~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Monday, December 31, 2012

Syeikh Abdul Qadir: Murabbi dan Mursyid


(Syeikh Abdul Qadir Jailani Bin Mohd Yusuff)

Beliau lebih dikenali dengan panggilan Paksu Haji Musa dan hanya segelintir sahaja yang tahu nama sebenar beliau iaitu Syeikh Abdul Qadir Jailani Bin Mohd Yusuff. Beliau telah dilahirkan pada 27/12/1946 di Kampung Tebing Tinggi, Kota Bharu Kelantan oleh pasangan suami isteri Mohd Yusuf Bin Mohd Soleh dan Aminah Binti Che Wok.

Beliau memulakan pendidikan peringkat menengah di SMUA Tarbiyah Mardhiah, Pancor selama dua tahun. Selepas itu melanjutkan pangajian ke Pondok Lanai Banggol Berangan, Madrasah Misbahul Falah di bawah asuhan mudirnya serta guru kerohanian beliau yang amat beliau sayangi Tuan Guru as-Syeikh Umar az-Zuhdi Bin Haji Sholeh dan kemudiannya di Pondok al-Bakriah ad-Diniyah, Pasir Tumboh dengan Tuan Guru Haji Hashim bin Hj Abu Bakar.

Beliau juga telah melanjutkan pengajian ke Madrasah Darul Ulum ad-Diniyiah, Mekah di bawah asuhan Musnid Dunya al-Alim al-Allamah as-Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa Al-Fadani, seorang ulama' hadis yang terkenal. Selepas itu beliau meneruskan pengajian ke Universiti Islam Umm Darman, Sudan dan akhir sekali mendapat ijazah kuliyah hadis dari Universiti Islam Madinah. Banyak pengalaman telah beliau perolehi kerana kembara ilmu beliau bermula dari India melalui jalan darat merentasi benua sehinggalah sampai ke Mekah dan Madinah.

Sekembalinya ke tanah air, beliau telah menginfaqkan diri beliau untuk berdakwah dan kuliyah ilmu di segenap ceruk negeri tanpa mengira penat dan lelah serta habuan dunia. Sehingga sekarang beliau masih menyampaikan kuliyah-kuliyah ilmu di Masjid beliau di Kampung Dalam Lanas, Tumpat walaupun keadaan kesihatan beliau yang selalu uzur. Setiap kali turun ke masjid untuk memberi kuliyah, beliau terpaksa dipapah oleh dua orang murid beliau.

Beliau merupakan seorang yang amat warak dan zuhud serta amat menyayangi sesama manusia sama ada yang dikenali ataupun tidak. Beliau sentiasa membahasakan dirinya sebagai ‘ayah’ kepada para murid beliau. Setiap kali menyampaikan kuliyah, tangisan dan air mata tidak dapat dielakkan tatkala tiba pada kalimah-kalimah ayat al-Quran yang membicarakan tentang dosa dan neraka. Pernah juga beliau berhenti mengajar kuliyah kerana ingin diamalkan terlebih dahulu isi kandungan kitab yang ingin disampaikan kepada murid-murid beliau.

Setiap kali bersalaman, pasti beliau akan memeluk seseorang itu sambil membisikkan ke telinga orang tersebut “tolong doakan ayah etek deh.” Tersentuh hati ambo yang jahil ini apabila seorang alim begitu meminta kita yang jahil ini memohon doa kepada ALLAH untuk dirinya. Pok su juga ada berkata kepada ambo bahawa beliau lebih jahil dari ambo dan orang lain, masyaALLAH.. begitu merendah diri sedangkan ambo ini sangat jahil dan timbul rasa malu kerana hakikatnya ambo yang terlebih jahil.

Lidahnya tidak pernah sunyi dari zikir dan doa. Jari telunjuknya sentiasa bergerak menandakan hatinya sentiasa mengingati ALLAH. Setiap kali melangkah, pasti ada zikir, doa dan wirid yang disebut beliau. Beliau juga merupakan guru Tareqat Ahmadiyah Idrisiyah ad-Dandarawiyah yang diterima beliau melalui tiga sanad yang berbeza. Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH subhanahuwataala ambo berasa amat bertuah sekali kerana sempat beliau yakni Pok Su Musa mendoakan ambo dan meniup doanya di atas kepala ambo yang hina ini di sisi ALLAH subhanahuwataala.

Antara kelebihan yang ALLAH subhanahuwataala kurniakan kepada beliau adalah dapat menafsir keadaan jiwa seseorang yang datang untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar beliau sebagaimana yang diceritakan oleh kebanyakan murid beliau. Buktinya beliau dapat menegur kesalahan dan kesilapan ambo tanpa ambo memberi tahu kepadanya. SubhanaALLAH.

Nama beliau cukup masyhur meniti di bibir para pencinta ilmu terutamanya pelajar pondok di seluruh negara. Sehinggakan ramai yang datang dari jauh untuk mengenali beliau setelah dicadangkan oleh para guru pondok.

Semoga ALLAH SWT akan terus memberkati usia beliau dengan kebaikan dan ibadah kerana para murid beliau masih terlalu dahagakan ilmu yang berada dalam gedung simpanan beliau itu.

Disediakan Oleh:
Al-Amir Ibnu Idris Al-Kelantany

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan