~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Monday, November 1, 2010

Konsep Keadilan Dalam Islam


Islam sebagai cara hidup lengkap yang mengawal segala geraklaku manusia semata-mata untuk mengarah manusia ke mercu keadilan yang tulen, menghendaki supaya keadilan itu dicapai dalam segala aspek kehidupan, termasuk kehakiman, politik, ekonomi, sosial, budaya dan pentadbiran negara. Tidak ada maknanya jika keadilan itu berlaku hanya di bidang kehakiman sahaja misalnya, dan tidak dilaksanakan di dalam bidang-bidang yang lain.

Takrif  Keadilan:

Satu daripada tujuan atau maqasid syar`iah ialah untuk menegakkan keadilan di muka bumi ini. Manusia yang telah dicipta untuk menangani bumi ini bagi mencapai kemakmuran dan kebahagiaannya tidak boleh mengambil tindakan yang lain kecuali untuk menegakkan keadilan. Kezaliman dalam apa bentuk sekali pun sama ada terhadap dirinya, terhadap Allah (S.W.T.) mahupun terhadap masyarakat dan alam sekeliling, akan membawa manusia ke arah kerugian (khusran) di dunia dan akhirat.

Perkataan adil berasal daripada bahasa Arab, bahasa al-Quran dan bahasa asas bagi ilmu Islam. Daripada segi bahasa, ia bermaksud persamaan antara dua perkara atau antara dua yang bertelingkah tanpa berpihak kepada mana-mana, membuat keputusan dengan tidak cenderung kepada satu pihak sahaja, bertindak dengan pertimbangan yang wajar dan saksama. Menurut pengertian syarak, adil ialah bertindak dan membuat pertimbangan dengan istiqamah (betul dan tepat) mengikut pertimbangan al-Quran dan ijtihad. (Abdul Hadi Awang (2009), Islam Adil Untuk Semua, Selangor: PTS, hal. 1).

Keadilan dalam Islam ditakrifkan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang haq. Ini bermakna bahawa Islam menekankan kesaksamaan dan bukan kesamaan mutlak seperti yang berlaku dalam falsafah sosialisme. Islam juga memberi kebebasan kepada individu, tetapi hanya sehingga belum wujud apa-apa konflik dengan kepentingan masyarakat. Dalam konflik seperti itu Islam mengutamakan kepentingan masyarakat daripada kepentingan individu. Falsafah ini juga bertentangan dengan kapitalisme yang memberi kebebasan penuh kepada individu. Keadilan dalam Islam juga adalah bebas dari sebarang pengaruh, termasuk status sosial, pangkat, kekayaan, keturunan, ilmu, mahu pun tali persaudaraan. Pada umumnya keadilan perlu dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

Keadilan Ilahi:

Allah adalah Tuhan semesta alam, pencipta, pentadbir dan pengurus alam. Sebutan ini diulang setiap kali apabila seseorang Islam menunaikan solat. Ia mengandungi maksud akidah tauhid atau disebut juga dengan Tauhid Rububiyyah iaitu mengesakan dan mampercayai bahawa Allh Tuhan pencipta dan pentadbir alam semesta. Kepercayaan ini menjadi fitrah manusia sama ada Islam ataupun bukan Islam, berilmu ataupun jahil, bertamadun ataupun jakun di rimba.

Mereka yang menganut berbagai-bagai agama sebenarnya turut mengakui wujudnya Allah pencipta alam yang Maha Berkuasa. Mereka hanya jahil dalam pengakuan terhadap akidah yang sebenar, secara tauhid mereka mengakui Allah Tuhan Maha Esa. Mereka melantik Tuhan selain Allah kerana berpandukan akal semata-mata, tanpa petunjuk wahyu yang dibawa oleh para Rasul yang diutuskan. Mereka tidak beriman dengan manusia istimewa yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan ajaran dengan jelas dan akhlaknya yang disaksikan oleh masyarakat sezaman.

Keesaan Allah adalah seiring dengan keadilan-Nya dan hakikat ini diakui oleh para malaikat dan ilmuan dalam kalangan manusia. Ini menunjukkan erti keadilan begitu besar sehingga digandingkan bersama akidah tauhid. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan wajibnya adil bagi Allah secara nama dan sifat, serta ayat perintah wajib supaya mematuhi dan mentaati para Rasul yang dilantik oleh Allah dalam kalangan manusia pilihan-Nya dan ditarbiyah serta dipelihara dengan sifat kemanusiaan yang terbaik. Dari segi akal pula, oleh kerana Allah pencipta alam, hanya Allah sahaja yang dapat menentukan sesuatu dengan adil secara tepat dan saksama. Maka erti adil dan bagaimana menegakkan keadilan itu perlu sesuai dengan hukum dan ketetapan Allah. Allah menjelaskan dalam surah al-Hadid ayat (57) :25 yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami Dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat Yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan Yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi Dengan keadaannya mengandungi kekuatan Yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi Dengan keadaan Yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu Dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang Yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa".  

Ayat ini menegaskan bagaimana menentukan keadilan dengan kitab Allah dan para Rasul dan pengikutnya yang setia, serta bagaimana keadilan itu wajib ditegakkan walaupun terpaksa menggunakan kekuatan teknologi yang dicipta daripada logam seperti besi demi menentang kezaliman. Para malaikat dan para ilmuan mengakui keadilan Allah melalui sikap dan akhlak mereka yang sentiasa taat dan tidak pernah derhaka kepada Allah.

Beberapa Dalil Keadilan Dalam al-Quran:

Dalam Surah saad (38:22), Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud:

"Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: " janganlah takut, (Kami ini) adalah dua orang Yang berselisihan, salah seorang dari Kami telah berlaku zalim kepada Yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara Kami Dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah Kami ke jalan Yang lurus".

Dalam Surah al-nisaa’ (4:58) Allah berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat".

Dalam Surah al-Hujurat (49:9) Allah Ta'ala Berfirman yang bermaksud:
"Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil".

Inilah beberapa dalil dari al-Quran yang diturunkan kepada manusia sebagai panduan hidup mereka dan sebenarnya banyak lagi dalil dari ayat yang lain, tetapi tidak diletakkannya kesemua di sini. Dengan adanya dalil tersebutlah, maka dapatlah diambilnya sebagai hujah dalam soal kepentingan keadilan dalam pemilihan pemimpin, dalam pentadbiran negara dan sebagainya. Pemimpin wajib ditaati selagimana dia tidak menyuruh kepada perkara yang mungkar.

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan