~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Monday, November 1, 2010

ZINNIRAH: Wanita Buta Yang Celik Mata Hatinya


Wanita mithali ini bukanlah terkenal kerana kecantikan atau kebangsawanan. Dia memang tidak memiliki kecantikan atau kekayaan. Dia hanyalah seorang hamba kepada Umar al-Khattab sebelum keislamannya. Namun dia memiliki aqidah tauhid yang menebal pada zaman penentangan Islam. Biarpun fizikal wanita ini diseksa dgn berbagai-bagai kesakitan, penderitaan & kesusahan tetapi hatinya tetap kpd Allah swt. Dia menerima penyeksaan itu walaupun tubuhnya hancur akibat pukulan demi pukulan, sepakan terajang & hantukan. Namun, demi Islam dia tidak akan menyerah kalah.


Zinnirah, begitulah indah namanya, mungkin tidak ramai yang tahu kisah ketabahan & keagungan cintanya kpd Allah swt. Wanita ini tidak punya ijazah, tidak terkenal di dunia, tidak mempunyai harta apatah lagi memiliki pangkat yang besar. Namun, Allah swt memuliakan dan memberi penghormatan yang tinggi kepadanya.


Dunia dan segala isinya bukan lagi matlamat. Sekalipun dilonggokkan emas sebesar Bukit Uhud, dia tidak akan menukar aqidah yang telah bertunjang di hatinya. Menurut riwayat islam, Zinnirah adalah di antara orang yang awal memeluk Islam. Zaman awal Islam penuh cubaan. Sesiapa yang memeluk Islam, tidak seorang pun bebas daripada pelbagai penderitaan, kecaman, kata nista dan penindasan. Zinnirah mengalami itu semua. Wanita berbangsa Rom ini telah ditawan dan dijual di Kota Makkah. Kemudian Umar al-Khattab membelinya dengan harga yang murah untuk dijadikan hamba, seterusnya menjadi tawanan tuannya.


Pada peringkat awal, Zinnirah cuba menyembunyikan pengislamannya daripada diketahui oleh Umar. Dia melakukan ibadah ketika orang lain tiada di rumah atau pada waktu tengah malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Namun, lama kelamaan amalan solehahnya dapat dicium oleh musuh.


Sudah tentu orang yang paling marah ialah tuannya sendiri iaitu Umar. Siapakah yang tidak kenal dengan Umar al-Khattab yang terkenal dengan sikap kejam, bengis, ganas, garang, tidak berhati perut, tidak berperi kemanusiaan pada ketika itu. Umar terus menampar Zinnirah, menendang, mengikat kedua belah kaki dan tangan Zinnirah. Kemudian, dijemur di tengah panas mentari. Bayangkanlah antara seksaan yang dihadapinya. Sungguh panas padang pasir pada waktu siang dan terlalu sejuk pada waktu malam, badannya dihempap dengan batu besar dan 1001 macam penyeksaan yang diterimanya.


Dalam keperitan fizikal, Zinnirah masih mampu menguntum senyuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan " Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Allah lah yang Maha Besar ". Dan hatinya berbisik, " Ini untuk-Mu wahai Tuhan, aku membeli kesusahan ini utk mendapat kesenangan di akhirat ". Begitulah ungkapan katanya yang menjadi penawar untuknya.


Kemuncak penyeksaan yang diterima oleh Zinnirah ialah matanya dicucuk dengan besi tajam dan akhirnya gelaplah seluruh pandangan. Hatinya masih mampu berbisik," Tuhan, walau aku dibunuh mati, aku lebih rela daripada menjual agama-Mu ini Tuhan. Semakin aku diuji, semakin terasa kehebatan dan keagungan-Mu Tuhan. Panahan cinta dari-Mu itulah makin menguatkan diri ini untuk menerima apa sahaja. Cuma satu permintaanku, berilah petunjuk kepada orang yang menyeksaku ini.


Ternyata doa orang teraniaya ini makbul. Akhirnya Umar memeluk Islam setelah mendapat hidayah Allah swt melalui adiknya, Fatimah. Malah Saidina Umar menjadi sahabat yang tergolong dari Khulafa Arrasyidin...Sifat pembengisnya bertukar menjadi lembut, garang bertukar kepada pemaaf, bakhil bertukar pada pemurah,tidak berhati perut kepada bertimbang rasa, gila dunia kepada gila akhirat.


Kembali kepada Zinnirah, walaupun matanya buta untuk melihat alam maya tapi hatinya tidak buta untuk menerima cahaya kebenaran Islam. Pandangan hati boleh menembusi pandangan zahir. Apabila melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba mempermain-mainkannya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana menerima laknat dari Tuhan mereka iaitu, latta dan Uzza.


Zinnirah menolak penghinaan itu. Baginya kedua berhala itu tiada sedikitpun kena mengena dengan matanya. Dia cuba meyakinkan mereka bahawa masalah buta itu adalah datang daripada Allah swt. Maka Allahlah yang berkuasa mengembalikan pancainderanya seperti biasa.


Berlakulah sedikit kekecohan, orang-orang Qurais mencabar Zinnirah kerana mempertahan dirinya. Umar pula sudah berhenti menyeksa kerana bosan melihat ketabahan hatinya.


Hambanya tidak mahu sedikitpun berganjak daripada keimanan kepada Allah swt. Tiada siapa yang boleh menolak ketentuan Tuhan. Apabila Allah swt mengambil sekejap nikmat mata, kemudian memulangkannya semula kepada Zinnirah. Allah swt menggantikannya dengan mata yang lebih baik. Zinnirah boleh melihat seperti biasa, lebih terang daripada matanya yang asal. Demikianlah pertolongan Allah swt kepadanya bagi menguatkan lagi keimanannya. Tidak lama kemudian, Saiyidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga yang tinggi. Terselamatlah dia daripada menjadi penindasan orang-orang kafir.


Di antara sifat wanita yang solehah ini, dia sentiasa merasa Allah swt memerhatikan dirinya, setiap detik dan saat. Apabila nafsunya mengajak berbuat sesuatu perkara yang mungkar, segera pula hatinya bertindak balas dengan mengatakan Allah swt Maha Melihat. Nafsu yang mahu berbuat segera ditepis dengan katanya," wahai nafsu mengapa engkau tidak takut dengan neraka?".


Hati Zinnirah sentiasa terpimpin, begitu juga degan akhlaknya. Hasilnya, hati dan jiwa merasa aman daripad kongkongan hawa nafsu. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperolehi oleh Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.


Marilah kita berazam dengan membulatkan sepenuh pengharapan memohon pada Allah swt supaya sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah. Sekiranya diuji dengan pelbagai dugaan biarlah hati kita setabah Zinnirah. Biarlah iman kita sekuat dirinya. Biarlah hati kita terus celik...inilah yang sepatutnya menjadi idaman wanita-wanita Islam (Zinnirah) bukannya artis-artis yang mengheret sama ke Neraka Allah, Nau'zubillahi Min Zalik, Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka dan mengekalkan pada kita semua dengan hidayah dan petunjuk... Amin...

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan