~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Tuesday, December 7, 2010

Sayyidina Umar al-Khattab: Insan Teladan Buat Pendokong Agama Allah (Siri Akhir)



Jasa-Jasa Sayyidina Umar Dalam Membuka Empayar Islam:
Pada zaman pemerintahan Umar juga, kita dapat lihat lebih luasnya penyebaran Islam dan juga pembukaan negara-negara Islam yang baru. Antara yang paling masyhur ialah apabila tentera Islam mampu membebaskan qiblat umat Islam yang pertama iaitu Masjid Aqsa di Palestin pada zamannya. Antara lain ialah pembukaan Parsi (Rom) yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqas dan banyak lagi jasa yang telah dilakukan oleh beliau sepanjang hayatnya dan kehilangan beliau sukar dicari ganti. Kita juga menyaksikan bagaimana pada zaman beliau menjadi khalifahlah bermulanya penggunaan taqwim Islam (hijrah) berdasarkan peristiwa hijraturrasul s.a.w.

Kata-kata Hikmah Sayyidina Umar al-Khattab:
Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya. Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina. Orang yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya. Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

Wasiat Sayyidina Umar Al-Khattab Kepada Saad Bin Abi Waqas Ketika Beliau Menjadi Ketua Tentera Untuk Pembukaan Parsi:
Sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu wahai Saad! Dan juga mereka yang bersama-sama kamu supaya bertaqwa kepada Allah s.w.t. dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya bertaqwa kepada Allah s.w.t. adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam peperangan. Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhikan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam. Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t. disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada bagi orang-orang Islam akan kekuatan.

Jumlah bilangan tentera kita jika mahu dibandingkan dengan pihak musuh adalah terlalu kecil. Begitu jugalah dengan persiapan serta kelengkapan pertahanan kita jika hendak dibandingkan dengan pihak musuh, tidaklah kita sekuat mereka. Maka jika amalan serta tingkah laku kita sama dengan pihak musuh dalam melakukan maksiat, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak musuh. Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t. ke atas musuh-musuh ini, sudah pasti kita tidak akan dapat menandingi kehebatan mereka. Ketahuilah!!! Bersama-sama kalian ada malaikat yang menjaga keselamatan dan para malaikat ini telah mewakili pihak kerajaan Allah s.w.t. untuk menjaga kamu supaya kamu berasa selamat. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan maka hendaklah kamu berasa malu terhadap apa yang ingin kamu lakukan dan janganlah kamu berkata “Sesungguhnya pihak musuh lebih hina dari kita, mereka tidak akan dapat menguasai ke atas kita sekalipun kita turut sama melakukan kejahatan”. Ucapan yang sedemikian boleh jadi akan terbalik kepada kita, maka akan datang satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israel yang mana akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir Majusi (penyembah api).

Sentiasalah kamu memohon pertolongan kepada Allah s.w.t. untuk menghilangkan penyakit yang ada dalam diri kamu itu, sebagaimana kamu memohon pertolongan Allah s.w.t. untuk mengalahkan musuh-musuh kamu. Berdoalah untuk diri kamu dan tidak lupa juga buat diri kam”. “Jika Allah s.w.t. menahan pemberian-Nya padamu, maka fahamilah bahawa itu adalah suatu (kemuliaan) untukmu selama kau pertahankan keislaman dan keimananmu, hingga segenap apa yang dilakukan Allah kepada dirimu menjadi kurnia pula kepadamu” (Ibnu Athaillah). “Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa kehambaan di hati kita. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya”.

Sayyidina Umar dan Al-Quran
Sesungguhnya Allah menjadikan lidah dan hati Umar itu di atas kebenaran (Hadith riwayat At-Tirmizi). Tidak ada sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang ramai dan kemudian diperkatakan oleh Sayyidina Umar, nescaya turunlah ayat al-Quran sebagaimana yang dilafazkan oleh mulut Sayyidina Umar. (Kata-kata Abdullah bin Umar). Ulama’ terdahulu mengatakan di dalam al-Quran terdapat 24 ayat yang menyokong tindakan atau pendapat Sayyidina Umar r.a. antaranya:-
*     Puak Islam yang sedikit boleh kalahkan yang banyak
*     Ayat berkenaan mesyuarat, azam dan tawakkal
*     Pengharaman arak
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Surah Al-Maidah 91)

*     Pendapat Abu Bakar supaya mengambil harta tawanan, manakala Umar menyuruh bunuh tawanan perang Badar:
Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Surah Al-Anfal 67)

*     Mereka juga disuruh berperang sampai lawan ‘serik’ (fasyarrid):
Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan maka hancurkanlah mereka (supaya dengan itu) orang-orang yang di belakang mereka (gerun gentar); mudah-mudahan orang-orang itu pula beringat (insaf). (Surah Al-Anfal 57)

*     Pembunuhan seorang munafik yang tidak menerima keputusan Nabi sebagai hakim dalam kes perebutan tanah:
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Surah An-Nisaa 45)

*     Ayat tentang larangan sembahyang jenazah munafiq. Setelah kematian Abdullah bin Ubai (ketua geng munafik), jenazahnya disembahyangkan Rasulullah s.a.w. walaupun Sayyidina Umar tidak bersetuju dengan tindakan Nabi. Nabi s.a.w. sembahyang kerana pada zahirnya dia Islam. Pada masa itu juga tiada larangan sembahyang ke atas munafik:
Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik “derhaka” (Surah At-Taubah 84)]

Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Ketika Abdullah bin Ubai bin Salul meninggal dunia, datang anaknya Abdullah bin Abdullah menemui Rasulullah s.a.w, meminta pakaian Rasulullah s.a.w untuk mengapani jenazah ayahnya. Rasulullah s.a.w memenuhi permintaan tersebut, kemudian beliau meminta Rasulullah s.a.w menyembahyangkan jenazah ayahnya. Maka Rasulullah s.a.w berdiri untuk memenuhi permintaan itu. Umar berdiri serta menarik baju Rasulullah s.a.w sambil berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kamu ingin menyembahyanginya, tidakkah Allah melarang dari berbuat begitu? Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepadaku. Allah telah berfirman: maksudnya: Kamu mintalah keampunan untuk mereka atau tidak minta keampunan untuk mereka, sekirannya kamu meminta keampunan untuk mereka sebanyak tujuh puluh kali, aku akan menambahnya tujuh puluh kali. (Surah Al-Taubah) Umar berkata: Abdullah itu orang munafik. Rasulullah s.a.w tetap menyembahyangi jenazah tersebut. Oleh sebab itulah Allah menurunkan ayat: Yang bermaksud: Dan janganlah kamu sembahyang jenazah ke atas orang munafik yang mati di antara mereka dan janganlah kamu berdiri di atas kuburnya.

*     Ayat tentang hijab atau tabir apabila masuk ke rumah Nabi:
Wahai orang-orang yang beriman, …… dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah dia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah. (Surah Al-Ahzab 53)

Sayyidina Umar Dan Hadis:
Hadis Saad r.a katanya: Umar meminta kebenaran daripada Rasulullah s.a.w untuk menemui baginda s.a.w. Pada ketika itu, beberapa orang wanita Quraisy sedang berbincang dengan Rasulullah s.a.w dengan suara yang tinggi. Apabila mendengar suara Umar meminta izin wanita-wanita itu berlari menuju ke balik tabir. Rasulullah s.a.w mengizinkan Umar masuk. Rasulullah s.a.w tersenyum ketika melihat beliau. Umar berkata: Semoga Allah memanjangkan usiamu wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w berkata: Aku hairan dengan wanita-wanita yang berada di sampingku itu, apabila terdengar suaramu mereka berlari menuju ke balik tabir. Lalu Umar berkata: Wahai Rasulullah! Engkaulah orang yang paling berhak untuk di takuti. Umar berkata kepada wanita-wanita yang bersembunyi itu: Wahai wanita-wanita yang menjadi musuh diri sendiri, adakah kamu merasa takut kepadaku tetapi tidak takut kepada Rasulullah. Mereka menjawab: Benar, kerana tingkah laku dan pertuturan kamu lebih kasar daripada Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat aku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak ada syaitan yang akan melalui jalan yang dilalui olehmu, melainkan mereka berusaha melalui jalan yang tidak dilalui olehmu. Bila syaitan mengetahui beliau melalui suatu jalan, maka syaitan akan segera mengambil jalan lain menjauhi beliau, kerana begitu takutnya syaitan kepada beliau.

Daripada Saidatina Aisyah, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan menyingkir (menghindar) apabila berjumpa dengan Umar.” (Hadis riwayat Ibnu Asaakir).

Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa Rasulullah s.a.w. hendak menuju peperangan, ketika kembali dari perperangan seorang Jariyyah (hamba perempuan) hitam datang menghampiri Rasulullah s.a.w. serta berkata “wahai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya aku telah bernazar apabila Engkau kembali dengan selamat aku akan memukul duff (kompang) dan menyanyi di hadapanmu, Rasulullah s.a.w. bersabda “apabila kau telah bernazar maka bertabuhlah sekarang kerana jika tidak maka engkau telah melanggar nazarmu”. Kemudian Jariyyah tersebut menabuh duff dan menyanyi, kemudian Sayyidina Abu Bakar r.a masuk ke rumah Rasulullah s.a.w. ketika Jariyyah itu masih menabuh duff dan bernyanyi, kemudian ketika Sayyidina Ali r.a masuk dia masih menabuhnya dan ketika Sayyidina Utsman r.a masuk dia juga tetap menabuh, ketika Sayyidina Umar r.a masuk beliau terus melemparkan duff itu ke arahnya yang kemudian Jariyyah itu duduk. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda “wahai Umar sungguh syaitan takut kepadamu, sungguh ketika Aku duduk, dia menabuh duff, ketika Abu Bakar masuk dia juga masih demikian, Ketika Ali masuk juga demikian, ketika Utsman masuk dia juga tetap menabuhnya akan tetapi ketika engkau masuk wahai Umar dia lemparkan duff itu”.(Hadis Sunan Tirmidzi no 3690 dimana At-Tirmidzi mengatakan hadis ini hasan shahih gharib)

Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang ‘Abid (orang yang banyak beribadat)” (at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah). Sekiranya selepas aku ada Nabi, sudah pasti Umarlah orangnya ( Hadis riwayat At-Tirmizi).

Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Aku bermimpi berada di dalam Syurga, tiba-tiba aku melihat seorang perempuan mengambil wuduk di tepi sebuah istana, lalu aku bertanya: Untuk siapakah istana ini? Para Malaikat menjawab: Kepunyaan Umar bin Al-Khattab. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Aku teringat akan kecemburuan Umar lalu aku pun berlalu dari situ. Abu Hurairah berkata: Umar menangis di dalam majlis itu dan kami semua berada di situ bersama Rasulullah s.a.w. Kemudian Umar berkata: Demi ayahku! Apakah aku harus cemburu kepadamu wahai Rasulullah!.

Sesungguhnya aku lihat syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia lari lintang pukang dari Umar. (Hadis riwayat At-Turmizi). Sesungguhnya ada seseorang di kalangan umat sebelum kamu yang menjadi sebutan ramai (kerana kebaikannya) , jika perkara ini terjadi dalam umat Islam, sudah tentu Umarlah orangnya. (Hadis riwayat Bukhari).

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan