(Syeikh Abdul Qadir Jailani Bin Mohd Yusuff) |
Beliau
lebih dikenali dengan panggilan Paksu Haji Musa dan hanya segelintir sahaja
yang tahu nama sebenar beliau iaitu Syeikh Abdul Qadir Jailani Bin Mohd Yusuff.
Beliau telah dilahirkan pada 27/12/1946 di Kampung Tebing Tinggi, Kota Bharu
Kelantan oleh pasangan suami isteri Mohd Yusuf Bin Mohd Soleh dan Aminah Binti
Che Wok.
Beliau
memulakan pendidikan peringkat menengah di SMUA Tarbiyah Mardhiah, Pancor
selama dua tahun. Selepas itu melanjutkan pangajian ke Pondok Lanai Banggol
Berangan, Madrasah Misbahul Falah di bawah asuhan mudirnya serta guru kerohanian
beliau yang amat beliau sayangi Tuan Guru as-Syeikh Umar az-Zuhdi Bin Haji
Sholeh dan kemudiannya di Pondok al-Bakriah ad-Diniyah, Pasir Tumboh dengan
Tuan Guru Haji Hashim bin Hj Abu Bakar.
Beliau
juga telah melanjutkan pengajian ke Madrasah Darul Ulum ad-Diniyiah, Mekah
di bawah asuhan Musnid Dunya al-Alim al-Allamah as-Syeikh Muhammad Yasin bin
Muhammad Isa Al-Fadani, seorang ulama' hadis yang terkenal. Selepas itu beliau
meneruskan pengajian ke Universiti Islam Umm Darman, Sudan dan akhir sekali
mendapat ijazah kuliyah hadis dari Universiti Islam Madinah. Banyak pengalaman
telah beliau perolehi kerana kembara ilmu beliau bermula dari India melalui
jalan darat merentasi benua sehinggalah sampai ke Mekah dan Madinah.
Sekembalinya
ke tanah air, beliau telah menginfaqkan diri beliau untuk berdakwah dan kuliyah
ilmu di segenap ceruk negeri tanpa mengira penat dan lelah serta habuan dunia.
Sehingga sekarang beliau masih menyampaikan kuliyah-kuliyah ilmu di Masjid
beliau di Kampung Dalam Lanas, Tumpat walaupun keadaan kesihatan beliau yang
selalu uzur. Setiap kali turun ke masjid untuk memberi kuliyah, beliau terpaksa
dipapah oleh dua orang murid beliau.
Beliau
merupakan seorang yang amat warak dan zuhud serta amat menyayangi sesama
manusia sama ada yang dikenali ataupun tidak. Beliau sentiasa membahasakan
dirinya sebagai ‘ayah’ kepada para murid beliau. Setiap kali menyampaikan
kuliyah, tangisan dan air mata tidak dapat dielakkan tatkala tiba pada
kalimah-kalimah ayat al-Quran yang membicarakan tentang dosa dan neraka. Pernah
juga beliau berhenti mengajar kuliyah kerana ingin diamalkan terlebih dahulu
isi kandungan kitab yang ingin disampaikan kepada murid-murid beliau.
Setiap
kali bersalaman, pasti beliau akan memeluk seseorang itu sambil membisikkan
ke telinga orang tersebut “tolong doakan ayah etek deh.” Tersentuh hati ambo
yang jahil ini apabila seorang alim begitu meminta kita yang jahil ini memohon
doa kepada ALLAH untuk dirinya. Pok su juga ada berkata kepada ambo bahawa
beliau lebih jahil dari ambo dan orang lain, masyaALLAH.. begitu merendah diri
sedangkan ambo ini sangat jahil dan timbul rasa malu kerana hakikatnya ambo
yang terlebih jahil.
Lidahnya
tidak pernah sunyi dari zikir dan doa. Jari telunjuknya sentiasa bergerak
menandakan hatinya sentiasa mengingati ALLAH. Setiap kali melangkah, pasti ada
zikir, doa dan wirid yang disebut beliau. Beliau juga merupakan guru Tareqat
Ahmadiyah Idrisiyah ad-Dandarawiyah yang diterima beliau melalui tiga sanad
yang berbeza. Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH subhanahuwataala ambo berasa
amat bertuah sekali kerana sempat beliau yakni Pok Su Musa mendoakan ambo dan
meniup doanya di atas kepala ambo yang hina ini di sisi ALLAH subhanahuwataala.
Antara
kelebihan yang ALLAH subhanahuwataala kurniakan kepada beliau adalah dapat
menafsir keadaan jiwa seseorang yang datang untuk mendapatkan nasihat dan
tunjuk ajar beliau sebagaimana yang diceritakan oleh kebanyakan murid
beliau. Buktinya beliau dapat menegur kesalahan dan kesilapan ambo tanpa ambo
memberi tahu kepadanya. SubhanaALLAH.
Nama
beliau cukup masyhur meniti di bibir para pencinta ilmu terutamanya pelajar
pondok di seluruh negara. Sehinggakan ramai yang datang dari jauh untuk
mengenali beliau setelah dicadangkan oleh para guru pondok.
Semoga
ALLAH SWT akan terus memberkati usia beliau dengan kebaikan dan ibadah kerana
para murid beliau masih terlalu dahagakan ilmu yang berada dalam gedung
simpanan beliau itu.
Disediakan
Oleh:
Al-Amir
Ibnu Idris Al-Kelantany