bin Abdul Muttalib, dan orang yang melawan penguasa kejam, ia melarang dan memerintah, namun akhirnya ia mati terbunuh." (Hadis Riwayat Al-Hakim)

28- Hindun binti Utbah
Hindun binti ‘Utbah (هند بنت عتبة) adalah seorang wanita Arab yang hidup pada lewat kurun ke-6 dan awal kurun ke-7 M; dia adalah isteri kepada Abu Sufyan ibni Harb, seorang lelaki yang berkuasa di Makkah, di Semenanjung Arab barat. Abu Sufyan dan Hindun terdahulunya membangkang Nabi Muhammad s.a.w. Dia adalah ibu kepada Muawiyah 1, pengasasnya dinasti Umayyah, dan Ramlah binti Abi Sufyan, salah seorang isteri Nabi Muhammad. Kedudukannya sebagai seorang sahabat Nabi masih dipersoalkan oleh kerana tindakan yang dia ambil terhadap masyarakat Islam sebelum dia memeluk Islam, khususnya suatu peristiwa yang dikatakan kanibalisme sewaktu medan perang.

Hidup
Dia dilahirkan di Mekah, anak perempuan dari salah seorang dari pemimpin yang berpengaruh Quraysh, Utba ibn Rabi'ah. Dia mempunyai dua adik-beradik lelaki: Abu-Hudhayfah ibn Utbah dan Walid ibn Utba.

Ia tidak diketahui secara tepat bila dia berkahwin dengan Abu Sufyan, salah seorang pihak berkuasa yang memimpin dalam suku Quraysh, tetapi perkahwinan itu muncul pada tahun-tahun awal perkahwinannya.

Kontroversi dari Sumber Syiah
Hindun tidak masyhur dalam sejarah Islam dengan kegembiraan yang amat sangat pada kekalahan orang Islam di Perang Uhud apabila dia memakan hati bapa saudara Muhammad yang disayangi, Hamza ibn ‘Abd al-Muttalib. Walaupun dia kemudian memeluk Islam, pengasas Khulafah Umayyad oleh itu difitnah sebagai seorang anak lelaki haram kepada seorang kanibal. Walaupun dalam zaman moden, perdebatan berterusan didedahkan sama ada Hindun binti ‘Utbah adalah seorang Sahabat atau bukan oleh kerana tindakan pra-Islamnya.

Dalam rujukan Sunah Waljamaah awal Istīʻāb fī Maʻrifat al-Aṣḥāb, sarjana Islam Yusuf ibn abd al-Barr (978M-1071M) menyenaraikan ringkasan biografi-biografi Sahabat, dan Hindun sudah tentu disebut sebagai salah seorang Sahabat Nabi Muhammad s.a.w..

Dakwaan tuduhan mengenai zina
Cendekiawan Syiah memetik sumber-sumber awal yang mendakwa bahawa Hindun telah berhubungan dengan para lelaki selain daripada suaminya Abu Sufyan, dan bahawa anak lelakinya Mu'awiyah mungkin adalah sebabnya dari salah satu dari hubungan luar nikah itu.

Para sarjana lain berkata bahawa dia menjadi hamil dari Abu Sufyan di luar nikah dan Abu Sufyan diberikan wang rasuah untuk berkahwin dengannya. Sewaktu zaman Fath Makkah (penaklukan Mekah), isteri Abu Sufyan Hindun pergi kepada Nabi Muhammad untuk memeluk Islam, dan dia bertanya Rasullah apakah tugasnya sebagai seorang wanita Islam. Jadi di kalangan yang lain, Nabi Muhammad memberitahunya bahawa seorang wanita Islam tidak harus mencuri atau melakukan zina. Hindun kemudian menjawab dalam perasaan terkejut "Dan apakah wanita yang bebas (para isteri yang bukan hamba) juga mencuri dan mencuri dan melakukan zina?

Dakwaan bahawa Hindun memakan hati Hamzah
Musa ibn ‘Uqbah mengupah Wahshi untuk membunuh Hamzah ibn ‘Abd al-Muttalib dan membawanya kepada Hindun binti ‘Utbah dan dia memakannya. Ibn Kathir menyebut ini dalam riwayatnya Al-Bidayah wan Nihaayah (4/43).

Ibn Ishaq meriwayatkan dengan suatu isnad yang berpecah bahawa Hindun adalah orang yang memakan hati Hamzah.

29- Huzaifah Al-Yamani
Huzaifah Al-Yamani (حذيفة بن اليمان‎) adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Bapa Huzaifah Al-Yaman adalah seorang penduduk Makkah dari suku Abs. Kemudian Al-Yaman berpindah ke Yathrib dan menjadi sekutu kepada suku kaum Bani Al-Ashal. Ibunya pula berasal dari suku kaum ini.

Zaman Nabi
Digelar sebagai "Penyimpan Rahsia Nabi terutama nama-nama orang munafik". Ketika Perang Khandaq, Nabi S.A.W mengarahkan beliau menjadi perisik untuk mengetahui strategi musuh tentera Islam pada ketika itu iaitu kaum Quraisy. Namun, beliau mengambil tindakan nekad dengan menyamar sebagai salah seorang tentera musuh. Tindakan ini membantu tentera Islam setelah mendapat maklumat musuh daripada Huzaifah.

Zaman Umar Al-Khattab
Ketika zaman pemerintahan Umar Al-Khattab, beliau dilantik sebagai panglima perang untuk membantu Nu'man ibn Muqarrin dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Nihawand. Berikutan gugurnya Nu'man ibn Muqarrin di dalam peperangan dan dengan kemenangan tentera Islam di Nihawand, beliau dilantik menjadi gabenor Kufah dan Mada'in seterusnya menjadi wakil khalifah di tanah Parsi.

30- Ikrimah ibn Abu Jahal
Ikrimah adalah anak lelaki Abu Jahal (salah seorang bangsawan Quraisy dan juga musuh ketat Islam). Pada awal kemunculan Islam, beliau seperti bapanya juga merupakan musuh ketat Nabi Muhammad s.a.w. Selepas Nabi Muhammad menakluki kota Makkah, beliau memasuki Islam dan berjuang bersama tentera Islam.

Jasanya
Antara jasanya adalah terlibat dalam peperangan menentang kelompok pemberontak yang murtad di dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Yamamah. Beliau ketika itu dilantik sebagai panglima tentera Islam.

Sumbangannya yang terbesar adalah ketika Perang Yarmuk di mana ketika itu tentera Islam berhadapan dengan tentera Rom Byzantine. Ketika tentera Rom memulakan serangan dalam satu kelompok yang besar, Ikrimah bertindak untuk memecahkan angkatan besar itu dengan serangan hendap tentera berkuda beliau yang dianggotai oleh 400 orang tentera Islam. Beliau terkorban syahid dalam serangan hendap itu lantaran anggota tentera Rom berjumlah sekitar 240,000 orang.

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan