~Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Datang Ke Laman ini, Semoga Mendapat Manfaat ::::::: Ingatlah Allah Selalu Di Mana Jua Kita Berada ::::::: Wahai Saudaraku, Bersabarlah Di Atas Apa Yang Menimpamu, Sesungguhnya Allah Tetap Bersama Orang-Orang Yang Sabar ::::::: Menyeru Ke Arah Kebaikan Dan Mencegah Daripada Kemungkaran Adalah Tugas Bersama ::::::: Berjuang Ertinya Berkorban, Berkorban Ertinya Terkorban, Terkorban Ertinya Menderita, Menderita Itulah Asam Garam Perjuangan ::::::: Samaada Menang Atau Syahid, Tiada Istilah Kalah Dalam Perjuangan Islam ::::::: Terima Kasih Kerana Sudi Berkunjung Ke Laman Ini, Datang Lagi~

Sunday, October 31, 2010

Imam Syafie Rahimahullah: Biodata Dan Wasiat


Nama beliau ialah Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn 'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Mutolib ibn Abdu Manaf. Beliau digelar "As-Syafie" sempena nama datuknya, Syafie. Imam Al-Syafie dilahirkan pada tahun 150 Hijrah bersamaan dengan 767 Masihi di Ghazzah, Palestin. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah. Beliau membesar di dalam keluarga yang fakir di Palestin.


Imam Syafie mempunyai nasab keturunan dengan Nabi Muhammad S.A.W melalui datuk baginda iaitu Abdu Manaf dan melalui nasab ibu kepada Imam Syafie, Fatimah bintu Abdullah ibn Hasan ibn Hussin ibn Ali ibn Abi Talib dan hubungan nasab ini tiada keraguan pada jumhur ulamak. Ketika berumur 2 tahun ibunya telah membawa ke Kota Makah untuk berjumpa dengan saudara mara beliau dari keturunan yang dihormati. Ketika Imam Syafie berumur 7 tahun, beliau telah pun menghafaz Al-Quran dan selepas itu beliau menghafaz pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Imam Syafie juga menguasai ilmu bahasa Arab fushah dan selepas itu beliau menghafaz pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Imam Syafie juga menguasai ilmu bahasa arab fushah.


Semasa Imam Syafie di usia muda, Imam Syafie menuntut ilmu dari ramai fuqaha' di Makah sehinggakan beliau diminta untuk memberi pandagan dalam menyelesaikan masalah agama. Kerana kecerdasannya itu pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah pada ketika itu. Pada usia yang terlalu muda ia telahpun mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah S.A.W, yang dihimpun oleh Imam Malik.


Imam Syafie kerap berhijrah ke luar negara untuk mengutip mutiara ilmu dari ramai ulamak yang tersohor pada masa itu. Beliau pergi ke Madinah Al-Munawwarah untuk berjumpa dengan Imam Malik (Imam Mazhab Maliki) dan tinggal bersamanya sehingga ke penghujung hayat Imam Malik. Imam Malik meninggal dunia pada tahun 179 H. Setelah itu Imam Syafie menyibukkan diri dengan ilmu agama dan beliau bertugas di Yaman. Ketika beliau di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Oleh kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.


Imam Syafie masuk ke Baghdad sebanyak 3 kali. Kali pertama pada tahun 183 H ataupun sebelum Khilafah Harun Ar Rashid. kali kedua pada tahun 195 H dan tinggal di Baghdad selama 2 tahun. Kali ketiga pada tahun 198 H dan Imam Syafie pun menjadi masyhur dikalangan umat islam pada ketika itu. Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu Khalifah Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, kerana golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Justru, di mana sahaja kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.


Satu kali datang surat khalifah dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya. Jika urusan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap kerana di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa beliau termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah. Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.


Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan seorang demi seorang masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa soalan, mereka dibunuh dengan dipenggal leher tahanan tersebut. Agar darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berselerak ia dialas dengan kulit binatang. Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, memohon dari Allah SWT. Beliau dipanggil ke hadapan khalifah. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap khalifah. Semua para pembesar memerhatikan beliau.


“Assalamualaika, ya Amir al-Mukminin wabarakatuh.” Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.” Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?” Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:


“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.” Setelah membaca ayat itu, Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang Tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam Tuanku tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”


“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu. Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6:


“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.


Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Wasiat:

Setelah itu beliau telah berhijrah ke Mesir, Imam Syafie keluar masuk Mesir terlalu kerap sehinggakan tidak ketahui berapa kali. Sebelum Imam Syafie pulang ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: “Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara"


PERTAMA: HAK KEPADA DIRI iaitu: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT iaitu: mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.  


KETIGA: HAK KEPADA KUBUR iaitu: membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.  


KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.  


KELIMA: HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) iaitu: menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.  


KEENAM: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT) iaitu: membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.  


KETUJUH: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) iaitu: menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.  


KELAPAN: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) iaitu: redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.  


KESEMBILAN: HAK KEPADA NABI S.A.W iaitu: berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.  


KESEPULUH: HAK KEPADA ALLAH SWT iaitu: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


Mimpi:
1) Pada suatu ketika, Imam al-Syafie bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. mimpinya ialah "Rasulullah Bagi kepada Imam al-Syafie penimbang/dacing/neraca". lalu ulama' menafsirkan bahawa, mazhab yang diasas oleh Imam al-Syafie adalah mazhab yang paling Tawassut/pertengahan.Jiga  dilihat kembali sejarah Imam al-Syafie, Ia adalah seorang ulama' Mujtahid yang sangat banyak tempat mencari Ilmu, bukan setempat sahaja (Iraq, Madinah, Makkah, Mesir dll).

2) Pada suatu hari, seorang Ulama' bermimpi bertemu dengan Rasulullah. Rasulullah s.a.w berkata kepada ulama' tersebut "Mazhab yang diasaskan oleh Imam al-Syafie adalah Mazhab yg paling dekat dengan Sunnahku".

Kewafatannya:
Sehingga pada tahun 199 H Imam Syafie masuk semula ke Mesir dan meninggal dunia di Mesir pada malam Jumaat yang penuh barakah. Beliau dikebumikan selepas Asar pada hari Jumaat bertarikh 29 Rejab 204 H bersamaan 19 Januari 820 M. Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi. Semoga kita semua mengambil pengajaran dan sebagai contoh teladan dalam menuntut Ilmu Allah dan meneruskan perjuangan Agama Allah Ta'ala yang teragung ini...

0 comments:

Post a Comment

 

Komuniti Blogger

Komuniti Blogger Azhari Photobucket

Jalinan Persahabatan