~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Wednesday, December 8, 2010

Konsep Keadilan Dalam Siasah Syar'iyyah (Siri 3)



Sumber Perundangan Islam:
Dalam kehidupan ini, pencipta kepada seluruh alam ini telah menurunkan manhaj (panduan) hidup untuk keselesaan dan keselamatan hidup di dunia ini. Sekiranya kita tidak mengambil perkara yang telah ditetapkan oleh pencipta sebagai panduan hidup, nescaya manusia seluruhnya akan menjadi sesat seterusnya akan membinasakan hidup mereka sendiri. Antara sumber yang boleh digunapakai di dalam menetapkan hukum-hukum dan cara pentadbiran negara adalah:

Sumber Yang Disepakati:
Dalam perundangan Islam, terdapat beberapa sumber yang dijadikan sebagai panduan dalam menetapkan hukum-hakam. Ulamak telah bersepakat meletakkan beberapa sumber iaitu sumber yang disepakati dan sumber yang tidak disepakati. Antara sumber disepakati yang telah digariskan oleh ulamak ialah, al-Quran dan Hadis, di samping itu ijma’ dan qias.

*          Al-Quran:
Menurut bahasa, al-Quran bermaksud al-Qiraah atau bacaan tetapi maksudnya adalah yang dibaca. Menurut istilah pula ia bermaksud kata-kata Allah bermukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam bahasa Arab melalui malaikat Jibril a.s. Ia diturunkan secara beransur-ansur dan membacanya adalah suatu ibadah.

Kuasa dan Skop Undang-Undang dalam al-Quran:
Prof. Madya Dr. Abdul  Halim El-Muhammady membahagikan skop undang-undang kepada:
i.          Undang-undang yang mengatur hubungan antara manusia dengan Allah s.w.t.  Undang undang ini mengatur hubungan antara hamba dan pencipta dan dikenali sebagai hukum ibadah dan akhlak. Perkara ini adalah antara yang terpenting untuk menjamin seseorang itu betul-betul beriman dan beramal. Hukum ini juga dapat menilai adakah ia dapat melaksanakan segala suruhan dan meniggalkan segala larangan yang diturunkan oleh Allah dan hasilnya juga dapat menilai di tahap manakah disiplin individu-individu seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang sempurna.
ii.         Undang-undang yang mengatur perhubungan manusia sesama manusia. Terdapat lebih kurang lima ratus ayat berkenaan dengan aspek ini. Undang-undang itu berbentuk prinsip umum dan terperinci.

Prinsip-Prinsip dalam al-Quran:
Prof. Madya Dr. Abdul Halim El-Muhammady membahagikan prinsip-prinsip dalam al-Quran kepada prinsip umum dan prinsip undang-undang.

Prinsip Umum:
i.       Prinsip syura sebagai asas dalam pentadbiran dan pemerintahan.
ii.      Suruhan kepada pemerintah dan rakyat supaya berlaku adil, bersikap kasihan belas, persamaan dan persaudaraan.
iii.    Suruhan kepada manusia supaya memartabatkan kedudukan wanita serta orang yang tidak berkemampuan.
iv.     Larangan daripada pencerobohan harta benda dan negara kecuali bagi pertahanan dan keadilan.
v.      Suruhan supaya menghormati hak milik individu, wajib menunaikan perjanjian dan melaksanakan segala urusan yang diputuskan.
vi.     Konsep jenayah dalam Islam; hukuman hudud dan qisas.
Prinsip Undang-Undang
i.       Undang-undang berkaitan kekeluargaan.
ii.      Undang-undang muamalat seperti kontrak jual beli.
iii.     Undang-undang jenayah dan keseksaan seperti jenayah melibatkan anggota badan.
iv.     Undang-undang acara dan keterangan seperti hal-hal berkaitan saksi, sumpah dan sebagainya.
v.     Undang-undang perlembagaan yang merangkumi undang-undang perhubungan antara pemerintah dan rakyat dari segi hak dan kewajipan.
vi.     Undang-undang antarabangsa yang merangkumi undang-undang perhubungan antara negara Islam  dan negara bukan Islam dan hubungan antara Muslim dan bukan Muslim.
vii.   Undang-undang kewangan dan perekonomian yang mengandungi di dalamnya undang-undang pengurusan kewangan negara, pendapatan dan perbelanjaan negara.

Kedua-dua prinsip inilah menunjukkan kepada kita selaku umat Islam, merupakan bukti yang terdapat dalam al-Quran mengenai dasar-dasar perlembagaan Islam yang sepatutnya dilaksanakan dalam negara Islam. Bukan sekadar dijadikan bahan pembelajaran semata-mata. Inilah satu-satunya perundangan yang lengkap dan tidak menyiksa mana-mana pihak sekiranya ia dilaksanakan secara adilnya oleh sesebuah pemerintahan.

Ciri-Ciri ayat Perundangan dalam al-Quran:

1.         Ayat Qat’ie
Ayat qat’ie ialah ayat yang jelas dan spesifik, mempunyai satu makna dan tidak memerlukan banyak penafsiran. Hukumnya adalah jelas dan nyata dan tidak boleh dipertikaikan oleh para ulama.  Contohnya surah al-Nisa’ yang bermaksud, ”untukmu separuh dari peninggalan isterimu apabila dia tiada anak”. Contoh-contoh lain yang terdapat dalam al-Quran iaitu berhubung dengan rukun-rukun Islam seperti solat, zakat, haji, puasa di bulan ramadhan dan banyak lagi. Kesemua ayat ini berbentuk qat’ie dan terbuka kepada ijtihad kerana ayatnya sudah jelas.

2.         Ayat Zanni
Ayat zanni ialah ayat terbuka kepada pelbagai tafsiran dan ijtihad. Tefsiran yang paling baik berhubung ayat zanni boleh didapati di dalam al-Quran sendiri, mentafsirkan secara menyeluruh dan mencari huraiannya dalam konteks yang sama ataupun berlainan. Sunnah memainkan peranan yang penting dalam membantu memberi tafsiran kepada ayat zanni ini.  Hukum ayat ini boleh dipertikaikan oleh para ulamak berlandaskan dengan apa yang akan dibincangkan oleh penulis di bawah tajuk ”Skop Siasah Syar’iyyah”.

Maksudnya: “Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibumu dan anak perempuanmu”. Perkataan ‘anak perempuanmu’ boleh secara literalnya bermaksud anak perempuan yang dilahirkan melalui perkahwinan yang sah ataupun zina. Ulama’ berselisih pendapat berhubung hal ini. Antaranya: (surah al-Nisa’ ayat 23)

a.         Hanafi
Menurut Imam Hanafi, perkahwinan dengan anak perempuan adalah haram tidak kira sama ada dari perkahwinan yang sah ataupun anak zina.
b.         Syafie
Menurut Imam Syafie, perkahwinan hanya haram dengan anak perempuan daripada perkahwinan yang sah, iaitu perkahwinan dengan anak zina adalah diizinkan.

3.         Ayat Qat’ie dan Ayat Zanni:
Ada kalanya bentuk-bentuk ayat dalam al-Quran mengandungi kedua-dua makna iaitu zanni dan qat’ie, contohnya Surah al-Maidah ayat 6 yang bermaksud, ”hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat, basuhlah mukamu dan kedua-dua belah tanganmu sehingga ke dua siku dan sapulah kepalamu”.  Ayat ini adalah Qat’ie memandangkan kewajipan membasuh kepala ketika wuduk. Tetapi ia menjadi Zanni kerana tidak menyebut kadar mana yang harus disapu.  Ada sebahagian ulamak mengatakan keseluruh kepala dan ada yang mengatakan sebahagian kepala (tiga helai rambut).

4.         Ayat Khas:
Daripada hukum qat’ie dan zanni ini wujud pula prinsip dalam al-Quran berhubung am dan khas. Ulama bersepakat mengatakan ayat-ayat yang khas dalam al-Quran adalah mempunyai hukum yang qat’ie. Tetapi ulama berselisih pendapat berhubung ayat-ayat am dalam al-Quran iaitu sama ada ianya mempunyai hukum yang pasti ataupun tidak pasti.

a.         Menurt imam Hanafi, ayat am dalam al-Quran hukumnya adalah Qat’ie dan mengikat iaitu perlu diikuti.
b.         Menurut Maliki, Syafie dan Hambali, ayat-ayat am dalam al-Quran hukumnya adalah zanni dan perlu kepada tafsiran.

*          Sunnah:
Ia merupakan sumber perundangan kedua selepas al-Quran. Ia diterima oleh semua mazhab sebagai sumber perundangan Islam. Menurut bahasa ia bermaksud jalan, sama ada jalan yang baik ataupun yang buruk. Berdasarkan hadis yang bermaksud, ”Barang siapa yang mengadakan suatu sunnah (jalan) yang baik maka baginya pahala sunnah itu dan pahala orang lain yang mengerjakannya sehingga hari kiamat. Dan barang siapa yang mengerjakan sunnah buruk itu dan dosa orang yang mengerjakannya sehingga hari kiamat.”
           
Menurut istilah ahli-ahli hadis pula ia bermaksud segala apa yang disandarkan kepada nabi baik berupa perkataan, perbuatan, kelakuan, perjalanan hidup nabi sebelum menjadi rasul dan sesudahnya. Menurut istilah usul fiqh ia adalah sesuatu yang datang atau terbit dari Muhammad SAW baik perkataan, perbuatan atau takrir yang mempunyai hubungan dengan hukum.

*          Ijmak:
Menurut bahasa ia bermaksud cita-cita yang kuat dalam sesuatu pekerjaan bagi melaksanakan muafakat atau persetujuan atau bersatu. Menuruk syarak ia bermaksud permuafakatan atau kesatuan pendapat oleh seluruh ulama daripada umat Nabi Muhammad pada suatu masa selepas nabi wafat, mengenai suatu perkara hukum yang boleh diijtihadkan.

Salah satu daripada perundangan Islam selepas al-Quran dan hadis adalah ijmak ulama. Ia dianggap sebagai suatu keperluan bagi umat Islam masa kini bersesuaian dengan kehendak semasa dan keadaan yang sentiasa berubah bagi menyediakan atau cara menerima undang-undang dan mengembangkannya seperti yang ditetapkan oleh syariah.
Ijmak hanya dilakukan oleh golongan yang mempunyai ciri-ciri sebagai mujtahid sahaja (seperti bersifat mulia, peribadi, mengetahui dan menguasai bahasa Arab dengan baik, tahu dalil-dalil syariah dan kaedah-kaedah yang terdapat di dalamnya, tahu doktrin nasakh-mansuh dan sebagainya). 

*          Qiyas:
Qiyas adalah sumber keempat dalam perundangan Islam. Menurut bahasa ia bermaksud pengukuran atau persamaan. Menurut istilah fikah, ia bermaksud menyamakan illah iaitu sebab atau sifat sesuatu hukum pada perkara furu’ iaitu perkara baru dengan perkara asal yang sudah ada hukum di dalam al-Quran, sunnah dan ijmak atau sesuatu yang hampir dengannya.

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan