~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Wednesday, December 8, 2010

Konsep Keadilan Dalam Siasah Syar'iyyah (Siri Akhir)



Sumber Yang Tidak disepakati
Istihsan:
Perkataan istihsan berasal daripada kata dasar ’Istahsana’ yang bermaksud apa yang diingini oleh seseorang sama ada ia adalah sesuatu atau pengertian sesuatu sekalipun ia tidak disenangi oleh orang lain. Istihsan yang maksudnya sedemikian sudah ditolak oleh kebanyakan ulama untuk dijadikan sumber hukum kerana ia membawa kepada pengeluaran hukum berdasarkan nafsu dan kemahuan semata-mata tanpa sandaran yang tepat. 

Para ulama bersepakat menerima perkataan Istihsan sebagai penggunaan bahasa yang tidak ada kaitannya dengan hukum. Sesungguhnya perkataan istihsan dapat diterima sebagai penggunaan biasa, sebahagian ulama berbeza pendapat bagi menjadikannya sebagai sandaran dan sumber hukum undang-undang Islam. Ulama Hanafi berpendapat istihsan boleh dijadikan hujah hukum sebaliknya ulama Syafie menolaknya sebagai hujah hukum. 

Maslahah Mursalah:
Menurut bahasa ’maslahah’ bermaksud kebaikan. Maslahah mursalah pula bermakna kebaikan yang tidak terikat pada dalil al-Quran, sunnah atau ijmak. Ia dikenali juga sebagai istilah. Menurut istilah usul maslahah mursalah ialah penetapan hukum yang tidak dinyatakan oleh al-Quran, sunnah dan ijmak tetapi berdasarkan timbangan menarik kebaikan dan menolak keburukan dalam kehidupan masyarakat.   Maslahah itu tidak terdapat nas yang jelas berhubung penerimaan dan penolakan Syarak, hanya yang pasti adalah untuk kebaikan manusia seluruhnya.

Istishab:
Menurut bahasa ’minta bersama’.  Pada istilah pula ’mengekalkan hukum yang sudah sabit dengan dalil pada masa yang lalu berterusan berlaku sehingga sekarang; sehinggalah ada dalil yang mengubahnya’.  Mejoriti ulama terutama Syafie dan Ahmad, menerima ia sebagai hujah. Sesuatu hukum yang sudah sabit pada masa yang lalu kekal selama tidak ada nas yang mengubahnya.

Qawl al-Sohabi:
Masalah-masalah ijtihad para sahabat sama ada percakapan atau perbuatan.  Menurut ahli usul, ijtihad seorang sahabat tidak menjadi hujah hukum kepada sahabat yang lain kerana mereka itu secara ijmak mengharuskan berbeza pandangan dalam perkara ijtihad. Apabila menjadi hujah, tidak akan ada perbezaan pendapat. Ahli usul tidak bersepakat dalam menentukan sama ada ijtihad sahabat-sahabat ini menjadi hujah ataupun tidak kepada orang lain selain daripada sahabat sendiri. Imam Malik, Abu Bakar, al-Razi, Syafie dan Imam Ahmad menerima sebagai hujah sepenuhnya. Menerut As’ariyyaah, tidak menjadi hujah sama sekali. Menurut sebahagian ulama ia menjadi hujah apabila menyalahi qiyas dan tidak menjadi hujah apabila bersesuaian dengan qiyas. 

Al-‘Urf:
Menurut bahasa ia bermaksud adat. Menurut istilah ia adalah apa yang dibiasakan oleh manusia dan diikuti oleh kebanyakan sama ada dari segi percakapan ataupun perbuatan.  ’Urf tergolong daripada hukum yang tidak ada nas yang diterima oleh sebahagian ulama, tetapi ia bukanlah bersendirian dan memerlukan bantuan dari sumber lain. Hanafi dan Maliki, menganggap ’urf sebahagian daripada istihsan. Oleh itu, adat menentukan hukum.  ’Urf terbahagi kepada dua bahagian iaitu ’urf yang benar dan ’urf yang tidak benar.

Syariah Man Qablana:
Ia bermaksud syariat sebelum kita. Ia meliputi hukum-hukum yang terdapat dalam syariat yang terdahulu yang diceritakan oleh al-Quran atau sunnah tanpa ada nas yang mengatakan syariat terdahulu diwajibkan kepada kita atau dinasakhkan. Oleh itu, syariat sebelum kita terbahagi kepada dua iaitu, syariat yang wajib diikuti dan syariat yang tidak wajib diikuti.

Skop Siasah Syar’iyyah:
Asas dalam Siasah Syar’iyyah adalah berkait rapat dengan ”ar-ra’y” atau ”Pandangan pemahaman akal”. Ar-Ra’y ditakrifkan sebagai “berijtihad atau menggunakan akal dalam menetapkan hukum atau melakukan satu ketetapan”.  Dalam Siasah Syar’iyyah, perlunya kekuatan ijtihad dalam memahami nas dan menetapkan sesuatu hukum di samping menyesuaikan ketetapan tersebut bersesuian dengan kejadian yang berlaku ketika itu. Penggunaan akal dalam memahami nas bukanlah perkara yang dilarang di dalam syara’ bahkan ianya diakui oleh syara’ atas kewajipan menggunakannya. Tidak dinafikan juga, dalam penggunaan akal dalam memahami nas ada tikanya terlarang dan ada tikanya dibenarkan.

Antara penggunaan akal yang terlarang adalah seperti berikut:
menggunakan akal dalam menyanggahi Nas. Seperti mewujudkan pelbagai ta’wil dan tafsiran terhadap Nas dengan secara batil sehinggakan menafikan maksud nas yang sebenar. Sepertimana yang dilakukan oleh sebilangan puak dari fahaman Syiah, yang mereka menta’wilkan maksud firman Allah:

Maksudnya: Binasalah kedua-dua tangan abu lahab, dan binasalah ia bersama! (Surah al-Lahab 111:1)

Sebilangan syiah, mereka menta’wilkan maksud ”dua tangan” dalam ayat ini adalah Abu Bakar dan Omar.  Inilah satu pemahaman yang hanya menggunakan akal semata-mata tanpa menggunakan alat yang wajib diketahui, seperti ilmu usul fiqh dan kaedah-kaedahnya. Sepertimana juga telah dilakukan oleh fahaman sekularisma yang mengatakan bahawa menjalankan hukum hudud adalah tidak wajib, dan pemahaman ini telah menular ke seluruh negara yang menyebabkan pemimpin tertinggi sesebuah negara takut untuk melaksanakannya di negara mereka dek takutnya kepada pemimpin dunia (Barat) hari ini.

Dalam penggunaan akal, terdapat kaedah pemahaman Nas dengan menggunakan akal yang dibenarkan dalam syara’. Menurut pandangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam karangannya yang bertajuk ”Berinteraksi Dengan Siyasah Syariiyyah Bab Satu : Fiqh Siyasah Syariiyyah”  Antaranya adalah seperti berikut:

a.         Menggunakan Akal oleh orang yang faqih dan berkeahlian dengan pemahaman nas. Orang tersebut dipanggil sebagai ”mujtahid”, yang mana dia mengetahui nas dengan kefahaman yang dalam, mengetahui kaedah-kaedah pemahaman yang betul, dan mengerti maqasid disebalik nas dan amalan Rasulullah SAW.

Sebagai contoh yang berlaku antara Rasulullah dan Omar al-Khattab, Omar pernah mencadangkan kepada Rasulullah agar isteri-isterinya memakai hijab ekoran daripada ramai orang yang datang ke rumah Rasulullah untuk mengelakkan apa-apa kemungkinan yang akan berlaku. Cadangan Omar ini bersesuian dengan firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu masuk ke Rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan Dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu Yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang Dengan berbual-bual. Sesungguhnya Yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. dan apabila kamu meminta sesuatu Yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. cara Yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin Dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya Segala Yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah. (Surah al-Ahzab 33:53)

Inilah antara contoh penggunaan akal atau pendapat yang bersesuian dengan nas dan ia tidak dilarang oleh syara’, bahkan perkara ini dipuji dalam agama.

b.         Menggunakan Akal dalam menafsirkan Nas dan menjelaskan maksud sebenar yang terkandung dalam nas. Ini diumpamakan seperti berlaku pada diri Abu Bakar As-Siddiq, ketika beliau ditanya berkenaan dengan maksud ”Al-Kalalah” yang termaktub dalam Al-Quran, iaitu firman Allah:

Maksudnya: Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). (Surah al-Nisa’ 4:176)

Bagi menjawab persoalan itu, Abu Bakar menjawab:
Maksudnya; “Kalalah ialah (seseorang mati) yang tidak meninggalkan ayah dan anak”.

Pandangan yang menggunakan akal yang terhasil dari Syura:

Hal ini berlaku, dikala tiada nas dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam menentukan sesuatu perkara. Keadaan ini telah dilakukan oleh Omar bin Al-Khattab yang telah menghimpun sebilangan sahabat-sahabat besar bagi membincangkan sesuatu perkara yang tiada dalam Nas Al-Quran dan As-Sunnah. Syuraih Al-Qadi pernah berkata, bahawa Omar memberi pesanan kepada beliau dengan katanya:

"berhukumlah dengan apa yang nyata dari hukum Rasulullah s.a.w.. Sekiranya kamu tidak mengetahui semua hukum Rasulullah s.a.w., maka hendaklah kamu berhukum dengan apa yang nyata dari Imam-imam yang mendapat hidayah, sekiranya kamu tidak mengetahui semua hukum yang nyata dari Imam-imam itu, maka hendaklah kamu berijtihad dengan pandanganmu dan mintalah pandangan dari ahli ilmu dan ahli kebaikan.

i.          Menggunakan akal dalam mengqiaskan sesuatu perkara yang tiada nas kepada perkara yang ada nas. Diriwayatkan dikala Nabi s.a.w. melantik Muaz bin Jabal ke Yaman, Baginda s.a.w. berkata kepada Muaz:

Maksudnya:  ”Bagaimana kamu berhukum apabila terbentang kepada kamu satu kes?. Berkata (Muaz): aku akan berhukum dengan kitabullah (Al-Quran). Berkata (Nabi) : Jika kamu tidak dapati dalam Kitabullah? Berkata (Muaz): Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. Berkata (Nabi) : jika kamu tidak dapati dalam Sunnah Rasulullah s.a.w. dan tidak dalam Kitabullah? Berkata (Muaz) : aku akan berijtihad dengan pandanganku tanpa aku lewatkannya. Lalu menepuk oleh Rasulullah s.a.w. akan dadanya seraya berkata : puji-pujian bagi Allah yang telah menyamakan utusan Rasulullah s.a.w. dengan tindakannya yang diredhai oleh Rasulullah s.a.w.  

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan