~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Monday, January 24, 2011

Kerana Termakan Sebiji Epal


"Indah sungguh suasana di tepi sungai ini. Airnya mengalir tenang dan anginnya bertiup lembut. Biarlah saya duduk di sini untuk berzikir kepada Allah" kata Abu Salleh sendirian lalu duduk di tepi sungai. Sungai itu terletak di sebuah pekan kecil bernama Jilan. Di situlah tempat tinggal Abu Salleh. Dia berasal dari keturunan Imam Hassan, salah seorang cucu Nabi Muhammad.

Ketika dia sedang berzikir, terpandang olehnya sebiji epal hanyut di tebing sungai. Perutnya yang memang belum diisi sejak awal pagi berbunyi beberapa kali. "Mungkin ini rezeki untuk saya," katanya lalu mengambilnya. Abu Salleh memakan sebiji epal itu sehingga habis. Tiba-tiba dia berdiri dengan wajah yang terkejut, "Saya memakan epal ini tanpa izin tuannya!!! Tentu pemilik epal ini berada di hulu sungai."

Abu Salleh berjalan menyusur tebing sungai menghala ke hulu sambil memerhati ke sekeliling kalau-kalau ada pokok epal di situ. Jauh dia berjalan meninggalkan pekan Jilan. Dia terus berjalan sehingga akhirnya dia menemui sebuah ladang epal. "Syukurlah, akhirnya saya menemui ladang epal. Saya yakin epal yang saya makan tadi datang dari ladang ini. Lebih baik saya segera menemui tuannya."

Abu Salleh terus memasuki ladang epal itu dan menemui pemiliknya. Pemilik itu bernama Sheikh Abdullah, berasal dari keturunan Imam Hussin, salah seorang cucu Nabi Muhammad s.a.w. juga. Beliau ialah seorang yang kuat beribadat dan disegani oleh penduduk di kawasan itu. Dengan rasa bersalah Abu Salleh berkata kepada Sheikh Abdullah, "Saya memohon maaf dan mohon dihalalkan sebiji epal yang saya memakannya tanpa memberitahu tuan" pinta Abu Salleh kepada Sheikh Abdullah.

Sheikh Abdullah memerhatikan Abu Salleh untuk beberapa ketika lalu tersenyum. Dia menarik nafas panjang dan berkata, "Saya boleh memaafkan saudara dengan satu syarat."

"Katakanlah apakah syarat itu? Saya akan memenuhinya."

"Saya mahu saudara bekerja di ladang epal ini selama dua belas tahun!"

Tanpa banyak soal, Abu Salleh mengangguk dan menyatakan persetujuannya. Bekerjalah Abu Salleh di ladang epal milik Sheikh Abdullah itu selama dua belas tahun dengan penuh amanah dan tanggung jawab. Sheikh Abdullah memerhatikan tingkah laku Abu Salleh sepanjang tempoh itu dan mula tertarik hati. Dia bercadang untuk mengahwinkan puterinya dengan Abu Salleh.

Akhirnya tamatlah tempoh dua belas tahun, lalu Abu Salleh menemui Sheikh Abdullah. "Saya sudah menunaikan syarat tuan. Halalkanlah epal yang saya makan itu." Sheikh Abdullah terpegun dengan kata-kata Abu Salleh yang jelas menggambarkan dia adalah seorang anak muda yang jujur dan amanah lalu dia berkata, "Saya akan mengenakan satu lagi syarat ke atas saudara."

"Katakanlah syarat itu, saya akan tunaikan." Kata Abu Salleh.

"Syaratnya ialah, saudara mesti mengahwini puteri saya. Tetapi biarlah saya berterus terang tentang keadaan puteri saya itu."

"Katakanlah! Saya akan mematuhinya."

"Puteri saya bernama Ummu Khair Fatimah. Dia seorang yang lumpuh, pekak, buta dan bisu. Mahukah saudara mengahwini puteri saya itu sebagai syarat kedua untuk saya memaafkan saudara?"

Sejenak Abu Salleh termenung membuatkan dada Sheikh Abdullah berdebar-debar. Akhirnya Abu Salleh memandang ke arah Sheikh Abdullah dan tersenyum, "Saya akan mengahwini puteri tuan sekiranya tuan menghalalkan sebiji epal yang saya makan tanpa izin dua belas tahun yang lalu."

"Baiklah. Saya akan menghalalkan sebiji epal yang saudara makan itu sekiranya saudara mengahwini puteri saya."

Maka berlangsunglah satu majlis perkahwinan di antara Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah. Pada malam perkahwinan itu, Abu Salleh masuk ke bilik pengantin dan memberi salam kepada isterinya. Sebaik sahaja isterinya menoleh ke arahnya. Wajah Abu Salleh berubah kerana dia amat terkejut lalu berlari ke ruang tamu menemui bapa mertuanya, Sheikh Abdullah.

"Adakah seorang perempuan lain di dalam bilik pengantin? Di manakah isteri saya yang lumpuh, buta, pekak dan bisu itu?"

Sheikh Abdullah tersenyum mendengar pertanyaan Abu Salleh lalu menjawab, "Perempuan yang berada di dalam bilik pengantin itu ialah puteri saya, Ummu Khair Fatimah. Saya mengatakan dia lumpuh kerana kakinya tidak pernah menjejak ke tempat maksiat. Saya mengatakan dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar perkara yang terlarang. Saya katakan dia buta kerana dia tidak pernah melihat perkara yang haram dan saya mengatakan dia bisu kerana dia tidak pernah menuturkan sesuatu yang sia-sia."

Tersenyumlah Abu Salleh sebaik sahaja Sheikh Abdullah menghabiskan kata-katanya lalu dia menadah tangan, "Ya Allah! Hambamu mengucapkan syukur yang tidak terhingga!"

Hasil perkahwinan Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah ini lahirlah seorang ahli agama yang terkenal diberi nama Sheikh Abdul Kadir Jailani. Beliau digelar Mahyuddin yang bermaksud, Yang menghidupkan Agama!!!

Pengajaran:

1-    
1-   Seorang yang soleh dia akan menjauhkan diri dari melakukan dan memakan perkara yang tidak diketahui asal usulnya walaupun pada sudud fiqh nya buah epal itu sudah halal dimakan kerana buah tersebut tidak lagi berada di dalam atau tempat tuannya. Dengan kata lain, mereka akan menjauhkan dari membuat atau memakan benda yang dimakruhkan atau syubhah.
2-   Apabila iman yang benar bertapak dan subur mekar di dalam hati, maka seseorang itu akan sanggup melakukan apa saja untuk memastikan dosa-dosanya dihapuskan terutama dosa dengan manusia.
3-   Setiap perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas akan dibalas oleh Allah Ta’ala dengan balasan yang setimpal.
4-   Seorang muslimah wajiblah menjaga kehormatannya, menjaga tutur katanya, menjaga setiap gerak gerinya agar tidak menjadi fitnah.
5-   Muslimah solehah untuk Muslimin soleh dan sebaliknya. Jika berlaku di sebalik itu, maka ada hikmah tersirat dari Ilahi yang kita tidak ketahui pada awalnya mungkin di akhirnya, Allah akan zahirkan hikmah yang tersirat itu.
6- Wahai muslimah solehah, anda tidak perlulah berkenalan dengan mana-mana lelaki dan sebaliknya dan tidak perlu bercinta sebelum berkahwin (couple).
7-   Keturunan yang baik akan melahirkan zuriat yang baik dll.

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan